Meskipun sinonim dengan orang lanjut usia, namun masalah tangan menggigil boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Orang tua sering mengalami tangan gigil atau gementar ketika melakukan aktiviti harian seperti menuang air atau mengambil barang. Ia juga merupakan satu gejala penuaan yang normal.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang kondisi ini.
Pengenalan
Ia biasanya berlaku apabila terdapatkan gangguan pada bahagian otak yang mengawal pergerakan tubuh.
Pergerakan yang tidak disedari ini boleh bersifat ringan atau berat bergantung kepada keadaan kesihatan seseorang.
Selain disebabkan oleh masalah kesihatan, ia juga boleh berlaku akibat keletihan, kesejukan atau sedang marah dan ketakutan.
Namun, masalah tangan menggigil tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjadi petanda awal bagi penyakit yang lebih berbahaya.
Dalam kes yang parah, ia boleh menjadi tanda gangguan saraf yang berkaitan dengan penyakit degeneratif seperti Parkinson.
Punca Tangan Menggigil
Tangan menggigil yang sering berlaku lazimnya berpunca daripada beberapa keadaan yang biasa dialami seperti :
- Kekejangan otot
- Terlebih pengambilan kafein dan alkohol
- Kadar gula yang rendah (hypoglycemia)
- Kekurangan tidur
- Kesan sampingan kepada ubat-ubatan tertentu seperti ubat antipsikotik, ubat asma, amfetamin dan kortikosteroid.
Selain punca yang biasa, ia juga mungkin petanda kepada beberapa penyakit yang serius seperti :
- Dystonia – gangguan kesihatan yang menyebabkan otot bergerak sendiri tanpa sengaja. Pesakit boleh alami postur tubuh yang tidak normal dan tremor.
- Kelenjar tiroid yang terlalu aktif
- Multiple sclerosis – gangguan pada sistem otak, tulang belakang yang memberi kesan kepada pergerakan badan.
- Essential tremor – tangan yang menggigil terutamanya pada bahagian yang sering digunakan atau kedua-dua belah tangan ketika melakukan pergerakan.
- Penyakit Parkinson – penyakit kronik yang menjejas fungsi otak dan koordinasi gerakan tubuh. Ia boleh menyebabkan pesakit mengalami tangan menggeletak ketika dalam keadaan statik atau otot tidak bergerak. Ia biasanya akan reda ketika otot mula bergerak.
- Strok
- Neuropati perifer – kerosakan pada sistem saraf tepi (PNS)
- Tumor otak
- Penyakit Huntington – kelainan genetik yang menyebabkan kerosakan pada sel-sel saraf di otak sehingga mempengaruhi pergerakan, fikiran dan emosi pesakit.
- Keracunan zat tertentu (contoh : merkuri, karbon monoksida dan mangan)
Diagnosa Atau Rawatan Untuk Atasi Tangan Menggigil
Keadaan tangan menggigil yang bukan disebabkan oleh penyakit dan bersifat ringan boleh dipulihkan dengan sendirinya.
Hal ini berlaku apabila ia terjadi akibat stres, kesejukan, kepenatan atau pengambilan alkohol atau kafein.
Namun, ia perlu diberi perhatian serius sekiranya pesakit mengalami perkara seperti berikut :
- Tangan menggeletar walaupun ketika sedang berehat
- Tangan menggeletar yang sukar dikawal dan berlaku secara berpanjangan sehingga mengganggu aktiviti harian.
- Pesakit turut alami masalah lain seperti terasa lemas, sakit kepala, gerakan lidah tidak normal, otot menjadi kaku dan pergerakan sukar dikawal sendiri.
Untuk mendapatkan diagnosa yang tepat, doktor mungkin akan lakukan beberapa pemeriksaan seperti ujian darah, ujian air kencing, CT scan, MRI EMG (pemeriksaan saraf otot) dan EEG (pemeriksaan otak).
Kemudian, doktor akan memberikan rawatan yang sesuai dengan keadaan pesakit. Pesakit juga mungkin akan diberikan ubat untuk meringankan tremor atau menggeletar pada tangan.
Sekiranya rawatan serta ubat-ubatan tidak berhasil untuk mengatasi masalah tangan menggeletar yang dialami pesakit, doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan pencerahan terhadap masalah tangan menggeletar.
Jangan berlengah untuk dapatkan rundingan doktor bagi mendapatkan diagnosa dan rawatan yang tepat sesuai dengan masalah kesihatan yang dialami.
Sumber : Alodokter