Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Ramai antara kita yang memandu hampir setiap hari tidak tahu, sebenyar terdapat beberapa tabiat memandu harian kita sebenarnya boleh membantu menjimatkan minyak tanpa kita sedari.

Dalam keadaan harga minyak yang berubah setiap minggu dan subsidi BUDI 95 yang dihadkan 300 liter sebulan, setiap pecutan kuat dan setiap perjalanan yang tidak dirancang akan menyebabkan wang mengalir dengan cepat.

Ramai pemilik kenderaan menyangka penjimatan hanya bergantung pada jenis kereta, namun kajian oleh Universiti Teknologi Malaysia dan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan gaya pemanduan sahaja mampu meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 28 peratus di bandar, 19 peratus di luar bandar dan 24 peratus di lebuh raya.

Pensyarah Kanan dari Institute for Sustainable Transport (IST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Farid bin Muhamad Said berkata, amalan pemanduan eko boleh menjadi ‘senjata rahsia’ pengguna untuk mengurangkan perbelanjaan bahan api tanpa memerlukan modal tambahan.

Elak Pecutan Dan Brek Mengejut

tips jimat minyak kereta

Gaya pemanduan agresif merupakan punca utama pembaziran petrol yang sering tidak disedari.

Menurut pakar dari Fakulti Kejuruteraan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia, tabiat memecut dan membrek secara agresif bukan sahaja meningkatkan penggunaan bahan api, malah menjejaskan keselamatan jalan raya.

Enjin memerlukan lebih banyak bahan api untuk menghasilkan kuasa dalam tempoh singkat apabila pedal minyak ditekan secara mendadak dan pemanduan agresif boleh meningkatkan penggunaan minyak sehingga 40 peratus berbanding pemanduan yang tenang.

Amalan yang disarankan ialah menekan pedal minyak secara beransur-ansur, melihat keadaan trafik lebih awal dan mengurangkan kelajuan secara perlahan sebelum menghampiri lampu isyarat atau kenderaan di hadapan.

Dengan menjangkakan kesesakan, pemandu boleh menggunakan teknik coasting iaitu melepaskan pedal minyak lebih awal dan membiarkan kenderaan meluncur perlahan.

Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan petrol, tetapi juga mengurangkan kehausan brek dan menjadikan perjalanan lebih selesa untuk penumpang.

Memandu dengan tenang dan mengekalkan jarak selamat adalah contoh tabiat memandu yang menjimatkan minyak yang boleh dipraktikkan serta-merta oleh setiap pemandu tanpa memerlukan sebarang alat tambahan.

Rancang Laluan Dan Elak Kesesakan Tidak Perlu

tabiat memandu menjimatkan minyak

Ramai beranggapan laluan paling dekat adalah paling jimat, namun hakikatnya jalan yang sesak dengan banyak lampu isyarat dan pergerakan berhenti-henti akan menyebabkan enjin bekerja lebih keras.

Apabila kereta kerap berhenti dan bergerak semula, penggunaan minyak meningkat dengan ketarra dan oleh sebab itu, memilih laluan yang lebih lancar walaupun jaraknya sedikit lebih jauh boleh membantu menjimatkan minyak kerana kurang berhenti, kurang tekan minyak dan kurang pembaziran.

Perancangan perjalanan juga memainkan peranan besar. Enjin sejuk menggunakan sehingga dua kali ganda minyak pada lima kilometer pertama, jadi satu perjalanan 30 kilometer jauh lebih cekap berbanding tiga perjalanan 10 kilometer yang berasingan.

Gabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan dan gunakan aplikasi navigasi untuk menyemak keadaan trafik sebelum bertolak.

Kajian menunjukkan pengguna yang merancang perjalanan dengan mengambil kira aliran trafik dapat mengelak kesesakan yang menyebabkan kenderaan bergerak dan berhenti secara berulang dan inilah sebabnya perancangan awal dianggap sebagai tabiat memandu yang menjimatkan minyak yang sering diabaikan, sedangkan impaknya boleh menjimatkan antara RM26 hingga RM204 sebulan mengikut data MIROS.

Artikel berkaitan: Tips dan Panduan Beli Kereta Pertama Untuk Fresh Graduate

Bijak Menggunakan Penghawa Dingin Dan Tingkap

tabiat memandu menjimatkan minyak

Ramai pemandu suka membuka tingkap ketika memandu kerana ingin menikmati angin luar, namun pada kelajuan tinggi tabiat ini sebenarnya menyebabkan kereta menelan lebih banyak petrol.

Apabila tingkap dibuka, rintangan angin menjadi lebih kuat dan enjin perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kelajuan. Lagi laju kereta dipandu, lagi tinggi penggunaan petrol akibat rintangan tersebut.

Di di lebuh raya, penghawa dingin sebenarnya lebih cekap kerana tingkap terbuka menambah rintangan aerodinamik.

Aturkan suhu penghawa dingin pada 24 hingga 25 darjah Celsius dan pastikan penapis kabin bersih supaya sistem tidak bekerja berlebihan.

Penggunaan pelindung cermin depan ketika parkir juga membantu mengurangkan suhu kabin, jadi penghawa dingin tidak perlu bekerja terlalu kuat ketika mula memandu.

Jaga Tekanan Tayar Dan Servis Berkala

Penyelenggaraan kenderaan secara berkala adalah asas kepada kecekapan bahan api.

Tekanan tayar perlu diperiksa sekurang-kurangnya sebulan sekali dan sebelum perjalanan jauh mengikut spesifikasi pengeluar.

Tayar yang kempis meningkatkan rintangan gulingan dan memaksa enjin bekerja lebih keras, setiap 1 psi di bawah saranan pengeluar boleh mengurangkan kecekapan sebanyak 0.2 hingga 0.3 peratus.

Selain itu, tayar kurang angin juga menjejaskan keselamatan dan jangka hayat tayar.

Enjin yang kotor, minyak hitam lama, penapis udara tersumbat dan palam pencucuh yang haus semuanya membebankan enjin dan menyebabkan pembakaran tidak optimum.

Ikut jadual servis pengeluar, tukar minyak hitam setiap 5,000 hingga 10,000 kilometer, penapis udara setiap 20,000 kilometer dan palam pencucuh setiap 40,000 kilometer.

Enjin yang diselenggara dengan baik akan menghasilkan pembakaran yang lebih sempurna dan menggunakan minyak dengan lebih efisien.

Ramai tidak sedar bahawa penyelenggaraan asas ini adalah sebahagian daripada tabiat memandu yang menjimatkan minyak yang paling mudah, kerana kereta yang sihat tidak perlu menggunakan tenaga berlebihan untuk bergerak.

Urus Beban Kenderaan Dan Guna Cruise Control Dengan Betul

butang mod auto cruise

Berat tambahan merupakan musuh senyap kepada penjimatan minyak. Setiap 50 kilogram berat tambahan boleh mengurangkan kecekapan minyak sebanyak 1 hingga 2 peratus.

Keluarkan kotak alat lama, barangan terpakai, peralatan sukan dan barang yang tidak diperlukan dari but kereta. Rak bumbung yang tidak digunakan juga perlu ditanggalkan kerana ia meningkatkan rintangan angin dan menambah penggunaan minyak walaupun kereta dipandu perlahan.

Satu lagi tabiat yang sering disalah faham ialah penggunaan cruise control. Di lebuh raya yang lurus dan rata, cruise control sangat membantu kerana ia mengekalkan kelajuan konsisten yang lebih cekap berbanding kawalan pedal manual dan boleh menjimatkan 5 hingga 10 peratus minyak.

Namun di jalan berbukit atau tidak rata, cruise control akan cuba mengekalkan kelajuan secara automatik sehingga enjin menggunakan lebih banyak minyak untuk mendaki. Dalam situasi berbukit, kawalan manual kadang-kadang lebih menjimatkan kerana pemandu boleh menyesuaikan kelajuan mengikut keadaan jalan.

Penulis
Affan ada penulis di eCentral yang berkongsi artikel berkaitan kewangan, bantuan kerajaan, pendidikan, kerjaya dan isu semasa dengan penyampaian yang ringkas, jelas dan mudah difahami.