Daun Dukung Anak : Potensi, Kegunaan Tradisional dan Kesan Sampingan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Daun Dukung Anak mudah dijumpai di kawasan persekitaran seperti di padang rumput, kawasan semak dan di celah pasu pokok.

Ia boleh dikenali dengan mudah melalui susunan daun kecil yang bertentangan dengan gugusan buah kecil yang tersusun selari di bawahnya.

Walaupun ia jarang dipandang orang dan seringkali dicabut dari tanah kerana dianggap tiada nilai, namun tumbuhan ini merupakan salah satu herba yang sering digunakan dalam perubatan tradisional.

daun dukung anak

Pada masa yang sama, ia turut dijadikan sebagai bahan utama suplemen dan produk kesihatan seperti teh uncang, kapsul dan pati herba.

Tumbuhan dengan nama saintifik Phyllanthus niruri ini dikatakan mempunyai beberapa manfaat untuk tubuh antaranya dapat merawat masalah batu karang, melancarkan sistem penghadaman dan sebagai penawar demam kuning.

Ia juga dikenali dengan nama lain seperti Amin Buah, Gale of The Wind dan Stonebreaker.

daun dukung anak

Potensi Pokok Dukung Anak Untuk Kesihatan

Memetik WebMD, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan potensi Dukung Anak untuk kesihatan tubuh.

Merawat Masalah Batu Karang

Herba yang digelar Stonebreaker (pemecah batu) ini dipercayai berpotensi tinggi dalam merawat masalah batu karang.

Ini mungkin disebabkan oleh sifat alkali daun Dukung Anak dalam mencegah pembentukan batu karang yang berasid.

Dalam sebuah kajian pada 2018, kira-kira dua pertiga daripada 56 orang pesakit mendapati saiz dan jumlah batu karang telah berkurang dalam masa 12 minggu setelah mengamalkan daun Dukung Anak.

Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Satu lagi khasiat utama tumbuhan ini adalah kandungan antioksidanya yang berpotensi dalam mengawal paras gula dalam darah.

Walau bagaimanapun, kajian yang lebih mendalam terhadap manusia perlu dijalankan bagi membuktikan dakwaan ini.

Mencegah Ulser Perut

Dalam sebuah kajian tabung uji, ekstrak Dukung Anak didapati mampu menghapuskan bakteria yang menyebabkan ulser perut iaitu Helicobacter pylori.

Khasiat Daun Dukung Anak Dalam Perubatan Tradisional

Daun ini turut digunakan secara tradisional atau sebagai alternatif rawatan dari rumah bagi beberapa masalah kesihatan seperti berikut :

Merawat Luka dan Kudis 

Pokoknya ditumbuk bersama beras dan kunyit kemudian disapu pada kawasan yang bermasalah.

Demam Kuning 

Secekak pokok direbus dan dicampur bersama setengah cawan susu kambing. Airnya dijadikan air mandian sekali sehari sehingga sembuh.

Melancarkan Haid dan Sembelit

Rebus daun dan minum airnya.

Merawat Sakit Gigi

Akarnya direbus kemudian airnya dibuat kumur.

Di samping itu, keseluruhan bahagian pokok ini juga biasanya diambil dalam bilangan ganjil kemudian direbus dan dijadikan air minuman bagi merawat :

  • Panas badan
  • Sakit kepala
  • Sakit mata
  • Cirit-birit
  • Kencing manis
  • Jangkitan saluran kencing
  • Masalah batu karang

Kesan Sampingan dan Risiko Pengambilan

Sebelum anda mengambil herba ini, anda perlulah maklum mengenai kesan sampingan yang boleh berlaku antaranya :

Tekanan Darah dan Paras Gula

Memandangkan daun Dukung Anak boleh mengurangkan tekanan darah dan paras gula dalam tubuh, ia perlulah diambil secara berjaga-jaga lebih-lebih lagi jika anda sedang mengambil ubat tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Risiko Kehamilan dan Menyusu Anak

Herba ini mungkin tidak selamat bagi wanita hamil atau yang sedang merancang untuk hamil. Dalam jumlah yang besar, herba ini boleh mencegah kehamilan dan mengakibatkan masalah pada kandungan.

Ibu yang sedang menyusu anak juga disarankan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan daun ini bagi mengelakkan sebarang masalah kepada bayi.

Pendarahan

Sifat Dukung Anak yang boleh memperlahankan proses pembekuan darah boleh menyebabkan masalah pada sesetengah pesakit.

Sebuah kajian juga mendapati pengambilan Dukung Anak juga mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti :

  • Sakit ketika membuang air kecil  
  • Mual
  • Sakit pada bahagian abdomen
  • Darah ketika membuang air kecil

Meskipun herba Dukung Anak dikatakan berkhasiat, namun ia perlulah diambil secara berhati-hati. Dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkannya.

Ini penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan yang tidak diingini.

Sumber : jpn.penang.gov.my, WebMD, Jabatan Pertanian

Baca Juga : Daun Salam: 10 Khasiat Luar Biasa & Cara Untuk Simpan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut