Dalam kecanggihan teknologi ini, screen time atau dalam bahasa Melayunya masa tayangan, seseorang itu adalah lebih tinggi berbanding dengan orang-orang terdahulu. Hal ini demikian kerana, kebergantungan kita terhadap teknologi-teknologi ini juga makin tinggi.
Namun begitu, tahukah anda, tempoh waktu tayangan yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal seseorang, terutama bagi kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke bawah. Oleh itu sebagai ibu bapa amat penting untuk anda pantau waktu tayangan anak-anak anda.
Berikut kami kongsikan kepada anda berkenaan pengurusan masa tayangan anak-anak anda dan keburukan jika mereka menggunakannya melebihi had waktu yang telah ditetapkan. Baca artikel ini sehingga ke penghujung untuk ketahui lebih lagi.
Apa itu Screen Time?
Screen Time atau dalam bahasa Melayunya “masa tayangan” merujuk kepada masa yang dihabiskan seseorang dengan menggunakan peranti seperti telefon pintar, tablet, komputer, televisyen dan sebagainya.
Walaupun penggunaan peranti-peranti tersebut amat penting terutamanya dalam perkembangan dunia semasa, had waktu penggunaan yang panjang akan memberikan kesan buruk kepada semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak.
Oleh itu, sebagai ibu bapa amat penting untuk anda mengawal had masa tayangan bagi anak-anak anda. Dengan kawalan daripada awal ini akan membantu dalam mengelakkan anak-anak anda daripada mudah leka dalam penggunaan peranti.
Di Malaysia, kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak berumur antara dua (2) hingga 17 tahun akan menghabiskan purata 3 hingga 4 jam pada skrin, dengan telefon pintar menjadi pilihan utama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Cara Kurangkan Masa Tayangan
Kita tidak boleh terus menghalang anak-anak dari masa tayangan, terutamanya pada era ini yang penuh dengan kecanggihan teknologi. Namun begitu, kita boleh mengurangkan screen time mereka dengan cara berikut:
- Tetapkan had masa tayangan.
- Tetapkan peraturan yang jelas mengenai bila dan berapa lama anak-anak anda boleh menggunakan skrin digital setiap hari. Pastikan anak-anak anda berdisiplin dalam mengikuti had ini juga.
- Galakkan aktiviti alternatif
- Galakkan anak-anak anda untuk terlibat dalam aktiviti tanpa skrin seperti bermain di luar, membaca, melakukan kraf tangan atau bermain permainan lain.
- Aktiviti-aktiviti ini dapat mengelakkan mereka dari berasa bosan dan ingin menggunakan peranti.
- Cipta zon bebas skrin
- Tetapkan kawasan tertentu dalam rumah sebagai zon bebas skrin, seperti bilik tidur atau kawasan makan untuk menggalakkan interaksi keluarga dan mengurangkan penggunaan skrin
- Jadilah contoh teladan
- Hadkan masa skrin anda sendiri dan utamakan interaksi bersemuka dengan anak-anak anda. Hal ini demikian kerana, anak-anak kecil belajar semuanya daripada ibu bapa dan penjaga mereka.
- Gunakan masa skrin dengan bijak
- Utamakan kandungan pendidikan atau interaktif yang menggalakkan pembelajaran dan kreativiti. Pantau kandungan yang mereka tonton dan pastikan ia sesuai dengan umur dan selaras dengan nilai-nilai keluarga.
Berapa Tempoh Screen Time Untuk Anak Mengikut Umur
Menentukan masa tayangan yang sihat untuk kanak-kanak adalah tugas yang sukar. Walau bagaimanapun, AAP (Akademi Pediatrik Amerika) telah mengesyorkan garis panduan khusus mengikut umur yang boleh anda ikut dan jadikan panduan:
Kumpulan Umur | Had Masa |
Bawah 18 bulan | Elakkan screen time sepenuhnya, kecuali jika melibatkan perbualan atas talian. |
18 hingga 24 bulan | Kandungan pendidikan terhad dengan penjaga dan hanya dalam tempoh kurang dari sejam. |
2 hingga 5 tahun | Satu jam setiap hari masa tayangan dan lebihkan pada kandungan pendidikan. Pantauan ibubapa juga amat penting. |
6 tahun ke atas | Galakkan tabiat sihat, hadkan masa skrin kepada dua jam sehari, kecuali jika melibatkan urusan sekolah. Pantauan ibubapa amat penting. |
Kesan-Kesannya Kepada Anak Anda
Walaupun terdapat kesan positif dalam penggunaan peranti seperti telefon pintar, tablet dan televisyen kepada anak-anak anda, tetapi jika digunakan secara berlebihan dan tanpa pantauan orang dewasa ia akan memberikan kesan buruk kepada mereka.
Berikut kami kongsikan beberapa kesan buruk screen time berlebihan kepada anak-anak anda:
- Lewat Perkembangan Bahasa & Pertuturan (Speech delay)
- Kebanyakkan kandungan di media sosial tidak sesuai untuk anak-anak kecil dan boleh menyebabkan mereka lewat dalam bertutur.
- Masalah Kesihatan Fizikal
- Kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa di skrin mungkin akan mengalami beberapa masalah kesihatan seperti postur yang lemah, ketegangan mata, obesiti, insomnia dan tabiat pemakanan yang tidak betul.
- Gangguan Tidur
- Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada skrin yang berpanjangan, terutamanya sebelum waktu tidur, boleh mengganggu corak tidur dan menjejaskan kualiti rehat anak-anak anda.
- Isu Tingkah Laku
- Kanak-kanak yang terdedah dengan kandungan media sosial berlebihan dan tanpa kawalan orang dewasa akan mudah mengikuti perkara-perkara tidak baik yang akan menyebabkan berlakunya:
- Keganasan
- Tingkah laku berisiko, seperti aksi atau cabaran
- Kurang kestabilan emosi
- Kawalan diri yang lebih rendah
- Kanak-kanak yang terdedah dengan kandungan media sosial berlebihan dan tanpa kawalan orang dewasa akan mudah mengikuti perkara-perkara tidak baik yang akan menyebabkan berlakunya:
- Gangguan Perkembangan Kognitif
- Masa tayangan yang berlebihan boleh mengganggu kebolehan menyelesaikan masalah, pemikiran kreatif dan tahap fokus anak-anak anda
- Implikasi Sosial
- Kurangnya komunikasi bersemuka akan menyebabkan anak-anak mungkin tidak dapat mengembangkan pelbagai kemahiran sosial.
- Di samping itu, terdapat juga ancaman buli siber dan kebimbangan keselamatan yang memerlukan pengawasan ibu bapa.
Oleh itu, sebagai ibu bapa sangat penting untuk kita meletakkan had dan memantau masa tayangan anak-anak kita daripada usia muda agar ketagihan ke atas peranti dapat dielakkan.
Sumber: health digest
Baca juga: Tung Tung Sahur – Fenomena Brain Rot Bahaya untuk Kanak-Kanak