Kangkung : Jenis, Kandungan Nutrisi dan Khasiat Untuk Tubuh

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Adakah anda penggemar sayur kangkung? Sayur yang juga dikenali sebagai water spinach atau ong choy ini merupakan antara sayur yang popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Daunnya yang lembut dan batangnya yang rangup menjadikan sayur kangkung sesuai untuk diolah kepada pelbagai aneka juadah seperti digoreng kilas, dikukus, dimasak sup dan pelbagainya.

Sayuran ini juga dikatakan menjadi pilihan ramai peladang dan penggemar tumbuhan kerana ia pantas membesar dan mudah untuk dijaga.

Jenis Kangkung

Tahukah anda yang sebenarnya terdapat dua jenis kangkung iaitu Kangkung Darat dan Kangkung Air?

Perbezaan dua jenis sayuran ini boleh dilihat pada batang, bentuk daun dan warna bunga.

Kangkung Darat mempunyai daun berbentuk tirus, batang berwarna hijau dan bunga putih.

kangkung

Sementara itu, Kangkung Air pula mempunyai daun yang agak lebar, saiz batangnya lebih besar dan berwarna hijau tua dan mempunyai bunga berwarna kemerah-merahan.

kangkung
Sumber : community.samsung.com

Kangkung Darat boleh ditanam di batas seperti sayuran lain seperti bayam dan sawi, manakala Kangkung Air hanya boleh hidup di kawasan yang berair.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita lihat kandungan nutrisi serta khasiat yang terkandung dalam sayuran ini.

Kandungan Nutrisi

Setiap 100 gram kangkung mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

NutrisiJumlah
Protein3.1 gram
Karbohidrat3.6 gram
Serabut1.0 gram
Kalsium88.0mg
Zat Besi5.2mg
Kalium78/0mg
Beta karotene (Vitamin A)4,760.mg
Vitamin C48.5 mg

Khasiat Kangkung Untuk Kesihatan

1. Sesuai Untuk Pesakit Darah Tinggi

Kangkung yang tinggi dengan kebaikan kalium boleh melawan sodium iaitu sebatian yang menyebabkan darah tinggi.

Jadi, pesakit darah tinggi serta sakit jantung dilihat sangat sesuai untuk nikmati kangkung sebagai sumber sayuran setiap hari.

2. Melancarkan Sistem Penghadaman

Pasti ramai tak tahu yang 1 gram kangkung mempunyai kandungan serat yang bersamaan dengan 4 sudu oat kecil.

Pengambilan serat yang mencukupi setiap hari dapat membantu melancarkan sistem penghadaman dan mengelakkan masalah sembelit.

Di samping itu, diet tinggi serat juga sangat bermanfaat bagi membantu mencegah peningkatkan gula serta kolesterol dalam darah.

3. Mengurangkan Masalah Anemia

Sayuran berdaun hijau termasuk kangkung merupakan sumber asid folik dan zat besi yang baik bagi mengurangkan masalah anemia.

Masalah anemia atau kekurangan sel darah merah dalam tubuh ini sering dialami oleh ibu hamil. Oleh itu, pengambilan sayuran berdaun hijau amat ditekankan bagi ibu hamil serta pesakit anemia.

kangkung
Sumber : Nutritionist KKM

4. Baik Untuk Kesihatan Mata dan Imuniti Tubuh

Sayur ini juga merupakan sumber vitamin A dan vitamin C yang baik. Vitamin A adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mata dan kulit.

Seperti vitamin A, vitamin C juga memainkan peranan dalam menguatkan sistem pertahanan tubuh.

Di samping itu, vitamin C turut memainkan peranan dalam pembentukan sel dan tisu di samping melindungi tubuh daripada penyakit.

5. Sesuai Untuk Turunkan Berat Badan

Setiap 100 gram kangkung hanya mengandungi 20 kcal sahaja. Jadi, sayuran ini dilihat sangat bagus untuk diamalkan bagi yang ingin menurunkan berat badan.

Selain itu, kandungan seratnya yang tinggi juga membuatkan seseorang berasa kenyang dengan lebih lama.

Mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia, kita disyorkan untuk ambil sekurang-kurangnya 3 sajian sayur setiap hari.

Oleh itu, jangan lupa untuk amalkan sayur kangkung serta sayuran dan buah-buahan lain bagi memenuhi keperluan khasiat harian.

Sangat mudah untuk dijumpai di pasaran, sayuran ini juga baik untuk dinikmati seisi keluarga kerana kandungan khasiatnya yang tinggi.

Ia juga kaya dengan vitamin dan mineral penting seperti vitamin A, vitamin C, kalium, zat besi dan serat.

Sumber : Public Health Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia, Nutritionist KKM, MYAgro

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut