Cukai Tanah Johor: Semakan dan Cara Bayar

Bagi pemilik tanah atau bangunan di Johor, anda seharusnya sedia maklum akan kewajipan anda membayar Cukai Tanah kepada kerajaan negeri Johor.

Ramai juga yang terkeliru antara Cukai Tanah dan Cukai Pintu – adakah kedua-duanya sama?

Cukai Tanah – Cukai yang dikenakan ke atas pemilik tanah sebagai balasan kepada Pihak Berkuasa Negeri yang telah memberi milik tanah kerajaan kepadanya.

Cukai Pintu – Cukai yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ke atas pemilik atau penghuni pegangan berkadar yang terletak dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan seperti rumah, rumah kedai, hotel dan sebagainya. Cukai Pintu perlu dibayar 2 kali setahun.

Di Johor, Cukai Tanah hendaklah dijelaskan pada atau sebelum 31 Mei setiap tahun. Denda lewat akan dikenakan mulai 1 Jun setiap tahun.

Cukai Tanah perlu dibayar setahun sekali.

Menurut Seksyen 94 Kanun Tanah Negara 1965, Cukai Tanah hendaklah dibayar sepenuhnya mulai hari pertama tiap-tiap tahun dan akan menjadi tunggakan pada hari pertama bulan Jun tahun itu. Apabila mana-mana cukai tanah terhutang, denda kerana terhutang adalah kena dibayar sebagai tambahan kepada cukai semasa.

Kewajipan dari segi undang-undang

Dari manakah datangnya kewajipan membayar Cukai Tanah di Johor ini?

Seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965 – Setiap pemilik tanah berdaftar ATAU wakil bagi pihaknya bertanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah.

Seksyen 94 Kanun Tanah Negara 1965 – Cukai Tanah yang dikenakan hendaklah dibayar pada awal tahun kalendar iaitu 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun. Cukai Tanah yang tidak dijelaskan selepas 31 Mei akan menjadi tunggakan untuk tahun tersebut.

Denda Lewat akan dikenakan jika pembayaran Cukai Tanah dijelaskan selepas 31 Mei. Kadar Denda Lewat 20% akan dikira atas cukai tanah yang tertunggak dengan kadar minima RM10.00. Cukai Tanah hanya perlu dibayar SATU(1) KALI SETIAP TAHUN.

Seksyen 100 Kanun Tanah Negara 1965 – Jika tidak dibayar pada tarikh yang ditetapkan, Notis Tuntutan (Notis 6A) akan dikeluarkan dengan dikenakan bayaran RM20.00 setiap notis. Sekiranya tidak juga dijelaskan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh tarikh penyampaian notis 6A, tindakan MERAMPAS TANAH akan diambil. Penalti maksima 6 kali ganda nilai cukai tanah tertunggak boleh dikenakan untuk menebus kembali tanah itu.

Artikel berkaitan: Semakan Cukai Tanah Setiap Negeri & Cara Bayaran Online

Hukuman bagi Cukai Tanah tertunggak

Apakah tindakan apabila Cukai Tanah anda tertunggak?

Apakah tindakan apabila Cukai tertunggak?

Seksyen 98 (2) Kanun Tanah Negara
Apabila cukai tanah menjadi tunggakan, Pentadbir Tanah Daerah akan mengeluarkan boring 6A kepada tuanpunya tanah dan orang/badan yang ada kepentingan di atas tanah itu.

Seksyen 97 (2) Kanun Tanah Negara
Bayaran yang dituntut dalam boring 6A hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh 3 bulan. Bayaran ini termasuk bayaran notis mengikut sama ada bagi tiap-tiap lot atau tiap-tiap notis sepertimana yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah negeri.

Seksyen 100 Kanun Tanah Negara
Jika selepas tamat tempoh 3 bulan bayaran yang dituntut tidak juga dijelaskan, Pentadbir Tanah Daerah hendaklah membuat satu perintah bagi mengistiharkan tanah itu dilucuthak dan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri.

Seksyen 130 (1) Kanun Tanah Negara
Pengistiharan Perlucuthakan dibuat dengan mewartakan boring 8A di dalam warta Kerajaan Negeri. Perlucuthakan tanah berkuatkuasa daripada tarikh tersiarnya borang Notis 8A.

Semakan hakmilik tanah

Semakan hakmilik boleh dibuat dengan menggunakan carian pilihan seperti berikut :

  • Carian melalui No Kad Pengenalan / No Syarikat
  • Carian melalui No Daftar Lot
  • Carian melalui No Daftar Hak Milik
  • * Contoh No Hakmilik : 010204XX00007777

Semasa memasukkan maklumat carian rujuk pada kedudukan kod seperti di bawah :

* Kod Daerah : 02 (010204XX00007777)
* Kod Mukim : 40 (010204XX00007777)
* Jenis Hakmilik : XX (010204XX00007777)
* No Hakmilik : 00007777 (010204XX00007777)

Cara bayar Cukai Tanah

Pembayaran Cukai Tanah di Johor boleh dibuat melalui salah satu kaedah berikut:

  • Atas talian (Online) layari portal https://johorpay.johor.gov.my
  • Tunai,
  • kad kredit/debit tempatan,
  • bank deraf,
  • kiriman wang,
  • wang pos atas nama PENTADBIR TANAH (daerah di mana pembayaran dibuat).
Bantu kami share artikel ini: