Sebahagian daripada kita mungkin merasakan mereka mengalami Burnout namun apakah tanda Burnout yang sebenarnya?
Istilah ini sering digunapakai akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres atau mengalami tekanan di tempat kerja.
Namun, ia juga boleh berlaku kepada pelajar atau isteri serta suri rumah yang mengalami tekanan sehingga berlakunya Burnout.
Ia merupakan satu keadaan di mana berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental beserta perasaan ragu tentang keupayan diri serta nilai pekerjaan seorang individu disebabkan tekanan yang berpanjangan atau berulang-ulang.
Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Burnout ini?
Maksud Burnout
Istilah burnout telah lama diperkenalkan iaitu sejak tahun 1974 lagi oleh seorang pakar psikologi iaitu Herbert Freudenberg, namun istilah ini baru diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu sindrom klinikal pada tahun 2019.
Burnout bukanlah satu penyakit tetapi ia telah dimasukkan ke dalam kategori faktor yang mempengaruhi kesihatan atau penyebab untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di dalam 11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11).
Mengikut klassifikasi oleh ICD-11, Burnout terjadi disebabkan oleh tekanan berterusan di tempat kerja yang tidak dapat diuruskan dengan baik. Ia dicirikan oleh tiga dimensi utama iaitu:
- Kurang kepayaan professional dalam menjalankan pekerjaan.
- Perasaan letih serta kehilangan tenaga.
- Peningkatan perasaan negatif dan sinis terhadap kerja serta berasa jauh secara mental terhadap kerja yang dilakukan.
Faktor Berlakunya Burnout
Terdapat 3 faktor utama berlakunya Burnout iaitu:
- Beban kerja berlebihan– Beban kerja yang terlalu banyak, kurang rehat serta tidak melakukan sebarang aktiviti sosial akan menyebabkan fizikal menjadi penat dan lesu.
- Melakukan kerja di luar bidang, kepakaran atau minat– Melakukan kerja yang di luar kepakaran atau secara paksaan tanpa minat yang mendalam, ia boleh menimbulkan tekanan. Ini kerana seseorang individu tidak dapat mencapai kepuasan dalam bekerja, sentiasa berasa risau tentang mutu kerja serta sering berasa tidak cukup bagus dalam menjalankan tugasan tersebut.
- Personaliti– Terdapat beberapa ciri personaliti yang menyebabkan seseorang individu itu cenderung mendapat tekanan dan Burnout anntaranya:
– Individu yang mementingkan kesempurnaan dalam semua tugasannya.
– Individu yang meletakkan sasaran yang tinggi.
– Individu yang susah untuk memberi kepercayaan kepada orang lain dan suka lakukan tugas secara bersendirian.
Tanda Burnout
Burnout boleh berlaku kepada pelajar, isteri, atau pekerja dan antara tanda-tandanya ialah:
i) Pelajar
- Berasa bosan ketika di sekolah dan hilang minat terhadap hobi yang disukainya.
- Mengalami kemurungan.
- Kurang kreatif ketika proses pembelajaran.
- Banyak tabiat buruk.
ii) Isteri
- Cepat marah.
- Cepat letih.
- Meninggikan suara pada anak-anak.
iii) Pekerja
- Runsing untuk pergi bekerja dan ingin pulang sebaik sahaja berada di sana.
- Mempunyai perasaan kekosongan berada di tempat kerja.
- Mudah berasa jengkel dengan rakan sekerja atau pelanggan.
- Mempunyai pemikiran bahawa kerja anda tidak mempunyai makna atau membuat perubahan.
- Sedang berfikir untuk berhenti bekerja atau menukar peranan.
Cara Atasi Burnout
Untuk mengatasi Burnout, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasinya:
- Rehatkan diri dan ambil cuti kerja supaya fikiran akan lebih tenang dan kembali ke tempat kerja dengan semangat yang baru.
- Lakukan aktiviti yang relaks seperti mendengar muzik, yoga, aktiviti santai yang dapat membantu merehatkan minda.
- Mencari hobi serta aktiviti luar yang baru dan diminati.
- Amalkan pemakanan yang seimbang, senaman dan tidur yang mencukupi.
- Belajar cara untuk urus tekanan dan masa dengan berkesan. Hal ini akan membantu menjadi lebih teratur dan tenang.
- Dapatkan khidmat nasihat profesional sekiranya gejala Burnout yang dialami menjejaskan fungsi kehidupan atau tidak mampu ditangani dengan baik.
- Buat perancangan serta jadual yang teratur. Ia akan membantu untuk menggunakan masa secara optimum serta mengenal pasti kepentingan sesuatu tugasan.
- Tetapkan matlamat diri serta kerjaya. Perlu tahu apa yang ingin dicapai dalam kerjaya supaya lebih fokus dan bersemangat.
- Tingkatkan komunikasi antara rakan sekerja serta majikan supaya tidak berlaku salah faham sekaligus dapat kurangkan rasa tekanan kerja.
- Mengetahui batasan serta keupayaan diri. Kenal potensi diri dan tetapkan had untuk melakukan sesuatu pekerjaan supaya tidak berlebihan.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai Burnout, sila baca di pautan berikut:
- https://care.upm.edu.my/artikel/burnout_kerja_faktor_tanda_dan_cara_atasi-74548.
- https://www.mingguanwanita.my/jangan-biarkan-isteri-kepenatan-hingga-air-mata-mengalir-nak-diluahkan-takut-suami-serabut-menyusahkan/
- https://sinarbestari.sinarharian.com.my/gen-z/pelajar-burnout-jangan-ambil-mudah-kenali-tanda-tanda-dan-cara-atasinya
Baca juga: Bacaan Darah Tinggi / Tekanan Darah Normal Lelaki & Perempuan