Hari Raya 2025: Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2025

Bagi mereka yang ingin mengetahui tarikh Hari Raya 2025, berikut merupakan tarikh Hari Raya Aidilfitri 2025 seperti yang dikeluarkan oleh JAKIM.

Walau bagaimanapun, tarikh ini adalah bergantung kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang akan diumumkan kelak.

Pengenalan 1 Syawal

Hari Raya Aidilfitri yang juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan
Hari Lebaran disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa.

Ini selaras dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:

“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.

Sunnah Ketika Hari Raya Aidilfitri

Ketika Hari Raya Aidilfitri, kita digalakkan untuk melakukan sunnah-sunnah berikut:

  • Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas).
  • Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
  • Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat hari raya.
  • Bagi makmum sunat pergi ke tempat solat raya lebih awal, sementara Imam disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat.
  • Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].
  • Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.
  • Keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain. Bagi yang mampu adalah lebih afdhal pergi solat berjalan kaki,
  • Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim, serta  mengucapkan sebarang ucapan yang baik. Para sahabat Rasulullah s.a.w ketika bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut:تقبل الله منا ومنك  (semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu).
  • Tidak berjabat salam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.

Penetapan Tarikh Hari Raya Aidilfitri

Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2025 ditentukan melalui dua cara iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan).

Rukyah atau melihat anak bulan pada petang 29 haribulan hijrah bagi menentukan sama ada keesokan harinya 30 haribulan atau 1 haribulan.

Sekiranya anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam maka keesokan harinya dikira awal bulan baharu tetapi sekiranya tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30 haribulan.

Di Malaysia, sekiranya anak bulan tidak kelihatan berdasarkan kaedah rukyah maka kaedah Imkanul Rukyah akan digunakan bagi menentukan keesokan harinya 30 haribulan atau 1 haribulan.

Tarikh Hari Raya 2025

Menerusi takwim yang dikeluarkan oleh JAKIM, tarikh hari raya 2025 dijangka jatuh pada 31 Mac 2025 iaitu pada hari Isnin.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!