Kencing Tikus : Gejala, Rawatan dan Langkah Pencegahan

Memang gerun bila mendapat khabar tentang kematian akibat kencing tikus. Penyakit ini juga sering disebut setiap kala tibanya musim banjir.

Lebih menakutkan, ia boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang serius dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Jadi, apakah gejala yang perlu diperhatikan dan cara mencegah penyakit ini?

Ayuh ikuti perkongsian dari kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Apa Itu Kencing Tikus?

Kencing tikus atau Leptospirosis adalah sejenis penyakit zoonosis (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia) yang berlaku disebabkan bakteria dari genus Leptospira.

Manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah kepada makanan, air atau tanah yang tercemar dengan air kencing haiwan yang terjangkit seperti tikus, kucing, lembu, anjing, babi, kuda dan haiwan liar yang lain.

Gejala

Tempoh masa daripada pendedahan penyakit kencing tikus kepada timbulnya gejala adalah di antara 2 hingga 10 hari.

Pesakit Leptospirosis boleh menunjukkan beberapa gejala seperti :

  • Demam
  • Badan menggigil
  • Sakit anggota tubuh seperti  sakit pada otot, sendi, tulang serta sakit kepala
  • Batuk tidak berkahak
  • Radang selaput mata
  • sakit perut atau cirit-birit
  • Sebahagian kecil pesakit mungkin boleh alami pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, ruam atau perubahan bunyi pada paru-paru.
kencing tikus

Kaedah Rawatan

Penyakit ini boleh dirawat dengan penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti cephalosporim, penicillins, doxycycline, chloramphenicol, dan erythromycin.

Namun, pesakit yang lebih kritikal perlulah melalui pemantauan yang lebih rapi di hospital.

Komplikasi

Meskipun pesakit boleh sembuh, namun komplikasi boleh terjadi pada pesakit yang tidak menerima rawatan sewajarnya atau jangkitan berada pada tahap serius.

Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah :

  • Jangkitan kuman pada otak (Meningitis)
  • Pendarahan yang teruk
  • Gangguan pernafasan
  • Kegagalan fungsi hati
  • Kegagalan fungsi buah pinggang
  • Kematian

Langkah Pencegahan

Terdapat beberapa kaedah kawalan dan langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kencing tikus antaranya :

  • Pekerja yang berisiko terdedah kepada air tercemar perlulah sentiasa memakai kasut dan mengenakan pakaian sempurna, sebaiknya yang kalis air.
  • Elakkan daripada bermain air atau mandi di tempat terbuka seperti kolam renang atau sungai sekiranya terdapat kudis atau luka di kulit.
  • Risiko pencemaran biasanya meningkat selepas hujan. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk elakkan bermain air ketika musim banjir serta hindari aktiviti rekreasi melibatkan air sewaktu hujan dan selepasnya.
  • Elakkan dari minum air sungai yang tidak memasak atau dirawat.
  • Sentiasa jaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan haiwan dan serangga perosak terutamanya tikus.

Sekiranya anda atau ahli keluarga mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor.

Orang ramai juga dinasihati supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala penyakit dalam tempoh dua minggu selepas mengunjungi tempat rekreasi seperti kolam, air terjun dan tasik.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!