Rukun Tayammum & Syarat-Syaratnya

rukun tayammum
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Jika tidak mempunyai air atau berada dalam keadaan yang tidak membolehkan seseorang terkena air, Islam membenarkan mereka untuk bertayammum.

Apakah yang dimaksudkan dengan tayammum dan apakah rukun tayammum serta syarat-syaratnya?

Maksud Tayammum

Tayammum bermaksud menyapu muka dan dua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih atau bahan lain yang boleh digunakan mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Ia juga merupakan satu bentuk rukhsah (keringanan) yang Allah SWT berikan kepada mereka yang tidak mampu untuk berwuduk atas sebab-sebab yang tertentu.

Bahan Tayammum

Mengikut Mazhab Syafie, bahan yang boleh digunakan untuk tayammum ialah tanah berdebu yang suci daripada najis serta tidak musta’mal.

Tanah musta’mal ialah yang melekat di anggota tayammum (muka/tangan) ketika tayammum atau yang bertebaran setelah disapu pada anggota tayammum.

Tanah daripada tempat yang ditepuk pertama kali tidak dihukumkan musta’mal dan boleh digunakan seberapa banyak kali walaupun kuantitinya sedikit.

Syarat Tayammum

Syarat-syarat tayammum adalah seperti berikut:

  • Mengetahui masuk waktu solat.
  • Mencari air selepas masuk waktu solat.
  • Menggunakan debu tanah yang suci yang tidak mengandungi tepung dan kapur.
  • Menghilangkan najis terlebih dahulu.
  • Menentukan kiblat sebelum bertayammum.

Rukun Tayammum

Terdapat 4 rukun tayammum iaitu:

  1. Niat
  2. Menyapu debu tanah ke muka
  3. Menyapu debu tanah ke tangan
  4. Tertib

Cara Tayammum

Berikut adalah cara-cara untuk tayammum:

Langkah 1: Menepuk dua tapak tangan pada debu tanah kali pertama untuk menyapu muka.

Langkah 2: Menyapu muka

Langkah 3: Membuang debu yang telah digunakan.

Langkah 4: Menepuk dua tapak tangan ke debu tanah pada kali kedua untuk menyapu kedua tangan.

Langkah 5: Memindahkan debu tanah

Langkah 6: Menyapu bahagian tangan kanan sebelah belakang tapak tangan kanan dengan menggunakan empat perut jari tangan kiri (selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.

Langkah 7: Menyapu bahagian tangan kanan sebelah hadapan dari siku hingga ke hujung ibu jari dengan menggunakan debu tanah pada tapak tangan kiri dan ibu jari tangan kiri menyapu belakang ibu jari tangan kanan.

Langkah 8: Menyapu bahagian tangan kiri sebelah belakang tapak tangan
kiri dengan menggunakan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) dari hujung jari
hingga ke siku.

Langkah 9: Menyapu tangan kiri sebelah hadapan dari siku hingga ke hujung ibu jari dengan menggunakan debu tanah pada tapak tangan kanan dan ibu jari tangan kanan menyapu belakang ibu jari tangan kiri.

Sumber: https://maktabahalbakri.com/1509-tayammum-bagi-pesakit/

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut