Sky City, Tarikan Terbaru di I-City Shah Alam: Harga Tiket Masuk
Sky City adalah tarikan terbaru di Shah Alam yang baru sahaja dibuka secara rasminya pada 18 Januari 2025 yang lalu. Ia terletak di I-City Shah Alam yang juga dikenali sebagai ‘Bandar Digital’ Malaysia.
Jika anda nak cuba sesuatu yang baru di Shah Alam, anda bolehlah berkunjung ke sini. Dengan pelbagai tarikan menarik, ia pasti memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan untuk anda sekeluarga.
Jom baca lebih lanjut mengenainya termasuklah harga tiket masuk dan cara membelinya di bawah.
Sky City, I-City Shah Alam – Pengenalan
Sky City adalah merupakan sebahagian daripada projek mega I-City. Ia menawarkan pengalaman unik yang menggabungkan teknologi moden dan konsep hiburan yang inovatif.
Ia telah dibuka secara rasmi pada 18 Januari 2025 yang lalu.
Tarikan utamanya adalah SkyCity Tower, iaitu sebuah menara setinggi 342 kaki. Menara ini bukan sahaja menawarkan pemandangan panorama bandar Shah Alam tetapi turut dilengkapi dengan Glass WaterSlide, slaid air kaca pertama yang seumpamanya di Malaysia tau!
Reka Bentuk Futuristik
Reka bentuknya yang futuristik ditambah lagi dengan pencahayaan LED berwarna-warni pada waktu malam, menjadikan menara SkyCity Tower ini kelihatan sangat megah dan menarik.
I-City, menjadikan SkyCity Tower sebagai salah satu mercu tanda dan daya tarikan utama di kawasan ini.
Lokasi & Cara ke Sana
Sky City terletak di I-City, No. 6, Persiaran Multimedia, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor. Destinasi ini sangat mudah diakses sama ada dengan menaiki kenderaan peribadi ataupun pengangkutan awam seperti MRT atau LRT.
Taman tema ini beroperasi dari pukul 3.30 petang hingga 12 malam pada hari biasa. Manakala, pada hujung minggu dan cuti umum, dibuka bermula 10 pagi hingga 12.30 tengah malam.
Harga Tiket dan Cara Pembelian
Harga tiket masuk untuk Sky City adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia: RM45 untuk dewasa, RM35 untuk kanak-kanak dan warga emas
- Bukan warganegara: RM55 untuk dewasa, RM45 untuk kanak-kanak dan warga emas
Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web rasmi i-City untuk mengelakkan kesesakan.
Tarikan Utama
Antara tarikan utama di Sky City ialah:
1. Glass WaterSlide
Gelongsor air dengan dinding kaca lutsinar yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Shah Alam sambil merasai pengalaman yang mendebarkan.
Pengunjung akan melalui putaran dan lengkungan mendebarkan yang menjanjikan keseronokan yang tidak akan dilupakan!
2. Dek Pemerhatian – SkyCity Tower
Salah satu ciri utama SkyCity Tower adalah dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan bandar Shah Alam yang memukau. Dari sini, anda dapat melihat panorama Bukit Cahaya Sri Alam dan kawasan sekitarnya.
Dek ini dilengkapi dengan lantai kaca lutsinar sepenuhnya, memang nervous juga la awal-awal tu.
Ini adalah spot yang sesuai untuk mereka yang gemar fotografi atau sekadar ingin bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan.
3. Pencahayaan LED
Pada waktu malam, Sky i-City bersinar dengan pencahayaan LED. Sangat meriah!
TERKINI: Sky City Diarahkan Tutup?
Sky City telah diarahkan tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berkuat kuasa pada Jumaat lepas, 31 Januari 2025. Tarikh pembukaan semula akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Pengunjung yang telah membeli tiket boleh menukar tiket mereka ke tarikan lain di taman tema tersebut. Pastikan anda sentiasa memeriksa status operasi terkini sebelum merancang lawatan.
Dengan pelaburan bernilai RM15 juta, Sky City dijangka akan menjadi salah satu produk pelancongan utama dalam senarai Tahun Melawat Selangor 2025.
Oleh itu, pembukaan semula Sky City pasti akan dinantikan oleh ramai pihak dan dijangka akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.
BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik Di Selangor, Sesuai Untuk Trip Hujung Minggu!
Tarikan Lain di I-City
Walaupun Sky City kini ditutup, I-City masih menawarkan pelbagai tarikan menarik lain untuk pengunjung. Antaranya ialah:
- Trick Art Museum: Sebuah muzium yang mempamerkan lukisan 3D yang mengelirukan dan menarik.
- House of Horror: Rumah hantu yang menakutkan untuk pengunjung yang suka pengalaman menyeramkan.
- Red Carpet: Pameran patung lilin selebriti yang membolehkan anda bergambar dengan replika bintang terkenal.
- Space Mission: Tarikan baru yang memberi pendidikan dan hiburan kepada pengunjung dalam penerokaan angkasa lepas yang futuristik. Ia dibina di kawasan seluas 30,000 kaki persegi dan bertujuan memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi angkasa dengan cara yang inovatif.
- Muzium Lilin Interaktif: Muzium lilin interaktif pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.
Selain itu, I-City juga terkenal dengan tarikan utamanya seperti Waterworld (taman air), Snowalk (taman salji dalam ruangan), dan City of Digital Lights (taman cahaya).
Setiap tarikan ini menawarkan pengalaman yang unik dan menarik untuk pengunjung dari pelbagai peringkat umur.
BACA JUGA: 10+ Tempat Menarik Di Cameron Highlands & Aktiviti yang Sesuai Dilakukan
Penutup
Sky City di i-City Shah Alam menawarkan pengalaman yang menyeronokkan untuk setiap pengunjungnya.
Walaupun Sky City kini ditutup, namun ia menjadi tarikan yang dinanti-nantikan untuk dibuka semula. Sementara menunggu pembukaan semula, pengunjung masih boleh menikmati pelbagai tarikan lain yang menarik di i-City.
Jangan lupa untuk sentiasa memeriksa laman web rasmi i-City untuk maklumat terkini mengenai status operasi Sky City ya!