Solat Taubat: Niat, Cara Menunaikannya & Doa Taubat – JAKIM
Solat Taubat: Niat, Cara Menunaikannya & Doa – Mudah saja! | Sebagai manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Dalam Islam, kita digalakkan untuk menunaikan solat Taubat sebagai tanda menyesali kekhilafan yang dilakukan dan memohon keampunan kepada Allah.
Berikut dikongsikan niat, cara dan doa selepas menunaikan solat taubat untuk panduan anda.
BACA JUGA: Solat Sunat Istikharah & Doa Memohon Pilihan Yang Baik – JAKIM
Maksud ‘Taubat’
Taubat berasal dari perkataan تاب إلى الله توبا yang bermaksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali.Selain itu, ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat.
Dari sudut istilah pula, taubat didefinisikan seperti berikut:
Sesungguhnya taubat itu adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. – Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (14/192).
Solat Taubat
Baginda Nabi S.A.W telah memberikan suatu cara bagi seseorang yang telah melakukan dosa untuk membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut, iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ إِلَى آخِرِ الآيَةِ
Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ
Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah – Surah Ali Imran: 135
Niat & Cara Menunaikan Solat Taubat
Secara umumnya, pelaksanaan cara solat taubat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Mengikut pandangan kebanyakan ulama, solat sunat taubat boleh dikerjakan sebanyak dua, empat dan enam rakaat.
Walaubagaimanapun, tidak ada keterangan khusus berkenaan rakaat solat sunat taubat secara terperinci.
Niat Solat Taubat
Selepas mengambil wuduk dengan sempurna, anda boleh memulakan solat taubat dengan berdiri tegak dan takbiratul ihram sambil niat dalam hati:
Niat solat taubat:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلّهَِ تَعالىَ
Usolli sunnatat taubati rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Cara Menunaikan Solat Taubat
Rakaat Pertama:
Setelah membaca niat, bacalah Doa Iftitah diikuti dengan surah Al Fatihah diikuti dan surah lazim (mana-mana surah).
Kemudian, lakukan pergerakan solat seperti biasa; rukuk, iktidal, sujud, duduk diantara dua sujud. Pastikan anda menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
Rakaat Kedua:
Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca takbir dan ulang pergerakan seperti rakaat pertama; rukuk, iktidal, sujud, duduk diantara dua sujud.
Setelah selesai sujud yang kedua pada rakaat kedua, duduk untuk tahiyat akhir.
Akhiri solat dengan memberi salam.
Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:
La ilaha illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minaz Zalimin”
لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Maksudnya: Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim
NOTA: Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah. Solat Sunat Taubat anda tetap sah jika tidak membacanya namun jika dibaca akan mendapat pahala.
Doa Selepas Solat Taubat
Setelah selesai solat, jangan lupa berdoa dengan khusyuk dan perbanyakkan istighfar untuk memohon keampunan dari Allah SWT atas segala dosa yang pernah dilakukan.
Anda boleh ucapkan istighfar berikut berulang kali:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
Maksudnya: Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.
Anda juga digalakkan untuk membaca doa ringkas di bawah ini selepas menunaikan solat Taubat:
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
Kesimpulan
Salah satu rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya adalah dengan memberikan peluang dan ruang untuk mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat dan dosa walaupun berulang kali.
Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mencarinya. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
Jangan tangguhkan solat Taubat anda. Lakukan segera dengan penyesalan dan keazaman tinggi untuk tidak mengulangi lagi dosa yang dilakukan.
Sumber: https://muftiwp.gov.my/, https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia