Splash Mania Gamuda Cove – Harga Tiket & Cara Beli Dari Klook

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Selain Sunway Lagoon, ada satu lagi taman tema air di Selangor yang tidak boleh anda lepaskan, iaitu Splash Mania Gamuda Cove!

Taman tema air ini semakin popular dalam kalangan pencinta aktiviti air, dengan tarikan-tarikannya yang unik serta sesuai untuk seisi keluarga. 

Sekiranya anda tengah mencari destinasi menarik sempena cuti sekolah mahupun hujung minggu di Selangor, bolehlah anda pertimbangkan untuk berkunjung ke sini. Serius best!

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai taman tema air ini melalui perkongsian di bawah.

BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik Di Selangor, Sesuai Untuk Trip Hujung Minggu!

Splash Mania Gamuda Cove – Pengenalan

Splash Mania Gamuda Cove adalah taman tema air seluas 18 ekar yang terletak di dalam kawasan pembangunan Gamuda Cove di Selangor. 

Menariknya, 70% kawasan taman ini dipenuhi kehijauan, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mereka yang ingin melaungkan masa bermain air sambil dikelilingi alam semula jadi.

Sumber: SplashMania

Untuk pengetahuan anda, taman air ini menawarkan 39 tarikan dan permainan air yang menarik, menjadikannya salah satu taman tema air terbesar di Malaysia. 

Dibuka pada awal tahun 2024, taman ini menggabungkan teknologi terkini dalam reka bentuknya dengan konsep kelestarian alam sekitar. 

SplashMania Gamuda Cove ni terletak hanya 20 minit dari Terminal KLIA/KLIA2 tau, jadi kalau anda transit lama di Kuala Lumpur boleh lah luangkan masa ke sini!

Waktu Operasi

Splash Mania Gamuda Cove beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Walau bagaimanapun, taman ini ditutup pada hari Rabu, kecuali semasa cuti umum Malaysia atau cuti sekolah. 

Satu tarikan istimewa yang ditawarkan oleh Splash Mania adalah acara “Night Splash”. Pada tarikh-tarikh tertentu, biasanya setiap Jumaat dan Sabtu, taman air ini dibuka dari pukul 7 malam hingga 11 malam. 

Ini bermakna anda boleh bermain air pada waktu malam. Fuh, seronoknya!

Lokasi & Cara ke Sana

Alamat: Jalan Cove Sentral 4, Bandar Gamuda Cove, 42700 Dengkil, Selangor, Malaysia.

Splash Mania terletak di Jalan Cove Sentral 4, Bandar Gamuda Cove, Selangor. Lokasinya yang strategik menjadikannya mudah diakses dari Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

  • 35 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur
  • 20 minit dari Terminal KLIA/KLIA2

Untuk ke sana, anda boleh menggunakan beberapa pilihan pengangkutan:

1. Kereta

Jika anda memilih untuk memandu dari Kuala Lumpur ke SplashMania Gamuda Cove, perjalanan mengambil masa kira-kira 35-40 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur. Anda boleh menggunakan dua laluan utama:

  • Lebuhraya ELITE
  • Lebuhraya MEX (Maju Expressway)

Gunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps dengan mencari “Gamuda Cove Experience Gallery” untuk panduan yang lebih tepat. 

Terdapat tempat letak kereta disediakan. Dari tempat letak kereta ke kawasan permainan, anda boleh naik shuttle (percuma). Kalau jalan kaki, jauh juga la nak berjalan masuk ke dalam dari tempat letak kereta. 

2. Pengangkutan Awam

Walaupun tiada pengangkutan awam yang terus ke Splash Mania, berikut adalah beberapa pilihan untuk sampai ke sana menggunakan pengangkutan awam:

  • Kereta Api dan Bas: Naik kereta api ke stesen berdekatan seperti Klang atau Rawang. Dari situ, ambil bas ke arah Bandar Gamuda Cove. 
  • Teksi atau E-hailing: Gunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing seperti Grab dari Kuala Lumpur.Ini mungkin pilihan yang agak mahal tetapi lebih mudah dan cepat.

NOTA:

Seperti yang dinyatakan di atas, setakat ini, tiada pengangkutan awam yang terus ke taman tema air ini. Jadi, jika anda merancang untuk menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda merancang perjalanan dengan teliti dan memperuntukkan masa tambahan. Semak jadual pengangkutan awam terkini sebelum memulakan perjalanan anda.

Harga Tiket Masuk

Harga tiket masuk ke Splash Mania berbeza-beza mengikut pakej dan promo. Untuk harga terkini (Disember 2024), anda boleh rujuk jadual di bawah:

  • SplashMania Night Splash NYE Edition: RM65-RM75
  • SplashMania: RM79-RM125
  • Splash Combo (Non Malaysian): RM95-RM125
Sumber: GL Play

NOTA: Harga dan promosi sentiasa berubah, jadi anda disarankan untuk sentiasa menyemak laman web rasmi SplashMania atau menghubungi mereka secara langsung untuk maklumat terkini dan tepat mengenai harga tiket masuk.

Cara Beli Tiket

Pembelian tiket boleh dilakukan dengan mudah melalui beberapa cara, iaitu:

1. Pembelian Melalui Laman Web Rasmi Splash Mania

Layari laman web rasmi Splash Mania di https://tix.glplay.com.my/attraction/splashmania untuk membeli tiket masuk. Anda boleh pilih pakej yang anda kehendaki dan buat pembayaran dalam talian. 

2. Pembelian Melalui Platform KLOOK

Anda juga boleh membuat pembelian melalui KLOOK. Taip “Splash Mania Gamuda Cove” dan klik, Search. 

Klook.com

3. Pembelian di Kaunter Splash Mania

Sekiranya anda tidak sempat membeli tiket secara dalam talian, anda juga boleh mendapatkannya terus di kaunter masuk Splash Mania. Namun, perlu diingat:

  • Harga tiket di kaunter mungkin lebih tinggi berbanding pembelian awal dalam talian.
  • Anda mungkin menghadapi barisan panjang terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum.

NOTA:

Pastikan anda sentiasa periksa laman web rasmi atau platform berkaitan untuk dapatkan tawaran istimewa seperti:

  • Tiket Early Bird: Diskaun untuk pembelian tiket beberapa minggu lebih awal.
  • Pakej Keluarga: Tawaran khas untuk kumpulan pengunjung dengan jumlah tertentu.
  • Promosi Musim Cuti: Harga istimewa untuk cuti sekolah atau perayaan tertentu.

Sekiranya anda mempunyai kod promosi atau baucar, masukkan kod tersebut semasa pembayaran untuk menikmati diskaun tambahan. Pastikan kod masih sah dan memenuhi syarat penggunaan.

BACA JUGA: Staycation Selangor: Senarai Penginapan Keluarga, Kids Friendly!

Tarikan Utama di Splash Mania Gamuda Cove

Sumber: GL Play

Ada banyak tarikan yang anda boleh cuba di Splash Mania Gamuda Cove ini, antaranya ialah:

1. Gelongsor Air

Splash Mania mempunyai 24 gelongsor air yang setiap satunya mempunyai keunikan dan daya tarikannya tersendiri. Antaranya ialah:

  • Shaka Waka: Gelongsor air klasik dengan pusingan yang mendebarkan dan gelung 360 darjah. Ia dilengkapi dengan sistem pencahayaan LED interaktif yang bertukar warna di sepanjang gelongsor.
  • The Wild Rush: Gelongsor berbilang laluan yang mensimulasikan perlumbaan tikar air.
  • The Aqua Swirl: Gelongsor yang menghantar pengunjung berputar di dalam mangkuk besar sebelum keluar melalui corong. 
Sumber: SplashMania | Gamuda Cove

2. Amazonia

Amazonia adalah sebuah kapal lanun bertingkat yang bukan sahaja menjadi mercu tanda ikonik taman ini, tetapi juga merupakan pusat aktiviti yang menawarkan pelbagai tarikan.

Pengunjung boleh menikmati gelongsor air, ruang F&B, dan persembahan muzik di dek DJ. Amazonia juga menawarkan pengalaman Sky Leap, di mana pengunjung boleh melompat dari dek tertinggi ke dalam air dari ketinggian 17.5 meter.

Sumber: SplashMania | Gamuda Cove

3. Aktiviti Santai: Omba’King’s Cove, Splash Sploosh, Sungai Malas

Untuk pengunjung yang mencari aktiviti yang lebih santai, SplashMania menawarkan Omba’King’s Cove, iaitu sebuah kawasan pantai buatan dengan ombak tiruan yang sempurna untuk berehat dan menikmati persembahan. 

Terdapat juga Splash Sploosh, sebuah pad percikan yang sesuai untuk semua peringkat umur, dan sungai malas yang membawa pengunjung dalam perjalanan yang perlahan dan berliku-liku melalui taman.

4. Zip Line –  Zoomi’s Runway

Salah satu tarikan yang paling menarik di SplashMania Gamuda Cove adalah Zoomi’s Runway, sebuah zip line yang menawarkan pengalaman mendebarkan meluncur merentasi taman tema air. 

Dari dek Amazonia, pengunjung dapat merasai sensasi meluncur sejauh 100 meter di atas taman, memberikan pemandangan yang menakjubkan dan perspektif unik terhadap semua tarikan yang ada di bawah.

5. Kawasan Permainan Kanak-kanak

Splash Mania Gamuda Cove menawarkan kawasan permainan yang direka khas untuk kanak-kanak, memastikan mereka dapat menikmati pengalaman air yang selamat dan menyeronokkan. 

Kawasan ini dilengkapi dengan pelbagai tarikan yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, menjadikannya tempat yang ideal untuk keluarga.

BACA JUGA: Sky Mirror Kuala Selangor – Waktu Operasi, Harga Tiket & Tips Sebelum Pergi!

Penutup

Splash Mania Gamuda Cove adalah destinasi lengkap untuk meluangkan masa bersama seisi keluarga ataupun rakan-rakan dengan penuh keseronokan. 

Dengan pelbagai tarikan yang mendebarkan serta kemudahan mesra pengunjung, taman tema air ini adalah salah satu pilihan destinasi terbaik di Selangor.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut