Deklamasi sajak bertemakan Hari Merdeka merupakan salah satu cara untuk memupuk semangat partiotisma dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sajak merupakan puisi Melayu moden yang berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, rangkap, rima dan sebagainya.
Kebebasan sajak dalam aspek bentuk dapat dilihat melalui cara ianya dihasilkan dan ditulis.
Namun, sajak masih lagi terikat dengan penerapan dan penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian.
Berikut dikongsikan beberapa sajak merdeka yang menarik untuk dihayati sempena Hari Merdeka pada tahun ini.
Contoh Sajak Merdeka Pendek
1. Menyambut Merdeka
Oleh : Za’aba
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.
Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.
Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.
Artikel menarik: Koleksi Poster Hari Merdeka Yang Kreatif & Menarik
2. Pahlawan dan Tanah Air
Oleh : Usman Awang
Pahlawan sejati
dalam hatinya bernyanyi.
Tanahair dan bangsa
di mana terpaut cinta mulia.
Untukmu darah ini mengalir
padanya jasad ini cair
3. Ikan yang Mencari Laut Merdeka
Oleh : Gabriel Kimjuan
Ikan berenang dalam laut merdeka
Mencari hempas buih kebebasan
Sarat dengan sampah kemanusiaan
Terapung ke pantai kematian
Conteng akal dinding fikiran
Dari fitrah ciptaan Tuhan
Gelap bukan satu halangan
Terang bukan satu kejayaan
Kepala yang telah kehilangan
Lalu busuk ke dasar pelabuhan
Menukar hitam oleh keracunan
Mabuk ditelan bersama kehidupan
Bahu ombak sapu halaman
Yang ditinggalkan raja pelayaran
Menikam tapak-tapak pelarian
Sudah bersemadi di pulau kuburan
Tiada lagi nafas jutaan ikan
Memberi kekal rahsia zaman
4. Senja Hari Merdeka
Oleh : Siti Zainon Ismail
Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, Ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan
Koleksi Sajak Merdeka Yang Menarik Oleh Sasterawan Negara
1. Dilema Melayu
Oleh : Zurinah Hassan
Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”
Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.
Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.
Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.
Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.
Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah
Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.
Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.
Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.
Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.
Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.
Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.
2. Erti Sebuah Kemerdekaan
Oleh : A Samad Said
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
Dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah, tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi.
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh.
Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
Mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
Inti tonggak dan menara kebahagiaan.
Kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
Mendengar jerih perih bercerita jiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
Jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
Dan bumi akan subur, makmur dan mewah
Jika kita bekerjasama dan berikrar hidup bersama.
Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah kawan tanpa jenak, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
Berjalan kita atas nama ‘tanah air dan bangsa’ –
Bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
Dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
Kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
Wajar diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
Kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
Sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.
3. Pertama dan Terakhir
Oleh : A Samad Said
Jauh kita berjalan
mendukung semua kepercayaan
pertama dan terakhir
sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair
Kita bersua hati
mengisi setiap janji
pertama dan terakhir
tiada hari kiranya
hingga bernanah dada
sumpah tiada termungkir
Gemuruh kita bersorak
bumi dan langit retak
pertama dan terakhir
berani kita bergerak
darah dan daging serentak
hingga ke saat akhir
padu kita berhasrat
hingga bumi kiamat
pertama dan terakhir
kuat jantung berdetak
untuk berpaling tidak
biar di gelegak air
Rela kita mengangkat
cita bangsa berdaulat
ke puncak murni berukir!
4. Warkah Sumpah Sebuah Perjuangan
Oleh : Gabriel Kimjuan
Sebuah warkah berbunyi di dinding potret
Membeku separuh jiwa terdampar melukis aksara budi
Mengagumi kecekalan pahlawan di medan ketimuran
Senjata bersiap siaga dari terbit dan tenggelam mentari
Laut dan darat melontar sebuah ceritera berdaulat
Kepimpinan pahlawan membugar kekuatan pertiwi
Hingga darah merah memekat di baju bakti
Walaupun bertongkat luhur mendewasakan hikayat hakiki
Biar maruah bangsa sang merdeka menakluk perjuangan sejarah nenek moyang
Sampai berjabat gagah oleh para pemuja terbilang
Sumpah kemasyhuran kota pada peradaban ini
Membilang tubuh hayat menggegarkan tanah dan janji
Kisah zaman telah memulaukan segala kelibat hitam
Hingga gelombang hutan mengatur langkah mengaum belantara malam
Menjejaki pagar musuh tanpa penghuni waktu
Semangat jiwa mendakap setiap pelukan kasih
Meninggalkan lantai dataran obor kegemilangan abadi
Mengetuk pintu riwayat ini berlabuh melalui rahmat Ilahi
Perjuangan cinta watan akan sentiasa dalam ingatan
Tersemai piala keluhuran yang tertulis di bahu persahabatan
5. Dataran Merdeka
Oleh : Nur Hidayah Ismail
Di situ
sejarah berpijak bunyi berdentum
lagak perwira keris dihunus
bilah kata diasah tajam
dan jiwa sudah beradu takdir
mata harapan mengintip peluang
merangkak di selekoh susur tawakal
berjalan di segenap denai juang
berlari gah di Dataran Merdeka
Di sana
kenangan merebak aromanya
bicara sering meluncur di udara
dendam sudah terbang pulang
dengki sudah menyusup hilang
hanya saja
peluh negara melimpah wangi
di Dataran Merdeka.
Di sini
Ya di sini!
Jiwa melangkah seiring waktu
semangat berkibar merdu
angin cinta tidak lagi berkurung malu
Inilah Dataran Merdeka
Beginilah Dataran Merdeka
Benar di sini Dataran Merdeka
menjulang karya emas kesateria negara!
Semoga perkongsian Sajak Merdeka ini dapat menyuntik semangat kemerdekaan yang lebih membara pada tahun ini.
Dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-67!
Kredit: Facebook PD Kg Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, Terengganu, Jendela DBP