Tarikh Malam Nisfu Syaaban 2023, Kelebihan & Doa
TARIKH, KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN & DOA
Bulan Rejab telahpun berlalu pergi, kini tibalah bulan Sya’aban 1444h.
Bulan Sya’aban adalah salah satu bulan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya kerana hampirnya ia dengan bulan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT.
Malah pada pertengahan Bulan Sya’aban yang dipanggil Nisfu Sya’aban adalah antara malam yang dinantikan oleh umat Islam berikutan terdapat dalam hadis (hadith) riwayat mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Sya’aban.
Berikut dikongsikan antara hadis yang sahih berkenaan malam Nisfu Sya’ban ini, kelebihannya, serta doa-doa yang boleh diamalkan.
Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Tarikh Malam Nisfu Syaaban 2023
Awal Syaaban (1 Syaaban) = 22 Februari 2023, Rabu
Insha Allah kita akan menyambut kedatangan 1 Syaaban setelah masuk waktu Maghrib, 21 Februari 2023 ini (Selasa).
15 Syaaban (Nisfu Syaaban) = 8 Mac 2023, Rabu
Ini bermaksud, tarikh malam Nisfu Sya’ban akan disambut pada 7 Mac 2023 (Rabu) selepas masuk waktu Maghrib.
Doa Bulan Syaaban
Jom kita sama-sama memperbanyakkan doa-doa ini ketika di bulan Rejab dan Syaaban, semoga Allah swt kurniakan buat kita kekuatan dan kembalikan semula penghayatan kita untuk lebih giat beribadah nanti di bulan ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi, in Shaa Allah.
Doa-doanya ialah:
DOA 1
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kami dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.”
DOA 2
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadhan itu).”
Mintalah juga pada Allah swt agar kita diberi kesihatan yang baik dan berterusan, agar dapat beribadah pada Allah swt pada setiap masa, khususnya pada bulan Ramadhan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima Allah swt.
NISFU SYA’BAN TERMASUK 5 MALAM MUSTAJAB DOA – IMAM AS-SYAFI’E RA
قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.
Imam asy-Syafie berkata : “Doa itu mustajab pada lima malam; malam jumaat, malam raya adha, malam raya fitri, malam awal bulan rejab dan malam pertengahan / nisfu sya’ban.”
Diriwayatkan dalam:
Imam asy-Syafie, Al-Umm, Jilid 1/254, Dar El Fikr, 2009,
Imam al-Baihaq, Sunnah al-Kubra, 3/319, no: 6518.
Syu’bul Iman, 3/341, no: 3711.
Semoga kita semua diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Bulan Ramadan pada tahun ini, Insya Allah.
Baca juga: