Daun Semambu Mampu Merawat 40 Penyakit? Ini Faktanya

daun semambu
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Menurut fakta yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan kira-kira 80% penduduk di negara membangun bergantung kepada ubat-ubatan tradisional termasuklah dari spesis tumbuhan dan produk dari tumbuhan itu sendiri seperti daun semambu.

Daun ini dikatakan sudah digunakan oleh masyarakat di negara India sejak lebih daripada 4000 tahun lagi untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit sebelum wujudkan perubatan moden.

Artikel pada kali ni kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan khasiat daun semambu dan cara penggunaannya yang betul.

Baca juga:

Apa itu daun semambu?

daun semambu

Pokok semambu atau dikenali sebagai margosa dan nama scientifiknya adalah Azadirachta indica (Neem).

Pokok ini biasanya berdaun dan boleh mencapai ketinggian sehingga kira-kira 75 kaki. Ia biasa tumbuh di kawasan tropika dan subtropika.

Hampir ke semua bahagian pokok ini boleh digunakan dari biji, daun, buah, bunga, minyak, akar dan kulit kayunya.

Jika anda pernah berkunjung ke negara India, pokok semambu adalah antara pokok yang terbanyak mudah didapati sepanjang tepi jalan di sana.

Justeru tidak hairanlah sekiranya ia dianggap sebagai antara keajaiban India.

Di negara Afrika, pokok semambu dikenali sebagai “Mohorbany” ia dipercayai boleh menyembuhkan 40 jenis penyakit ringan dan kronik.

Selain digunakan dalam perubatan, wangian, dan bahan pewarna, ia juga dijadikan salad oleh kebanyakkan masyarakat Myanmar dan sajian lain seperti direbus, digoreng dan dimasukkan ke dalam kari.

“Sesetengah masyrakat beragama Hindu percaya jika seseorang menanam tiga atau lebih pokok semambu dalam hidup mereka, mereka akan masuk syurga”

Kandungan nutrisi dalam daun semambu

Daun semambu adalah sumber yang kaya dengan:

  • Vitamin C
  • Vitamin E
  • Antioksidan
  • Asid lemak Omega-6
  • Nimbin

Khasiat daun semambu

Terdapat banyak khasiat daun semambu kepada kesihatan manusia. Berikut adalah antara khasiatnya:

1. Mencegah jangkitan bakteria dan kulat

Dalam Pharmacognosy Journal, kajian mendapati bahawa daun semambu yang diekstrak dapat membantu menghalang aktiviti bakteria seperti Staphylococcus aureus yang menyebabkan penyakit kulit dan membantu dalam jangkitan kulat sepert Candida albicans yang menyebabkan penyakit genital.

Di samping itu, ia juga dapat mengatasi masalah kelemumur yang disebabkan jangkitan kulat menurut kajian Drug Invention Today Journal oleh Gebrehiwot dan rakannya.

Selain itu, penelitiannya menyatakan bahawa daun semambu yang dijadikan sebagai pes boleh membantu untuk merawat bisul yang terjadi dari penyakit cacar air untuk membantu dalam melegakan kulit yang sakit.

2. Membantu melawan kanser dan virus

Ahli-ahli sains dari negara Europah, Jepun and India telah menemukan komponen seperti limonoid dan polisakarida yang ada pada pokok semambu boleh menghalang penyakit kanser dan virus.

Kajian menunjukkan ekstrak daunnya sangat berkesan terhadap penyakit leukemia limfositik.

Kajian turut mendapati, ia menunjukkan kesan antivirus yang signifikan seperti mencegah virus simpleks herpes (HSV) dan penyakit polio.

3. Mengawal paras gula dalam darah

Salah satu penggunaan daun semambu yang terkenal adalah untuk menurunkan paras gula dalam darah.

Hal ini kerana, kandungan flavonoid dan glikosida boleh membantu menguruskan paras gula darah yang optimum bagi mereka yang menghidap diabetes atau penyakit kencing manis.

Walaupun begitu, masih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk mengkaji tentang hubung kaitnya berkenaan mengunyah daun ini ketika perut kosong pada waktu pagi dengan kesan paras gula dalam darah.

4. Menurunkan berat badan

Pengambilan daun semambu semasa perut kosong dalam bentuk jus yang dicampur bersama madu dan lemon dipercayai boleh membantu menurunkan berat badan.

Ini kerana, daun tersebut mempunyai fungsi tertentu dalam menyahtoksik dan meningkatkan metabolisme badan.

Namun, pastinya pengambilan daun ini semata-mata tidak akan menunjukkan hasil yang ketara.

Justeru gabungkanlah dengan melakukan senaman dan diet yang seimbang untuk kesan yang lebih baik.

5. Menyihatkan kulit kepala

Sifat antikulat dalam daun ini berpotensi membantu melawan jangkitan kulit kepala yang disebabkan oleh malassezia.

Malassezia adalah sejenis kulat yang memakan minyak kulit kelapa semua jadi sehingga menjadikan rambut anda lebih berminyak dari biasa.

Bukan itu sahaja, daun semambu juga kaya dengan antioksidan yang boleh membantu melawan kerosakan radikal bebas pada kulit kepala.

Hal ini secara tidak langsung menghalang masalah “penuaan” awal kulit kepala, masalah rambut gugur, dan meningkatkan pertumbuhan rambut baru yang lebih sihat serta kuat.

6. Mengandungi antiokasidan

Salah satu kelebihan daun semambu adalah ia mengandungi antioksidan dan bersifat sebagai mencegah atau memperlambat kerosakan sel.

Menurut kajian klinikal oleh Oscar dan rakannya di National University of San Marcos, menunjukkan bahawa daun ini dapat merawat penyakit kencing manis, kegelisahan dan menjaga fungsi hati.

Hal ini turut disokong oleh sebuah kajian pada tahun 2016 menerusi Indian Journal of Experimental Biology di mana, komponen pada daun semambu seperti rutin dan quercetin telah terbukti mempunyai kesan pada gula darah rendah dan tinggi.

Selain itu, komponen seperti nimbolide yang ada pada daun semambu juga menjadi unsur penting bagi penjagaan hati.

7. Melawan keradangan

Di samping itu, daun ini juga boleh digunakan untuk melegakan sakit otot dan sakit sendi serta membantu meredakan penyakit rematik, osteoartritis dan sakit belakang.

Ini berdasarkan kepada kajian dari International Journal of Trend in Scientific Research and Development yang melaporkan bahawa ekstrak daun semambu boleh membantu dalam aktiviti antiradang.

8. Menguatkan sistem imun

Selain daripada itu, daun semambu juga dapat memperbaiki sistem imuniti manusia kerana ia bersifat antihistamin.

Menurut kajian yang dilaporkan oleh Drug Intervention Today, ia mempunyai keupayaan untuk menghalang reaksi alergi secara luaran dan dalaman.

Artikel tersebut mendapat sokongan dari The Economics Times yang menyatakan bahawa daun semambu membantu mengeluarkan toksin dan kotoran dari dalam darah.

9. Membantu sistem penghadaman yang baik

Pada waktu yang sama, daun semambu dapat menjadikan sistem penghadaman manusia bertambah baik.

Hal ini berdasarkan dapatan dari kajian Bangladesh Academy of Sciences yang menyatakan bahawa ia membantu menyembuhkan ulser dalam perut dan usus.

10. Mengawal plak gigi

Penggunaan daun semambu dapat mengurangkan bilangan bakteria yang wujud di dalam mulut yang menyebabkan plak dan kerosakan gigi.

Dalam sebuah kajian pada tahun 2019, ia menunjukkan bahawa tabiat membilas mulut dengan menggunakan ekstrak daun semambu selama 2 minggu boleh mengurangkan plak gigi atau gingivitis yang dikenali sebagai radang gusi.

Cara pengunaan daun semambu yang betul

Untuk mengatasi rasa pahit daun ini, anda boleh campurkannya dengan madu atau boleh juga direbuskan ke dalam air lalu diminum semasa perut kosong.

Sekiranya ia tidak membantu, cuba rendam daun tersebut dalam air selama 5 minit dan kisar sehingga menjadi tekstur seperti pes.

Kemudian, tambahkan air, lemon dan gula ke dalam bancuhan untuk menjadikannya minuman pada waktu pagi yang sihat dan sedap.

Anda juga boleh membuat teh panas daripada daun semambu jika tidak tahan memakannya ketika mentah kerana rasa yang pahit.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan khasiat daun semambu dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. What Is Neem Extract? Benefits, Uses, Risks, and Side Effects. Healthline
  2. Pokok Semambu – Merawat 40 Penyakit. Jabatan Pertanian Malaysia
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut