Sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, kita beruntung kerana dapat menikmati pelbagai makanan yang kaya dengan tradisi.
Anda juga boleh terokai pelbagai makanan tradisional India. Jika anda sudah biasa dengar tentang makanan seperti roti canai atau murukku, sebenarnya terdapat banyak lagi hidangan menarik untuk dicuba.
Ayuh kita kenali 10 hidangan tradisional India yang wajib dicuba.
10 Makanan Tradisional India Yang Terkenal di Malaysia
1. Ayam Varuval
Varuval merupakan hidangan yang terkenal dari India Selatan. Resepi varuval biasanya menggunakan ayam bersama ramuan lain seperti serbuk ketumbar, cili kering, bawang dan rempah ratus.
Ia juga dimasak kering dan tidak menggunakan santan.
2. Panipuri
Panipuri adalah hidangan yang berasal dari India berbentuk bulat. Menariknya tentang panipuri, kulitnya perlu dipecahkan sedikit untuk dimasukkan inti.
Kulitnya diperbuat daripada tepung semolina dan tepung gandum. Sementara itu, intinya pula diperbuat daripada kentang, kacang kuda dan daun ketumbar.
Kemudian, panipuri dicurahkan pula dengan kuah khas yang dihasilkan daripada daun pudina dan air asam jawa.
Memang menarik untuk cuba kerana ia mengandungi pelbagai gabungan rasa yang seimbang dan unik.
Rangup, masam, masin dan pedas, makan sebiji pasti tak cukup!
3. Idli
Idli merupakan hidangan sarapan yang terkenal dalam kalangan masyarakat India. Bahan utama untuk hasilkan idli adalah nasi putih dan lentil hitam.
Ia dikukus dan dihidangkan bersama kari dan chutney.
4. Laddu
Laddu merupakan manisan India berbentuk bola yang sangat terkenal. Ia diperbuat daripada tepung, gula dan lemak sapi.
Biasanya, laddu disajikan pada hari keramaian atau majlis keagamaan.
5. Uthappam
Uthappam merupakan makanan khas daripada India yang berbentuk pancake. Ia seakan tosai kerana diperbuat daripada adunan beras.
Namun, rasanya lebih menyerlah dengan taburan daun bawang, capsicum, bawang dan tomato.
Selain itu, teksturnya juga lebih tebal berbanding tosai.
Uthappam biasanya dihidang pada waktu pagi dan dinikmati bersama chutney atau sambar.
Bagi yang belum tahu, uthappam juga baru diwartakan sebagai warisan negara pada 4 Februari 2024.
6. Nasi Daun Pisang
Hidangan nasi daun pisang sememangnya cukup sinonim dengan kaum India.
Ia dikatakan berasal dari India Selatan ketika penduduk India berhijrah ke Tanah Melayu semasa penjajahan British.
Seperti namanya, nasi ini dihidangkan di atas daun pisang dengan pelbagai variasi lauk India yang lazat termasuk varuval, sayur kubis, kuah dhal dan sebagainya.
7. Putu Mayam
Putu mayam merupakan satu lagi makanan tradisional India yang sangat popular di Malaysia.
Bahan untuk menghasilkan putu mayam adalah tepung beras beserta air atau santan. Kemudian, doh akan ditekan melalui acuan untuk menghasilkan bentuk seperti mi.
Ia biasanya dipadankan bersama gula perang dan kelapa parut.
8. Vadai
Rakyat Malaysia cukup menggemari vadai sebagai kudapan pada waktu petang. Makanan tradisional India ini terdapat dua jenis iaitu paruppu vadai dan ulunthu vadai.
Paruppu vadai dihasilkan daripada kacang dhal, hirisan cili hijau, daun kari dan bawang merah.
Sementara itu, ulunthu vadai pula diperbuat daripada urad dhal/kacang ulunthu dan berbentuk seperti donat.
9. Rasam
Rasam merupakan hidangan sup yang berasal dari India Selatan. Ia dihasilkan menggunakan air asam jawa, tomato, cili, lada dan pelbagai rempah ratus.
Hidangan ini dikatakan bagus untuk ‘mencuci perut’ serta sesuai untuk diberikan kepada orang yang demam atau tak lalu makan.
10. Teh Masala
Juga dikenali sebagai chai atau masala chai, teh masala merupakan minuman yang popular dari India.
Ia dihasilkan dengan membancuh teh hitam dalam susu dan air.
Yang membangkitkan rasa dan aroma teh ini sudah tentu rempah aromatik yang diletakkan dalam bancuhan teh seperti kulit kayu manis, halia, jintan manis, cengkih dan buah pelaga.
Memang segar dan menghangatkan badan.
Rupanya terdapat pelbagai hidangan tradisional India yang menarik untuk dicuba.
Dari hidangan sarapan pagi sehinggalah ke manisan, anda pasti tidak akan jemu untuk mencuba variasi makanan tradisional India. Padat dengan rasa dan cukup unik.
Sumber : Facebook SihatMag, Facebook Al – Fath Food Industries, Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Baca Juga : 21 Makanan Tradisional Yang Diwartakan Sebagai Warisan Negara