Syarat Wajib Puasa & Golongan yang Diberi Kelonggaran Untuk Berbuka Puasa

Syarat Wajib Puasa & Golongan yang Diberi Kelonggaran Untuk Berbuka Puasa/Tidak Puasa

Setiap tahun, umat Islam akan menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan selama sebulan. Ibadah puasa adalah merupakan rukun Islam yang ketiga dan wajib dilakukan oleh setiap umat Islam yang menepati syarat-syarat tertentu. 

Rasulullah SAW bersabda;

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar Radiallahu ‘anhuma, berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shalallahu’alaihiwassalam bersabda: ‘Islam itu didirikan atas lima (perkara) – Menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.

(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mari kita ulangkaji semula syarat wajib puasa dan perkara yang membatalkan puasa serta beberapa info penting mengenai Ramadan yang perlu kita ketahui.

BACA JUGA: Syarat Sah Puasa & Perkara yang Membatalkan Puasa ~ Mari Ulangkaji!

Syarat Wajib Puasa & Golongan yang Diberi Kelonggaran Untuk Berbuka Puasa

Syarat Wajib Puasa

Jangan keliru ya syarat sah puasa dan syarat wajib puasa. Syarat wajib puasa adalah apabila perkara-perkara yang dinyatakan di bawah dipenuhi, maka anda wajib berpuasa. 

Hukum puasa menjadi wajib apabila syarat-syarat berikut terpenuhi:

1. Islam

Seorang individu haruslah seorang Muslim untuk diwajibkan berpuasa. Orang bukan Islam tidak diwajibkan untuk menjalankan puasa Ramadan.

2. Mukallaf 

Individu yang mukallaf iaitu baligh dan berakal diwajibkan untuk berpuasa. Puasa tidak diwajibkan kepada kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh. 

3. Berkemampuan 

Individu yang berkemampuan daripada segi fizikal dan syarak diwajibkan untuk berpuasa. Kemampuan daripada segi fizikal bermaksud; sihat tubuh badan. Orang tua yang uzur atau individu yang sakit tidak diwajibkan berpuasa. Manakala, kemampuan dari segi syarak bermaksud; dalam keadaan suci. Wanita yang haid dan nifas tidak wajib dan tidak sah berpuasa.

4. Sihat 

Individu yang mempunyai kesihatan yang baik,  kekuatan fizikal yang mencukupi untuk menahan diri dari makan, minum, dan aktiviti lain yang membatalkan puasa sepanjang waktu puasa diwajibkan berpuasa. 

5. Bermukim 

Individu dalam perjalanan (musafir) tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, mereka dikehendaki untuk mengganti puasa yang ditinggalkan apabila mereka telah kembali dari perjalanan.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 184 bermaksud:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam pelayaran (bermusafir), (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

Syarat Wajib Puasa & Golongan yang Diberi Kelonggaran Untuk Berbuka Puasa

Golongan yang Diberi Kelonggaran Untuk Berbuka Puasa

Merujuk kepada laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Terengganu, terdapat beberapa golongan yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan. 

Pertama: Orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan.

Kedua: Orang yang dalam musafir yang diharuskan dengan jaraknya sah sembahyang Qasar iaitu lebih kurang 90 km, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan. Namun jika tidak menghadapi kesusahan dalam musafir, berpuasa lebih baik daripada berbuka.

Ketiga: Orang yang sedang mengandung atau yang sedang menyusu hukumnya seperti berikut:

  • Jika bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan diri mereka sendiri, atau diri dan anak mereka, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadhan.
  • Jika bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak mereka, boleh berbuka dan wajib qadha semula serta membayar fidyah satu cupak sehari sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan.

Keempat: Orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh yang tidak mampu berpuasa boleh berbuka dan wajib membayar fidyah satu cupak sehari sepanjang bulan Ramadhan. (al Fiqhu al Manhaji:1/92-94 dan Fiqh al Sunnah:1/271-272)

Hukum Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan Tanpa Keuzuran 

Berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa keuzuran adalah HARAM.

Bagi orang yang uzur pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu:  

  1. Boleh berbuka dan wajib Qadha sahaja, iaitu orang yang musafir, orang yang sakit, orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan diri mereka, atau diri dan anak mereka. 
  1. Boleh berbuka dan wajib Qadha serta membayar fidyah iaitu orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan anak mereka. 
  1. Boleh berbuka dan wajib membayar fidyah sahaja iaitu orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa uzur atau sakit ia tidak akan mendapat kelebihan yang sama dengan satu hari bulan Ramadan sekalipun ia  mengqadhakannya semula sepanjang tahun” 

(H.R. Bukhari)(Fiqhu al Sunnah :1/267)

Sumber: 

  1. HUKUM ORANG YANG BERBUKA PUASA PADA BULAN RAMADAN – Jabatan Mufti Negeri Terengganu 
  2. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI \
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!