Kemahiran Insaniah yang juga dikenali sebagai soft skills dalam bahasa Inggeris merujuk kepada keupayaan dan sifat interpersonal serta intrapersonal yang membentuk asas penting dalam pembangunan individu.
Elemen ini bukan sahaja membantu seseorang mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga berperanan penting dalam membina kerjaya yang berjaya.
Dalam kehidupan yang semakin sengit persaingannya, kemahiran insaniah boleh menjadi pelengkap diri bagi memastikan individu mampu berkembang secara peribadi dan menjadi ahli komuniti yang mampu memberi manfaat kepada semua.
Sebuah pantauan yang dilakukan oleh LinkedIn juga mendapati 92% ahli profesional setuju bahawa kemahiran insaniah adalah salah satu aspek penting yang turut dititikberatkan selain latar belakang pendidikan dan kemahiran kerja.
80% daripada responden juga akui soft skills mampu menyumbang kepada perkembangan syarikat secara positif.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda menguasai kemahiran insaniah bukan sahaja untuk menghadapi alam pekerjaan, malah sebagai satu nilai tambah bagi perkembangan peribadi.
Sebenarnya, tidak ada sebarang senarai khusus bagi kemahiran insaniah.
Namun, ia sering dikaitkan dengan kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritis, kepimpinan, serta etika profesional memupuk keupayaan untuk beradaptasi, bekerjasama, dan menyelesaikan cabaran secara efektif.
7 Aspek Kemahiran Insaniah dan Kepentingannya
Memetik portal Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia, kemahiran insaniah atau soft skills boleh dikategorikan kepada 7 aspek iaitu.
1. Kemahiran Berkomunikasi (Communication Skills)
Kemahiran berkomunikasi adalah keupayaan menyampaikan maklumat dengan jelas dan efektif melalui pelbagai medium, termasuk komunikasi lisan, tulisan, dan visual, serta mendengar secara aktif.
Ia merangkumi keupayaan untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan secara lisan, bertulis, atau melalui media visual.
Kemahiran komunikasi yang mantap adalah penting untuk:
- Membina hubungan baik dengan rakan sekerja dan pelanggan.
- Menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan dalam persekitaran kerja.
- Meningkatkan keyakinan diri ketika berurusan dengan pelbagai pihak.
2. Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah (Critical Thinking and Problem Solving)
Pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah pula merujuk kepada kemampuan individu dalam menganalisis isu, membuat keputusan berdasarkan logik, dan mencari penyelesaian kreatif terhadap cabaran.
Kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis adalah penting untuk membantu individu:
- Menganalisis masalah secara mendalam dan mencari penyelesaian yang kreatif.
- Membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik.
- Mengadaptasi kepada situasi yang kompleks dan mencabar.
3. Kemahiran Kerja Berpasukan (Teamwork Skills)
Kemahiran ketiga ini merangkumi kebolehan bekerjasama dengan orang lain secara harmoni untuk mencapai matlamat bersama melalui sokongan, kepercayaan, dan rasa hormat.
Nilai ini turut menekankan pentingnya bekerja secara kolektif untuk mencapai matlamat bersama. Dengan kemahiran berpasukan yang baik, individu mampu :
- bekerjasama dengan individu dari latar belakang berbeza.
- Menggalakkan semangat tolong-menolong dan saling menghormati.
- Meningkatkan produktiviti dengan membina hubungan kerja yang baik.
4. Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat (Lifelong Learning and Information Management)
Ia merujuk kepada keupayaan seseorang untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat, mengurus dan menggunakan maklumat secara berkesan untuk perkembangan peribadi.
Kemahiran ini merangkumi keupayaan untuk terus belajar dan mengurus maklumat dengan baik, termasuk:
- Kemahiran belajar secara kendiri.
- Kebolehan mengakses, menganalisis, dan menggunakan maklumat secara berkesan.
- Menyesuaikan diri kepada perubahan sekeliling dan perkembangan teknologi.
5. Kemahiran Keusahawanan (Entrepreneurship Skills)
Kemahiran keusahawanan pula merujuk kepada kreativiti dan keberanian yang dimiliki seseorang untuk mencipta peluang baru, mengambil risiko, serta mengurus sumber secara optimum untuk mencapai matlamat.
Kemahiran ini menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam mencipta peluang atau perniagaan baru. Antara kepentingannya adalah :
- Untuk membina keyakinan dalam mengambil risiko demi mencapai matlamat.
- Untuk mengasah kemahiran penyusunan strategi dan kreatif dalam menyelesaikan masalah.
- Bagi membina kebolehan mengurus sumber dengan berkesan untuk menjayakan perniagaan.
6. Etika dan Moral yang Profesional (Ethics and Professional Morals)
Nilai-nilai etika seperti integriti, kejujuran, empati dan rasa tanggungjawab dalam kehidupan peribadi dan profesional perlulah dimiliki oleh semua individu.
Ia juga dapat membantu membina kepercayaan dan kredibiliti seseorang.
Kemahiran ini menekankan pentingnya nilai etika dalam setiap tindakan, seperti:
- Membuat keputusan berdasarkan prinsip moral yang kukuh.
- Memastikan integriti dan nilai tanggungjawab dalam mengendalikan tugas atau pekerjaan.
- Membangunkan kepercayaan dan kemampuan membina hubungan profesional.
7. Kemahiran Kepimpinan (Leadership Skills)
Kemahiran kepimpinan adalah keupayaan untuk memimpin, memberi inspirasi, dan membimbing individu atau pasukan ke arah pencapaian matlamat yang diinginkan.
Ia membolehkan individu memimpin dan memotivasi pasukan dengan berkesan. Antara kepentingan utamanya adalah untuk :
- Membimbing pasukan ke arah matlamat yang sama.
- Menunjukkan teladan melalui tingkah laku dan komunikasi positif.
- Menggalakkan inovasi dan inspirasi dalam kalangan rakan sekerja.
Kesimpulannya, ketujuh-tujuh kemahiran insaniah ini memainkan peranan penting dalam membentuk individu yang holistik dan kompeten.
Penguasaan kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik dan kerjaya, tetapi juga melahirkan individu yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara positif.
Dengan mempraktikkan kemahiran insaniah, seseorang bukan sahaja dapat menghadapi cabaran dengan lebih baik, tetapi juga membina hubungan yang harmoni, memacu inovasi, dan mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan peribadi dan profesional.
Sumber : Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia, Indeed