Wasiat orang bujang merupakan satu topik yang jarang dibincangkan dalam masyarakat kita kerana ramai yang beranggapan bahawa wasiat hanya perlu dibuat oleh mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Hakikatnya, tanggapan ini sangat salah dan boleh menyebabkan harta yang dikumpul dengan susah payah selama bertahun-tahun menjadi beku, tidak dapat dimanfaatkan oleh orang yang anda sayang dan akhirnya menimbulkan konflik keluarga yang panjang.
Walaupun anda masih bujang, belum berkahwin dan tidak mempunyai anak, anda tetap mempunyai harta seperti wang KWSP, simpanan ASB, Tabung Haji, kereta, rumah, emas dan pelbagai aset digital yang perlu diuruskan dengan baik jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Realiti Harta Orang Bujang Yang Ramai Tidak Sedar

Ramai anak muda hari ini mula membeli aset seawal umur 25 tahun. Ada yang sudah mempunyai rumah pertama, ada yang mempunyai simpanan puluhan ribu dalam ASB dan ada yang mempunyai perniagaan sendiri.
Apabila seseorang meninggal dunia dalam keadaan bujang, maksudnya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, persoalan yang sering timbul ialah siapa yang berhak ke atas harta peninggalan arwah.
Ramai menyangka harta tersebut akan automatik diberikan kepada adik beradik atau pasangan kekasih, sedangkan undang-undang faraid mempunyai turutan yang sangat jelas.
Tanpa perancangan, harta anda mungkin tidak sampai kepada orang yang paling banyak berjasa kepada anda semasa hidup dan sebab itulah perbincangan tentang wasiat orang bujang perlu bermula seawal mungkin, bukan selepas anda sakit atau sudah berusia.
Apabila seorang Muslim bujang meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, harta pusakanya akan dibahagikan mengikut hukum faraid.
Pembahagian ini bergantung sepenuhnya kepada siapa yang masih hidup ketika itu, sekiranya ibu bapa masih ada, mereka akan menjadi waris utama dan menerima bahagian yang telah ditetapkan.
Namun, jika ibu bapa telah tiada, adik-beradik akan mengambil tempat sebagai waris sementara bagi individu bukan Muslim, harta akan dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958.
Dalam situasi tiada waris yang layak, harta tersebut mungkin diserahkan kepada kerajaan atau Baitulmal dan inilah sebabnya wasiat orang bujang amat penting kerana ia memberi kuasa kepada anda untuk menentukan sendiri ke mana harta anda pergi.
Kepentingan Wasiat Orang Bujang

Merancang harta sejak awal bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Ia adalah satu bentuk tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang yang tersayang.
Bagi seorang bujang, masa yang paling sesuai untuk membuat perancangan adalah ketika anda masih sihat dan mempunyai fikiran yang waras.
Anda boleh menentukan siapa yang akan menjadi penerima harta anda, siapa yang akan dilantik sebagai pentadbir atau wasi, dan bagaimana harta tersebut hendak diuruskan.
Semua perkara ini boleh dimasukkan dalam wasiat orang bujang yang disediakan dengan bantuan penasihat yang bertauliah.
Mungkin ada yang bertanya, jika faraid sudah ada, kenapa perlu buat wasiat lagi.
Jawapannya adalah kerana faraid hanya mengagihkan kepada waris yang sah sahaja, sedangkan dalam hidup anda, mungkin ada individu lain yang sangat penting tetapi bukan waris faraid.
Contohnya, anda mungkin dijaga oleh ibu saudara sejak kecil, anda mungkin mahu hadiahkan sebahagian harta kepada anak angkat, sahabat baik yang banyak membantu, rumah anak yatim atau masjid yang anda selalu kunjungi dan semua hasrat ini tidak akan tercapai melalui faraid semata-mata.
Di sinilah fungsi wasiat orang bujang menjadi sangat kritikal, embolehkan anda menentukan hasrat anda secara bertulis dan sah di sisi undang-undang Islam dan sivil.
Ia juga membolehkan anda melantik seorang wasi atau pentadbir yang amanah untuk menguruskan harta anda, menjelaskan hutang-piutang dan memastikan hasrat anda dilaksanakan tanpa perlu keluarga bergaduh di mahkamah.
Baca lagi: Kepentingan Wasiat & Perancangan Harta Untuk Golongan Muda
Cara Membuat Dan Menyimpan Wasiat Dengan Betul

Membuat wasiat orang bujang pada hari ini sangat mudah dan tidak mahal seperti yang disangka.
Anda boleh melakukannya melalui institusi amanah yang berdaftar seperti Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad, Wasiyyah Shoppe atau melalui peguam syarie yang bertauliah.
Prosesnya bermula dengan anda menyenaraikan semua aset dan hutang anda, kemudian anda menentukan siapa wasi atau pentadbir yang akan menguruskan harta anda, siapa penerima wasiat dan apakah hasrat khusus anda seperti melangsaikan hutang, menunaikan badal haji atau menyedekahkan sebahagian harta kepada masjid.
Selepas dokumen wasiat ditandatangani di hadapan saksi, anda perlu menyimpannya di tempat yang selamat dan memaklumkan kepada wasi anda di mana dokumen tersebut disimpan.
Ramai yang membuat kesilapan dengan menyimpan wasiat di dalam laci rumah tanpa memaklumkan kepada sesiapa, akhirnya wasiat tersebut tidak pernah ditemui dan harta menjadi beku.
Anda juga dinasihatkan untuk menyemak semula wasiat anda setiap tiga hingga lima tahun atau apabila berlaku perubahan besar dalam hidup seperti membeli rumah baru, mendapat kenaikan harta yang banyak atau apabila ibu bapa meninggal dunia.
Wasiat bukanlah dokumen yang dibuat sekali seumur hidup, ia perlu dikemas kini mengikut perubahan harta dan hasrat anda.




