Doa Minum Air Zam-Zam & Kelebihan Air Zam-Zam

Doa Minum Air Zam-Zam & Kelebihan Air Zam-Zam

Air Zam-Zam adalah merupakan air suci yang sangat ‘bernilai’ kerana kelebihannya yang banyak serta mempunyai sejarahnya tersendiri. Ia hanya dapat ditemukan dari sumur Zamzam yang terletak di dalam Masjidil Haram, Arab Saudi.

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Air Mazi – Perbezaannya Dengan Air Mani & Keperluan Mandi Wajib

Pengertian Zamzam

Doa Minum Air Zam-Zam & Kelebihan Air Zam-Zam

Merujuk laman sesawang Mufti WP, perkataan Zamzam dalam bahasa Arab bermaksud yang banyak atau melimpah. 

Manakala Zamzam yang dimaksudkan dalam Syariat adalah air yang berasal daripada telaga Zamzam yang terletak berhampiran Ka’bah, yang berjarak sekitar 38 hasta.

Dinamakan Zamzam sesuai dengan maksudnya, kerana sememangnya air daripada telaga tersebut sangat banyak dan berlimpah. Tidak habis walaupun diambil dan dibawa setiap hari ke seluruh penjuru dunia oleh umat Islam.  

Dinamakan dengan Zamzam boleh juga diambil daripada perbuatan Hajar. Ketika air Zamzam terpancar, beliau segera mengumpulkan dan membendungnya. Atau diambil daripada galian Malaikat Jibril dan perkataannya ketika dia berkata kepada Hajar. 

Disebutkan juga, bahawa Zamzam adalah ‘alam, atau nama asal yang berdiri sendiri, bukan berasal daripada kalimat atau perkataan lain. Atau juga diambil daripada suara air Zamzam tersebut, kerana Zamzamatu al-ma’ adalah suara air itu sendiri. 

Nama lain bagi Zamzam seperti telah diketahui antara lain disebut juga sebagai barrah (kebaikan), madhmunah (yang berharga), taktumu (yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa’ suqim (ubat penyakit), syarab al-abrar (minuman orang-orang baik), tayyibah (yang baik).

Kisah Sejarah Air Zam-Zam

Air zamzam muncul semasa zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS di sebuah tempat yang tidak ada tanda-tanda kehidupan. 

Nabi Ismail pada masa itu masih bayi. Akibat kehausan, Nabi Ismail terus menerus menangis. Siti Hajar kemudian berusaha mencari air dengan berlari sebanyak 7 kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Atas izin Allah, muncullah mata air yang dikenal sebagai air zamzam. 

Kisah ini ada juga diceritakan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Abbas RA. 

وَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تُرْضِعُ إِسْمَاعِيلَ وَتَشْرَبُ مِنْ ذَلِكَ المَاءِ، حَتَّى إِذَا نَفِدَ مَا فِي السِّقَاءِ عَطِشَتْ وَعَطِشَ ابْنُهَا، وَجَعَلَتْ تَنْظُرُ إِلَيْهِ يَتَلَوَّى، أَوْ قَالَ يَتَلَبَّطُ، فَانْطَلَقَتْ كَرَاهِيَةَ أَنْ تَنْظُرَ إِلَيْهِ، فَوَجَدَتِ الصَّفَا أَقْرَبَ جَبَلٍ فِي الأَرْضِ يَلِيهَا، فَقَامَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَتِ الوَادِيَ تَنْظُرُ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا، فَهَبَطَتْ مِنَ الصَّفَا حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الوَادِيَ رَفَعَتْ طَرَفَ دِرْعِهَا، ثُمَّ سَعَتْ سَعْيَ الإِنْسَانِ المَجْهُودِ حَتَّى جَاوَزَتِ الوَادِيَ، ثُمَّ أَتَتِ المَرْوَةَ فَقَامَتْ عَلَيْهَا وَنَظَرَتْ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا فَفَعَلَتْ ذَلِكَ سَبْعَ مَرَّاتٍ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَذَلِكَ سَعْيُ النَّاسِ بَيْنَهُمَا» فَلَمَّا أَشْرَفَتْ عَلَى المَرْوَةِ سَمِعَتْ صَوْتًا، فَقَالَتْ صَهٍ – تُرِيدُ نَفْسَهَا -، ثُمَّ تَسَمَّعَتْ، فَسَمِعَتْ أَيْضًا، فَقَالَتْ: قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ، فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ، فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ، أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ، حَتَّى ظَهَرَ المَاءُ

Maksudnya: 

“Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). 

Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. 

Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. 

Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? 

Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. 

Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah memperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. 

Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. 

[Riwayat al-Bukhari, (3364)]

Doa Minum Air Zam-Zam 

Doa Minum Air Zam-Zam & Kelebihan Air Zam-Zam

Berikut adalah beberapa bacaan doa minum air zam zam yang boleh diamalkan.

Doa 1:

Daripada Ikramah meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas apabila minum air zam-zam berdoa:

Allāhumma innī as’aluka ‘ilman nafi’an, wa rizqan wasi’an, wa syifā’an min kulli dā’in.

Maksud: “Ya Allah ya Tuhanku! Daku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit.”  (Hadis riwayat ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

Doa 2:

Allāhumma Innahū Qad Balaghanī ‘An Nabiyyika Annahū Qāla, ‘Mā’u Zamzama Li Mā Syuriba Lah,’ Wa Anā Asyrabuhū Li Sa‘Ādatid Duniyā Wal Ākhirah. Allāhumma Faf‘Al. 

Maksud: “Wahai Tuhanku, sungguh telah sampai padaku hadis dari Nabi-Mu, ia bersabda, ‘Air zamzam bermanfaat sesuai tujuan diminumnya,’

Doa 3:

Allahumma zid haadza al-maa tabarrukan wa salaaman wa nuuran wa hudan.

Maksud: “Ya Allah, tambahkanlah berkah, keselamatan, cahaya, dan petunjuk dalam air ini.”

Kelebihan Air Zam-Zam

Doa Minum Air Zam-Zam & Kelebihan Air Zam-Zam

1. Air zamzam adalah air terbaik di dunia.

 Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ ،

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)] [al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadith ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat: Majma’ al-Zawaid, 286/3]

2. Air zamzam boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. 

 Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

فِيْهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ

Maksudnya: “Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

3. Air zamzam merupakan penawar bagi penyakit. 

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya: “Dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

4. Air zamzam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW.

Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda : 

فَنَزَلَ جِبْرِيْلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَفَرَّجَ صَدْرِيْ، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءٍ زَمْزَمَ

Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam”. [Riwayat al-Bukhari (1636)]

Adab Minum Air Zam-Zam

  1. Berdoa sambil minum air zamzam.
  1. Menghadap kiblat: Ibn Abbas (RA) berkata bahawa seseorang itu hendaklah minum air Zamzam sambil menghadap kiblat. (Sunan Ibnu Majah 3061)
  1. Berdiri: Ibnu Abbas r.a. berkata: “Aku telah memberikan air zamzam kepada Nabi Muhammad SAW dan beliau meminumnya sambil berdiri.” (Sunan an-Nasai, 2965)
  1. Minum air zamzam dalam 3 tegukan: Dalam riwayat lain, Ibn Abbas (RA) menasihati umat Islam supaya meminum air Zamzam dalam tiga teguk kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad (SAW). (Sunan Ibnu Majah, 3061)
  1. Sapukan sedikit air zamzam di dada, kepala dan muka.
  1. Minumlah air zam-zam sehingga kenyang kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
  1. Sesudah minum, ucapkan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى (baca Alhamdulillah).

Sumber:

  1. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-125: AIR ZAMZAM (ماء زمزم) – Mufti WP
  2. #37: Kelebihan Air Zamzam dan Hadith Tentangnya – DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
  3. Doa Ketika Minum Air Zamzam – Tabung Haji
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!