Telur masin atau telur asin merupakan pelengkap hidangan yang cukup popular di Malaysia.
Telur yang direndam dalam air garam ini mempunyai tekstur yang lebih padat berbanding telur rebus.
Rasa masinnya pula lebih bertumpu pada bahagian putih telur. Sementara itu, kuning telurnya mempunyai rasa yang berlemak dan kurang masin.
Kini, telur asin tidak hanya dijadikan sebagai pendamping makanan utama seperti nasi campur atau bubur, malah ia turut popular sebagai ‘perisa’ sejak kebelakangan ini.
Sebagai contoh, sekarang terdapat pelbagai menu menarik seperti udang telur masin dan aneka snek seperti kerepek ubi, cornflakes dan popcorn berperisa ‘salted egg’.
Pada masa yang sama, terdapat juga sesetengah majlis perkahwinan yang turut menawarkan kelainan dengan menggunakan telur asin sebagai bunga telur.
Berbalik kepada kisah telur masin, ia biasanya dihasilkan daripada telur itik atau angsa kerana komposisi kuning telurnya yang lebih tinggi berbanding telur lain.
Pada masa yang sama, kuning telur angsa atau itik juga dikatakan mempunyai rasa yang lebih berlemak berbanding telur ayam atau puyuh.
Maka, tak hairanlah mengapa ramai yang menggemarkan bahagian kuning telurnya!
Untuk menghasilkan telur asin, ia perlu melalui proses penggaraman yang sama seperti makanan lain seperti udang kering, ikan bilis dan sebagainya.
Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya mengapa telur ini dibaluti dengan ‘pasir’ berwarna hitam jika dibeli di pasar raya atau kedai.
Sebenarnya, telur ini telah disalut dengan tanah liat yang tinggi kandungan garam.
Garam ini akan meresap masuk ke dalam liang kulit telur dan meningkatkan kandungan garam dalam telur.
Ia juga akan disalut dengan sekam padi bakar berwarna hitam bagi memastikan telur masin kekal kering dan terpelihara.
Disebabkan penggaraman ini jugalah warna kuning telur akan berubah menjadi lebih gelap berbanding sebelumnya.
Cara Buat Telur Masin dan Tips Penting
Telur masin yang sempurna mempunyai bahagian putih yang padat, kuning telur yang sedikit berminyak dan jingga keemasan serta rasa yang tidak terlalu masin.
Selain membelinya di pasar raya, anda sebenarnya boleh hasilkannya sendiri di rumah. Caranya juga sangat mudah dan dijamin lebih enak, berlemak dan segar!
Jom kita ikuti cara yang dikongsikan oleh Azie Kitchen.
Bahan-bahan :
- 5 biji telur itik (bersihkan)
- 5 sudu besar garam kasar (sukatan adalah 1 sudu bagi setiap biji telur)
- 1 liter air atau secukupnya
Cara-cara :
- Masakkan air dengan garam sehingga garam larut.
- Ketepikan dan biar air garam sejuk.
- Tuang air garam ke dalam bekas yang telah dimasukkan telur sehingga telur tenggelam.
- Tutupkan bekas dan biarkan selama 10 hari.
- Telur masin sedia untuk digunakan.
Tips Penting
- Jemur dahulu telur dalam satu hingga dua hari agar telur masin lebih sedap dan gebu.
- Pastikan anda berhati-hati ketika proses penyediaan kerana telur mudah pecah. Jika retak sedikit, ia boleh menjejaskan kualiti telur masin.
- Air garam perlulah dimasak terlebih dahulu. Jangan sesekali guna air paip.
- Setelah telur selesai melalui proses penggaraman, keluarkannya daripada air garam bagi mengelakkannya daripada menjadi terlalu masin.
- Anda boleh simpan telur ini di dalam bekas yang bertutup. Sekiranya disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama satu atau dua bulan.
Sekarang anda sudah tahu sedikit sebanyak tentang telur masin serta cara membuatnya dengan mudah di rumah.
Kini giliran anda untuk mencubanya sendiri dan nikmatinya bersama seisi keluarga!
Sumber : Facebook Ini Sains Beb, thewoksoflife.com, Azie Kitchen