Strok Haba : Tanda, Gejala, Kesan & Cara Pencegahan – KKM

strok haba
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Terkini kita dikejutkan dengan tragedi sebuah keluarga yang telah kehilangan anak mereka disebabkan strok haba. Kami mengucapkan takziah atas kehilangan anak yang disayangi.

Jangan ambil mudah jika anak anda mengadu sakit kepala selepas bermain di taman. Muka si anak merah-merah, tangan kesejukan, rasa pening nak muntah. Ini mungkin tanda anak anda mengalami heat strok yang sangat bahaya kepada nyawa.

MET Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan status cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) suhu meningkat ke 35-37°C terutamanya di kawasan utara semenanjung. Sentiasa pantau FB Met Malaysia bagi melihat situasi semasa cuaca di Malaysia.

Ikuti seterusnya perkongsian tentang strok haba dalam artikel ini.

Apakah Itu Strok Haba?

Apabila terdedah kepada cuaca panas yang melampau, anda boleh mendapat ‘kelesuan haba’ (heat exhaustion) atau lebih teruk, ‘strok haba’ (heat stroke).

Strok haba merupakan suatu kondisi yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan ianya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih.

Kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.

Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain, berdasarkan laporan ‘World Health Organization’ (WHO) 2023, fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 telah menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba.

“Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan haba telah dilaporkan di mana 22 kes adalah strok haba. Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023 selain turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh,” ujarnya.

Tanda / Gejala Strok Haba

Orang awam perlu mengetahui tanda-tanda dan gejala strok haba agar tindakan segera dapat diambil.

Antara tanda-tanda seseorang itu mengalami strok haba ialah :

  • denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar (denyutan jantung normal: 60-100/minit),
  • pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit),
  • badan terasa panas dan kering,
  • sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing,
  • berasa mual,
  • peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C),
  • tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg)
  • tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan.
strok haba

MESTI TAHU: TANDA-TANDA AWAL STROK HABA

Langkah Pencegahan

Orang awam juga perlu mengetahui beberapa langkah pencegahan penting untuk mengelak berlakunya strok haba iaitu:

  • tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang,
  • elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan,
  • pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari,
  • mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung,
  • tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik
  • memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.

Golongan Berisiko

Individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenal pasti berisiko tinggi seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlet dan aktiviti-aktiviti luar yang dijalankan di bawah sinaran matahari terik.

Selain itu, beberapa golongan rentan juga dikenal pasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.

strok haba

Rawatan

Rawatan di tempat kejadian :

  1. Alihkan mangsa dari sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai hawa dingin.
  2. Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.
  3. Berikan udara segar, halakan  kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.
  4. Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar.
  5. Dapatkan bantuan perubatan melalui talian 999.

Rawatan di hospital :

  1. Mangsa akan diperiksa kadar denyutan nadi, tekanan darah, kadar pernafasan dan tahap kesedaran.
  2. Sekiranya mangsa mengalami renjatan, rawatan khusus akan diberikan.
  3. Penyiasatan darah dan lain-lain penyiasatan berkaitan akan dilakukan jika ada keperluan.
Sumber: Public Health Malaysia

Bahaya / Komplikasi Strok Haba

Strok haba tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius.

Berdasarkan satu artikel yang ditulis oleh Bouchama et al. (2022), kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel-sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.

Mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian.

strok haba

Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kurangkan atau elak daripada melakukan sebarang aktiviti luar mahupun bersenam ketika cuaca panas terik.

Sumber rujukan:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut