Mulai 21 April 2025, semua murid di bawah institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) WAJIB memakai Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing.
Keputusan ini dimaklumkan secara rasmi melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 3 Tahun 2025, sebagai langkah memperkukuh semangat cinta akan negara dan memupuk nilai patriotisme dalam kalangan pelajar sejak dari bangku sekolah lagi.
Surat Pekeliling Rasmi KPM – Pemakaian Lencana Jalur Gemilang KPM
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN
KPM LAKSANAKAN PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG PADA PAKAIAN SERAGAM MURID, SETIAP MURID DIBEKALKAN DUA LENCANA PERCUMA
Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuatkuasa mulai 21 April 2025 secara berperingkat.
Inisiatif yang melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
KPM akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak DUA (2) unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
KPM telah menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai panduan tentang tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid.
Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN
27 MAC 2025
SURAT PEKELILING IKHTISAS KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BILANGAN 3 TAHUN 2025
GARIS PANDUAN PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG PADA PAKAIAN SERAGAM MURID DI INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
TUJUAN
Surat pekeliling ikhtisas (SPI) ini bertujuan memaklumkan Garis Panduan Pemakaian_Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
LATAR BELAKANG
2. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Februari 2025 telah meluluskan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
3. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan penting dalam menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik. Justeru, suatu usaha daripada peringkat akar umbi hendaklah dilaksanakan secara holistik bagi memastikan semangat ini terus kekal dan subur. Oleh itu, KPM mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid.
PELAKSANAAN
4. Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang disertakan bersama-sama SPI ini disediakan sebagai rujukan kepada semua pegawai di bahagian KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan institusi pendidikan bawah KPM.
Garis panduan ini dikeluarkan sebagai panduan rasmi bagi penggunaan, penggayaan dan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan seperti yang berikut:
4.1 Sekolah kerajaan
4.2 Sekolah bantuan kerajaan
4.3 Kolej Matrikulasi
4.4 Institusi Pendidikan Guru Malaysia Institusi pendidikan selain KPM juga disarankan untuk merujuk garis panduan ini.
5. Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang disertakan bersama-sama SPI ini disediakan sebagai rujukan kepada semua pegawai di bahagian KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan institusi pendidikan bawah KPM.
6. Surat pekeliling ikhtisas ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SPI seperti yang berikut:
6.1 Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah bertarikh 9 Mac 1983
6.2 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.2/1985: Lencana/Logo dan Lagu Sekolah bertarikh 7 Januari 1985
6.3 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1993: Pakaian Seragam Sekolah bertarikh 3 Jun 1993
6.4 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2007: Garis Panduan Pakaian Kokurikulum di Hari Persekolahan dan Perhimpunan Bulanan Kokurikulum bertarikh 7 Ogos 2007
TARIKH KUAT KUASA
7. Surat pekeliling ikhtisas ini berkuat kuasa serta-merta mulai 21 April 2025.
TANGGUNGJAWAB KETUA JABATAN
YBhg. Datuk/Dato’/Tuan/Puan hendaklah mengambil tindakan dan memastikan kandungan SPI ini dilaksanakan oleh semua pegawai yang bertanggungjawab di bahagian KPM, JPN, PPD dan institusi pendidikan bawah pentadbiran YBhg. Datuk/Dato’/tuan/puan.
Sekian, terima kasih.
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menjalankan amanah,
(DATUK HAJI AZMAN BIN HAJI ADNAN)
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Merangkap Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru
Kementerian Pendidikan Malaysia
Kenapa Perlu Pakai Lencana Jalur Gemilang?
Tujuan utama pemakaian lencana ini adalah untuk:
- Menanam semangat patriotisme dalam jiwa murid
- Mengeratkan perpaduan nasional dan membentuk identiti kebangsaan yang utuh
- Membangkitkan rasa bangga dan hormat terhadap negara dan simbol kebangsaannya
Inisiatif ini juga merupakan langkah holistik KPM untuk memastikan semangat cintakan negara terus subur dari peringkat akar umbi.
Siapa Yang Terlibat?
Pemakaian lencana ini diwajibkan ke atas:
- Murid sekolah kerajaan
- Murid sekolah bantuan kerajaan
- Pelajar Kolej Matrikulasi
- Pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
Institusi pendidikan lain yang tidak di bawah KPM juga digalakkan untuk turut serta mengikuti garis panduan ini demi menyemarakkan semangat patriotisme.
Bila Tarikh Wajib Pakai Lencana Jalur Gemilang?
Garis panduan ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Februari 2025 dan mula berkuat kuasa serta-merta mulai 21 April 2025.
Ketua jabatan dan pentadbir di setiap peringkat seperti JPN, PPD dan institusi pendidikan di bawah KPM bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Di Mana Boleh Dapatkan Lencana Jalur Gemilang?
KPM akan membekalkan lencana Jalur_Gemilang sebanyak DUA (2) unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
Cara Memakai Lencana Yang Betul
KPM turut menetapkan beberapa garis panduan khusus agar pemakaian lencana dilakukan dengan penuh disiplin dan bermaruah:
- Dilarang mengubah saiz, bentuk atau warna lencana Jalur Gemilang yang ditetapkan.
- Lencana mesti dipakai di sebelah kanan dada, selari dengan tanda nama murid.
- Lencana hendaklah bersih, tidak rosak dan kemas sentiasa.
[MUAT TURUN] Garis Panduan Rasmi KPM Berkenaan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang
Kesimpulannya, pemakaian Lencana Jalur Gemilang ini bukan sekadar memenuhi arahan pekeliling, tetapi satu simbol kesatuan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.
Jom sama-sama kita semarakkan semangat “Malaysia Madani”, bermula dari sekolah!
Baca juga: Insentif Rebat Rahmah 2025 – Internet Percuma Hari Raya