Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 2024 & SIARAN LANGSUNG Pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri 1445H
Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan tarikh tersebut.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang Selasa di 29 lokasi seluruh negara.
“Ia adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
“Lokasi lain Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.
“Selain itu, termasuk juga Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis,” ujarnya.
Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal & Pengumuman Hari Raya Aidil Fitri 2024
Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun 2024 ditetapkan pada petang Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.
Penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab dan pengisytiharaannya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui saluran radio dan televisyen pada malam tersebut.
Pengumuman tarikh 1 Syawal boleh ditonton melalui siaran berita utama TV1, TV3, BERNAMA, Astro Awani dan saluran-saluran media live streaming pada jam 8.00 malam, pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
- RTM TV1 live : https://rtmklik.rtm.gov.my/live/tv1
- Astro Awani Live Streaming : https://www.astroawani.com/video-terkini
TERKINI: TARIKH HARI RAYA AIDILFITRI 2024 JATUH PADA RABU, 10 APRIL 2024
Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.
Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.
Tarikh Jangkaan Hari Raya Aidilfitri 2024
Berikut dikongsikan tarikh jangkaan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2024 melalui kalendar Tarikh-Tarikh Penting Dalam Islam Tahun 2024 / 1445-1446H Di Malaysia yang diterbitkan oleh pihak JAKIM.
Baca juga: Hari Raya Aidilfitri 2024 – Tarikh Cuti Umum & Sekolah KPM
TAHUN | TARIKH | HARI | CUTI | NEGERI |
2024 | 10 APRIL | RABU | HARI RAYA AIDIL FITRI | SEMUA NEGERI |
2024 | 11 APRIL | KHAMIS | HARI RAYA KE-2 | SEMUA NEGERI |
Sumber: JAKIM https://www.e-solat.gov.my/.
KAEDAH PENENTUAN HARI RAYA DI MALAYSIA
Penentuan awal Ramadan dan hari raya di Malaysia serta sebahagian negara di rantau Asia Tenggara dan beberapa negara Islam yang lain adalah menggunakan keadah pencerapan dan pengiraan atau lebih dikenali sebagai rukyah dan hisab.
Antara kandungan resolusi daripada Persidangan Hilal Negara-Negara Islam di Istanbul pada tahun 1978 menyebut ‘hukum asal adalah dengan melihat anak bulan, sama ada dengan mata fizikal atau menggunakan instrument moden; menggunakan pengiraan astronomi bagi menentukan awal bulan dengan syarat hilal berada di atas ufuk dan boleh kelihatan selepas waktu matahari terbenam’.
Bagi menentukan kemungkinan penampakan hilal (Imkanur Rukyah) beberapa kreteria telah ditetapkan.
Melalui kaedah penyelarasan rukyah dan hisab ini, tarikh mencerap hilal ditetapkan pada hari ke-29 bulan Hijrah.
Pengumuman mengenai tarikh mencerap hilal akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja bersama senarai tempat melihat hilal yang rasmi.
Pada tarikh tersebut perwakilan rasmi yang akan diketuai oleh SS Mufti Negeri bersama jawatankuasanya akan melakukan cerapan hilal di lokasi yang telah ditetapkan.
Sama ada hilal kelihatan dengan jelas atau tidak kelihatan, hilal akan dianggap kelihatan dari segi hisab jika ia memenuhi kreteria Imkanur Rukyah.
Pengumuman mengenai tarikh berpuasa dan berhari raya akan diumumkan melalui media massa oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja sebaik sahaja menerima laporan dari seluruh Negara.
Sebahagian negara lain, pihak berkuasa mereka menetapkan kaedah rukyah semata-mata pada penentuan awal Ramadan dan hari raya. Bermaksud, jika pada hari cerapan hilal tidak dapat dilihat, maka pada keesokan harinya menjadi hari ke 30hb.
Maka tidak hairanlah, ada perbezaan permulaan Ramadan dan hari raya antara negara-negara oleh sebab berbeza kaedah penetapan.
Kriteria Imkanur Rukyah di Malaysia (KIR)
Apakah Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang menjadi penentuan awal bulan Hijri di Malaysia?
- A) Ketika matahari terbenam
- B) Ketinggian hilal di atas ufuk (horizon) tidak kurang dari 3°
- C) Jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang dari 6.4°
Sebagai rakyat yang menetap disesebuah negara, wajib ikut dan patuh pada penetapan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara (Ulul Amri).
Semoga bermanfaat.
Untuk bacaan lanjut: https://maktabahalbakri.com/penentuan-awal-bulan-syawal-di-malaysia/ dan JAKIM