Sekiranya anda merupakan seorang pemilik kediaman, anda perlulah membayar Cukai Taksiran kepada pihak berkuasa temmpatan (PBT) / majlis bandaraya / majlis perbandaran.
Misalnya, sekiranya anda memiliki kediaman di Kuala Lumpur, maka anda perlu membayar cukai ini kepada pihk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Maksud Cukai Taksiran
Ia adalah cukai yang dikenakan ke atas harta tanah yang terletak didalam kawasan pihak berkuasa tempatan / majlis bandaraya / majlis perbandaran:
- Kediaman – Rumah teres, rumah berkembar, rumah sesebuah, rumah bandar, rumah pangsa, pangsapuri, apartment, kondominium, rumah kedai dan sebagainya.
- Perniagaan – Kedai, kedai/pejabat, pusat membeli belah, pawagam, pejabat, hotel, stesen minyak, pusat rekreasi
- Perindustrian – Kilang teres, kilang berkembar dan kilang sesebuah.
- Tanah kosong – Tanah pertanian, tanah pembangunan
Punca kuasa
Dari manakah datangnya kewajipan untuk membayar cukai ini?
Punca kuasa untuk mengenakan Cukai Taksiran adalah dibawah Seksyen 127, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Kadar cukai
Berikut merupakan contoh anggaran kasar cukai taksiran yang dikenakan terhadap pemilik kediaman/bangunan/tanah:
Nilai Tahunan ialah Anggaran Sewa Kasar Setahun yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun dari pegangan yang berkenaan jika disewakan.
NILAI TAHUNAN = ANGGARAN SEWA KASAR SEBULAN X 12 BULAN
Contoh pengiraan bagi rumah teres 1 tingkat:
Luas Bangunan | 140.00 Meter Persegi |
Anggaran Sewa Kasar | RM150.00 Sebulan |
Nilai Tahunan | RM150.00 X 12 bulan = RM1,800.00 |
Kadar | 13% |
Cukai Taksiran Setahun | RM1,800.00 X 13% = RM234.00 |
Cukai Taksiran Sepenggal | RM234.00 ÷ 2 penggal = RM117.00 |
Artikel berkaitan: PBTPay: Cara Bayar Cukai Taksiran / Cukai Pintu & Kompaun Online
Cara Bayar Cukai Taksiran
Setiap pihak berkuasa tempatan / majlis bandaraya / majlis perbandaran membuka kaedah atau mekanisma pembayaran yang berbeza-beza namun kebiasaannya cukai ini boleh dibayar secara dalam talian (online).
Untuk tujuan pembayaran cukai ini, anda perlulah mengetahui siapakah berkuasa tempatan / majlis bandaraya / majlis perbandaran di mana alamat kediaman anda miliki.
Biasanya anda boleh rujuk pada surat yang dihantar ke alamat anda.
Kemudian, ikuti langkah berikut:
- Di pelayar web anda, taip “cukai taksiran” + “nama pihak berkuasa tempatan / majlis bandaraya / majlis perbandaran” anda.
- Misalnya, sekiranya anda tinggal di Ipoh, taip sahaja “cukai taksiran Ipoh”
- Paparan pelayar web akan memaparkan pautan untuk membuat bayaran cukai anda secara dalam talian
- Untuk membuat bayaran, pastikan anda mengetahui nombor cukai anda.
Berikut merupakan beberapa beberapa pihak berkuasa tempatan / majlis bandaraya / majlis perbandaran popular sebagai rujukan anda:
- Kajang – Majlis Perbandaran Kajang
- Petaling Jaya – Majlis Bandaraya Petaling Jaya
- Seremban – Majlis Bandaraya Seremban
- Selayang – Majlis Perbandaran Selayang
- Ipoh – Majlis Bandaraya Ipoh
- Pulau Pinang – eBayar Pulau Pinang
- Sepang – Majlis Perbandaran Sepang