Malam Nisfu Syaaban 2026 – Doa & Kelebihan

Nisfu Syaaban 2026 jatuh pada 3 Februari 2026 (Selasa). Malam Nisfu Syaaban bermula pada waktu Maghrib, 2 Februari 2026 (Isnin malam Selasa). Untuk mengetahui tarikh-tarikh penting dalam Islam 2026, sila rujuk takwim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di pautan berikut: https://www.e-solat.gov.my/

Bulan Sya’aban adalah salah satu bulan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya kerana hampirnya ia dengan bulan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT.

Pada pertengahan Bulan Sya’aban, terdapat hari yang dipanggil Nisfu Sya’aban. Malamnya adalah antara malam yang dinantikan oleh umat Islam berikutan terdapat dalam hadis (hadith) riwayat mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Sya’aban.

Berikut dikongsikan antara hadis yang sahih berkenaan malam Nisfu Sya’ban ini, kelebihannya, serta doa-doa yang boleh diamalkan.

Apa Itu Nisfu Sya’ban?

Nisfu Syaaban berasal daripada perkataan Arab “Nisfu” yang bermaksud pertengahan dan “Syaaban” iaitu nama bulan kelapan dalam kalendar Hijriah. Oleh itu, Nisfu Syaaban merujuk kepada hari ke-15 dalam bulan Syaaban.

Dalam Islam, malam Nisfu Syaaban dianggap sebagai malam yang sangat istimewa selepas malam Lailatul Qadar.

Nisfu Syaaban juga berfungsi sebagai “isyarat” atau peringatan bahawa bulan suci Ramadan akan tiba dalam masa kira-kira dua minggu lagi.

Ia merupakan waktu terbaik untuk membersihkan hati dan menguatkan rohani sebelum memasuki bulan puasa.

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

1. Malam Pengampunan (Lailatul Bara’ah): Allah SWT akan memberikan pengampunan kepada seluruh hamba-Nya kecuali orang yang melakukan syirik dan orang yang bermusuhan.

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

2. Malam Mustajab Doa: Imam al-Shafi’i menyatakan bahawa malam ini adalah salah satu daripada lima malam di mana doa tidak akan ditolak.

3. Malam Penentuan Takdir: Sebahagian ulama berpendapat bahawa pada malam ini, catatan amal diangkat dan takdir tahunan (seperti rezeki, ajal, dan amalan) ditentukan atau dikemaskini bagi tahun yang akan datang.

Tarikh Malam Nisfu Syaaban 2026

Awal Syaaban (1 Syaaban) = 20 Januari 2026 (Selasa) * Insha Allah kita akan menyambut kedatangan 1 Syaaban setelah masuk waktu Maghrib, 19 Januari 2026 (Isnin).

15 Syaaban (Nisfu Syaaban) = 3 Februari 2026 (Selasa) *Ini bermaksud, tarikh malam Nisfu Sya’ban akan disambut pada malam 2 Februari 2026 (Isnin), selepas masuk waktu Maghrib.

Sila rujuk Takwim 2025 Miladiah / 1446 – 1447 Hijriah yang dikeluarkan oleh JAKIM bagi Malaysia dalam lampiran berikut :

Tarikh-tarikh Penting Dalam Islam 2026

Berdasarkan kalendar Islam (Takwim Hijri) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi hari kebesaran Islam di Malaysia untuk tahun 2026 (1447H – 1448H):

NOTA:

Tarikh bagi Awal Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, dan Hari Raya Aidiladha adalah tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas aktiviti cerapan anak bulan (rukyah).

Cuti Umum:

  • Awal Muharram & Maulidur Rasul: Cuti umum kebangsaan.
  • Awal Ramadan: Cuti umum bagi negeri Johor, Kedah, dan Melaka.
  • Nuzul Al-Quran: Cuti umum bagi kebanyakan negeri kecuali Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, dan Sarawak.
  • Aidilfitri & Aidiladha: Merupakan cuti umum kebangsaan (seluruh Malaysia).

Kalendar Islam 1447H (2025-2026)

  • 1 Muharram 1447H: 27 Jun 2025
  • 1 Safar 1447H: 26 Julai 2025
  • 1 Rabiulawal 1447H: 25 Ogos 2025
  • 1 Jamadilakhir 1447H: 23 Oktober 2025
  • 1 Rejab 1447H: 22 Disember 2025
  • 1 Syaban 1447H: 20 Januari 2026
  • 1 Ramadan 1447H: 19 Februari 2026 (tentatif)
  • 1 Zulhijjah 1447H: 18 Ogos 2026
  • 1 Zulkaedah 1447H: 16 Oktober 2026
  • 1 Syawal 1447H: 21 November 2026

Doa Bulan Syaaban

Jom kita sama-sama memperbanyakkan doa-doa ini ketika di bulan Rejab dan Syaaban, semoga Allah swt kurniakan buat kita kekuatan dan kembalikan semula penghayatan kita untuk lebih giat beribadah nanti di bulan ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi, in Shaa Allah.

Doa-doanya ialah:

DOA 1

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kami dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.”

DOA 2

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadhan itu).”

Mintalah juga pada Allah swt agar kita diberi kesihatan yang baik dan berterusan, agar dapat beribadah pada Allah swt pada setiap masa, khususnya pada bulan Ramadhan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima Allah swt.

puasa syaaban NISFU sya'ban
Sumber infografik : JAKIM Sabah

NISFU SYA’BAN TERMASUK 5 MALAM MUSTAJAB DOA – IMAM AS-SYAFI’E RA

قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.

Imam asy-Syafie berkata : “Doa itu mustajab pada lima malam; malam jumaat, malam raya adha, malam raya fitri, malam awal bulan rejab dan malam pertengahan / nisfu sya’ban.”

nisfu syaaban 2024
Sumber infografik : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat

Diriwayatkan dalam:

  • Imam asy-Syafie, Al-Umm, Jilid 1/254, Dar El Fikr, 2009,
  • Imam al-Baihaq, Sunnah al-Kubra, 3/319, no: 6518.
  • Syu’bul Iman, 3/341, no: 3711.

Semoga kita semua diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Bulan Ramadan pada tahun ini, Insya Allah.

Hukum Puasa pada Hari Nisfu Syaaban dan Selepasnya

  • Sunat puasa dalam bulan Syaaban secara amnya
  • Dibolehkan puasa sunat pada hari Nisfu Syaaban (15 Syaaban)
  • Dibolehkan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.
  • Haram puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum itu.
  • Dibolehkan puasa wajib seperti qadha, nazar dan seumpamanya pada 16 hingga 30 Syaaban.

BACA JUGA:

Soalan Lazim Nisfu Syaban 2026

Bilakah Malam Nisfu Syaaban 2026?

Malam Nisfu Syaaban jatuh pada malam ke-15 bulan Syaaban. Merujuk kepada jadual JAKIM, 15 Syaaban adalah pada 3 Februari 2026 (Selasa), maka malamnya bermula pada waktu Maghrib hari Isnin, 2 Februari 2026.

Adakah cuti umum untuk Nisfu Syaaban?

Tidak, Nisfu Syaban bukan cuti rasmi di Malaysia, tetapi digalakkan beribadah.

Apakah keistimewaan malam ini?

– Pengampunan Dosa: Allah SWT melihat hamba-Nya dan memberikan keampunan kepada semua kecuali orang yang syirik dan mereka yang bermusuhan.
– Doa Dimakbulkan: Ia merupakan salah satu malam yang mustajab doa di mana permintaan hamba-Nya tidak ditolak.
– Penentuan Takdir: Terdapat pandangan ulama bahawa pada malam ini, catatan amalan setahun diangkat dan takdir bagi tahun hadapan ditetapkan.

Berapakah baki hari ke bulan Ramadan selepas Nisfu Syaaban?

Berdasarkan jadual JAKIM, Nisfu Syaaban (15 Syaaban) jatuh pada 3 Februari 2026, manakala 1 Ramadan dijangka bermula pada 19 Februari 2026. Ini bermakna terdapat baki kira-kira 15 hingga 16 hari sebelum Ramadan bermula.