15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Nak bercuti di Terengganu tapi tak tahu nak pergi mana je?

Haa, jangan risau. Ada banyak tarikan yang boleh dikunjungi dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan semasa percutian anda di Terengganu. 

Dari kawasan kampung, pantai, pulau sehinggalah masjid-masjidnya, semuanya cukup mengkagumkan. Tak lupa juga, makanan tempatannya pun beraneka macam dan sedap-sedap. Anda kena cuba!

Sekiranya ini kali pertama anda bercadang melancong ke Terengganu, anda boleh rujuk senarai tempat menarik di Terengganu yang dikongsikan di bawah. 

BACA JUGA: 35 Tempat Menarik di Taiping, Perak [2025]

15+ Tempat Menarik di Terengganu 

1. Pantai Air Tawar, Kuala Besut

Di Terengganu ada banyak pantai indah yang anda boleh kunjungi, salah satunya ialah Pantai Air Tawar. Pantai ini terletak di Kuala Besut dan betul-betul menghadap ke arah Pulau Perhentian. 

Seperti beberapa pantai lain di Terengganu, di sini anda boleh melakukan macam-macam aktiviti menarik bersama keluarga dan rakan-rakan. 

Antaranya ialah berkelah, bermain pasir, menyewa basikal elektrik, menaiki banana boat, bermain pantai (bola tampar, frisbee), berjoging di trek yang disediakan dan sebagainya. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: Pelancongan Terengganu

Kalau perut rasa lapar, anda boleh pergi beli makanan di gerai-gerai yang ada di sekitar pantai. Biasanya makanan yang dijual adalah makanan laut goreng, air kelapa, keropok lekor dan sebagainya. 

Dari segi kemudahan pula, memang tiptop. Ada kawasan meletak kereta yang luas, kawasan rehat, kemudahan rekreasi untuk kanak-kanak dan tandas yang bersih. 

2. Pulau Perhentian, Kuala Besut

Pulau Perhentian adalah antara tempat menarik di Terengganu yang cukup popular dalam kalangan pelancong. 

Pulau Perhentian ini terdiri daripada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan juga Pulau Perhentian Kecil. Kedua-dua pulau ini mempunyai daya tarikan masing-masing dan pernah disenaraikan sebagai salah sebuah pulau yang terindah di dunia oleh CNN. 

Perbezaannya ialah Pulau Perhentian Besar menawarkan suasana yang lebih privasi. Sekiranya anda ingin berehat dan inginkan suasana yang sepi tenang, anda boleh pilih untuk berkunjung ke sini. 

Manakala Pulau Perhentian Kecil pula lebih meriah dengan pengunjung terutamanya di bahagian kawasan Pantai Panjang. 

Aktiviti popular di sini termasuk snorkeling, diving, dan berkayak.

3. Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu ni bukan macam typical muzium yang membosankan untuk sesetengah orang. Sekali pandang, macam sebuah perkampungan bukan macam muzium!

Dengan 9 galeri pameran yang penuh dengan koleksi sejarah, seni dan budaya, pengunjung boleh menyaksikan pelbagai artifak unik, dari manuskrip lama hingga seni tekstil tradisional. 

@muziumterengganu

Awak ni kan, kalau mat saleh cakap terus viral, kita ni dah berbuih mulut ajak datang sini😂😂😂 #muziumterengganu #terengganustatemuseum

♬ bunyi asal – MuziumTerengganu – MuziumTerengganu

Seni bina muzium ini sendiri cukup mengagumkan. Dengan reka bentuk seperti istana Melayu lama, ia lengkap dengan ukiran halus dan landskap yang indah. 

Bagi yang suka mengambil gambar, ada banyak sudut menarik dalam muzium ini yang sesuai untuk dijadikan latar belakang. 

Waktu Operasi: Sabtu sehingga Khamis, bermula pukul 9 pagi – 5 petang. 

4. Tasik Kenyir, Hulu Terengganu

Sekiranya anda mencari aktiviti menarik untuk dilakukan di Terengganu, anda boleh berkunjung ke Tasik Kenyir. 

Di sini anda boleh lakukan macam-macam aktiviti seperti memancing, berperahu dan sukan air. Biasanya kaki pancing akan menyewa rumah bot untuk ke lokasi lubuk ikan dan bermalam di dalam rumah bot tersebut.

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: Kenyir Eco

Selain itu, aktiviti seperti meneroka gua batu kapur, mandi-manda di air terjun yang cantik, berkayak dan memerhati burung juga popular di sini. 

5. Masjid Sultan Zainal Abidin / Masjid Abidin

Masjid Sultan Zainal Abidin ni salah satu masjid tertua di Terengganu. Seni bina masjid ini cantik sangat. 

Dengan gabungan halus seni bina tradisional Terengganu ditambah lagi dengan seni bina Islam dan Kolonial. Such a perfect combination!

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: Masjid Abidin (Masjid Negeri Terengganu)

Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, masjid ini menjadi salah satu tumpuan pelancong yang utama di Terengganu. 

Waktu Operasi: 9 pagi hingga 5 petang, setiap hari. 

6. Masjid Kristal

Masjid Kristal satu lagi masjid yang popular dan sering menjadi tarikan pengunjung untuk datang ke Terengganu.

Anda boleh datang melawat di dalam masjid dan bersiar-siar di sekitarnya. Terdapat juga kemudahan bas disediakan dari Kuala Terengganu ke Taman Tamadun Islam, iaitu lokasi masjid ini terletak. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: iStock

Keunikan masjid ini ialah, ia diperbuat sepenuhnya daripada besi, kaca dan kristal. Cantik sangat!

Keindahan masjid ini semakin terserlah apabila bayangannya terpantul di permukaan Sungai Terengganu yang terletak bersebelahan masjid ini. Apabila waktu malam, masjid ini seolah-olah terlihat seperti terapung di atas air kesan daripada pencahayaannya.

Waktu Operasi: 9 pagi hingga 5 petang, setiap hari. 

7. Taman Tamadun Islam

Taman Tamadun Islam ini terletak di  Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Dengan konsep “Edutainment Park”, ia adalah salah satu tempat menarik di Terengganu yang anda tidak boleh lepaskan. 

Taman ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. 

Zon Awam merangkumi kawasan seperti Masjid Kristal, Convention Centre, Arked Terengganu, Restoran B’Beteng dan Tasik Pahlawan. 

Kompleks Taman Tamadun Islam atau Monument Park pula menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia. Ini termasuk model miniatur bangunan-bangunan Islam yang terkenal seperti Masjidil Haram Mekah, Taj Mahal India, dan lain-lain. Bahagian ini memerlukan bayaran untuk masuk.

Selain replika bangunan, TTI juga menawarkan River Cruise, Crystal Villa, mini zoo dan pelbagai lagi.

Waktu Operasi: Setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 10 pagi – 6 petang, dan pada hari Jumaat hingga Ahad, bermula pukul 9 pagi – 7 petang. 

8. Chinatown

Chinatown Terengganu, atau dikenali sebagai Kampung Cina adalah merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu yang sangat unik. 

Tarikan utama Chinatown Terengganu ialah seni bina bangunan-bangunannya yang menggabungkan gaya Cina dan Melayu. 

Deretan rumah kedai berwarna-warni dengan ukiran kayu pada tingkap dan pintu antara yang menjadi daya tarikan utama. 

@reefofficial

Hidden gem in Kuala Terengganu! Chinatown Kuala Terengganu ni pada saya ada tarikan tersendiri! #ReefTravels #Chinatown #KualaTerengganu #Terengganu #CutiCutiMalaysia #Travel #Traveller #ootd #fyp

♬ A Million Colors – Vinih Pray

Anda juga boleh menikmati lukisan mural yang menghiasi dinding bangunan. Lukisan tersebut menceritakan sejarah dan budaya Terengganu. 

Selain itu, anda juga boleh menjelajah lorong-lorong sempit yang penuh dengan seni jalanan, menziarahi Kuil Ho Ann Kiong yang tertua di Terengganu dan menikmati makanan tempatan. 

Chinatown ni agak terkenal juga dengan kedai-kedai tradisional, kafe trendy dan restoran yang menawarkan hidangan peranakan. 

9. Pulau Redang

Pulau Redang ni salah satu pulau yang terkenal di Malaysia dengan keindahan pantainya. Antara aktiviti utama yang anda boleh lakukan di sini ialah aktiviti snorkeling dan menyelam. 

Anda juga boleh melihat kepelbagaian hidupan laut dan terumbu karang yang masih terpelihara di Taman Marin. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: Arba Travel

Selain aktiviti air, Pulau Redang menawarkan pengalaman jungle trekking untuk meneroka flora dan fauna yang ada di sekitar pulau ini. 

Kalau nak pengalaman yang lebih menyeronokkan, anda kena menginap di sini.  Anda boleh tempah resort-resort mewah yang ada di sekitar pulau mengikut bajet dan kesesuaian percutian anda. 

10. Jambatan Angkat Terengganu (Drawbridge)

Ini satu lagi tempat menarik di Terengganu yang tak sah kalau tak singgah. Jambatan Angkat Terengganu, atau lebih dikenali sebagai Drawbridge ini menghubungkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Apa yang bestnya jambatan ni?

Keunikan jambatan ini terletak pada reka bentuknya yang membolehkan bahagian tengahnya diangkat untuk membenarkan kapal-kapal besar melalui Sungai Terengganu. 

Pengunjung boleh menikmati pemandangan panorama Kuala Terengganu yang memukau dari laluan pejalan kaki berkaca di atas jambatan. Selain itu, terdapat dua menara setinggi 87.6 meter yang menempatkan galeri dan menara utara sebagai restoran. 

Kawasan sekitar Jambatan Angkat ini juga telah menjadi lokasi strategik untuk pelbagai acara menarik seperti pameran motosikal dan pesta buku. 

11. Pasar Payang

Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu berhampiran Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Ia merupakan sebuah pasar tradisional yang menjadi syurga membeli-belah bagi penduduk tempatan dan pelancong.

Di sini ada jual pelbagai produk kraftangan dan kraf tradisional Terengganu seperti songket tenun, kain batik, kain sutera dan sebagainya. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Selain itu, pasar ini juga menawarkan barangan runcit, sayur-sayuran segar, hasil laut dan kuih-muih tradisional Terengganu. Anda boleh berinteraksi dengan peniaga tempatan, mempelajari tentang budaya setempat dan mencuba hidangan istimewa seperti Keropok Lekor di sini. 

Pengalaman membeli-belah di Pasar Payang memberi peluang kepada anda untuk merasai suasana kehidupan tempatan yang sebenar. 

Waktu Operasi: 7 pagi hingga 6 petang, setiap hari.

12. Bukit Puteri

Bukit Puteri kaya dengan sejarah dan lokasi yang ideal untuk melihat pemandangan sekitar Terengganu. 

Dulu, Bukit Puteri pernah berfungsi sebagai kubu pertahanan. Anda boleh meneroka tinggalan sejarah seperti dinding pertahanan dan kubur lama yang ada di sini.

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Selain itu, ada juga beberapa artifak bersejarah seperti meriam diraja, tiang bendera dan genta tembaga berusia 100 tahun di sini. 

Lokasinya yang strategik berhampiran tempat-tempat menarik lain seperti Istana Maziah dan Pasar Payang menjadikannya destinasi yang mudah dikunjungi. 

Waktu Operasi: 9 pagi hingga 5 petang

13. Istana Maziah

Selepas berkunjung ke Bukit Puteri, anda boleh terus ke Istana Maziah. 

Istana Maziah terkenal dengan seni binanya yang menggabungkan seni bina Melayu tradisional dengan sentuhan gaya Perancis. 

Tarikan utama Istana Maziah terletak pada kehalusan ukiran kayu yang menghiasi setiap sudutnya, mencerminkan keindahan seni bina Melayu. 

Sumber: Wikimedia Commons

Istana ini sebenarnya masih digunakan untuk upacara rasmi negeri seperti pertabalan Sultan, perkahwinan diraja dan majlis menyambut tetamu kehormat. 

Walaupun tidak dibuka sepenuhnya kepada orang awam, pelancong boleh mengambil gambar di luar istana. 

14. Pulau Kapas

Selain Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Pulau Kapas juga destinasi yang cukup popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. 

Tarikan utama Pulau Kapas adalah aktiviti air yang pelbagai. Pengunjung boleh mencuba aktiviti snorkeling dan menyelam skuba untuk melihat keindahan terumbu karang dan hidupan laut. 

Selain itu, aktiviti seperti berkayak dan menaiki bot pisang juga antara yang tidak boleh dilepaskan di pulau ini. Bagi yang ingin bersantai, anda boleh berehat di kawasan pantai sambil menikmati keindahannya. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Kalau nak bermalam, pastikan anda tempah awal-awal resort yang anda inginkan sebab selalunya penuh terutamanya musim cuti.

15. Pantai Batu Buruk

Pantai ini menawarkan pemandangan indah dengan pasir putihnya yang lembut.

Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di sini seperti bermain layang-layang, bersiar-siar dengan menunggang kuda atau ATV di pesisir pantai, menyaksikan matahari terbit yang memukau, atau makan-makan!

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sumber: TripAdvisor

Di sini ada banyak gerai dan restoran yang menjual hidangan tempatan seperti ikan celup tepung, keropok lekor, dan sate ikan. 

Pada setiap hari Jumaat, pengunjung boleh menikmati suasana pasar malam yang meriah dari pukul 3 petang hingga 7 malam. 

Memang meriah!

16. Rantau Abang

Rantau Abang ni dulu popular sebagai tempat untuk  menyaksikan penyu belimbing bertelur. Walaupun kini pendaratan penyu telah berkurangan, Rantau Abang masih menawarkan pelbagai tarikan. 

15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Pengunjung boleh melawat Pusat Konservasi & Penerangan Penyu untuk mempelajari tentang usaha pemuliharaan penyu dan menyaksikan proses penanaman telur serta pelepasan anak penyu ke laut.

Pusat  ini juga menyediakan pameran menarik tentang kehidupan penyu dan ekosistem marin.

Selain itu, Rantau Abang menawarkan aktiviti pantai yang menyeronokkan seperti berenang dan bersantai. Pengunjung juga boleh menikmati makanan laut segar di restoran-restoran berdekatan. 

BACA JUGA: 15+ Restoran Shellout Popular di Terengganu [2025]

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut