Alhamdulillah, malam ini kita akan masuk 16 Ramadan, bagi yang solat berjemaah di masjid atau surau, mulai malam ini kita akan mula membaca doa qunut dalam solat sunat witir.
Kenapa bila masuk hari ke 16 Ramadan kita perlu baca qunut dalam solat witir? Kalau tak baca, tak sah ke solat tarawih yang kita buat? Adakah ia perlu digantikan dengan sujud sahwi seperti mana solat subuh juga?
Jom kita baca selanjutnya penjelasan di bawah.
Dalil Membaca Doa Qunut Dalam Solat Sunat Witir (Selepas Tarawih) Pada Bulan Ramadan
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud:
عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ… Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”. [Riwayat al-Tirmizi (464)]
Selain itu, perbuatan berqunut pada separuh akhir Ramadhan ini juga termasuk dalam usaha untuk mendapatkan lailatul qadar. Mengenai ini, Ibn Rajab ada menyebutkan dalam kitabnya, sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais R.A, bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan lailatul qadar. Maka, Baginda SAW menjawab:
رَأَيْتُهَا فَأُنْسِيتُهَا، فَتَحَرَّهَا فِي النِّصْفِ الْآخِرِ
Maksudnya: “Aku melihatnya (lailatul qadar) dan terlupa akannya. Maka carilah lailatul qadar pada separuh yang terakhir — dalam bulan Ramadhan.” [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (347)]
Hukum Membacanya
Dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadan, iaitu bermula malam 16 Ramadan. [Lihat: al-Muktamad, 1/309]
Menurut Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat, disunatkan untuk berqunut pada keseluruhan bulan Ramadhan, dan ini merupakan mazhab Malik.
Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat disunatkan untuk berqunut dalam solat witir sepanjang tahun — yakni tidak dikhususkan hanya bulan Ramadhan — dan ini merupakan pendapat empat ulama besar dalam kalangan ashab (ulama mazhab Syafi‘i) iaitu Abdullah bin al-Zubairi, Abu al-Walid al-Naisaburi, Abu al-Fadhl bin ‘Abdan dan Abu Mansur bin Mihran.
Inilah pendapat yang kuat dari sudut dalil berdasarkan hadith al-Hasan bin Ali.
Akan tetapi pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘i ialah pendapat yang pertama — yakni pada separuh akhir bulan Ramadhan — dan inilah yang dipegang oleh jumhur ashab (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i).
Walau bagaimanapun, tiada masalah jika seseorang itu mahu beramal dengan berqunut dalam witirnya sejak hari pertama Ramadan lagi kerana ia juga merupakan pendapat sebahagian ulama kibar dalam kalangan mazhab Syafi‘i, yang tidak mengkhususkan qunut dalam witir hanya dalam bulan Ramadan.
Doa Qunut Witir Ramadan Dibacakan Pada Rakaat Ke Berapa?
Doa Qunut dibaca pada 15 malam terakhir Ramadan, iaitu bermula pada hari 16 Ramadan. Sunat membaca doa Qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir.
Lafaz Doa Qunut Dalam Solat Sunat Witir
Doa qunut yang dibacakan adalah sama seperti yang kita baca semasa solat Subuh.
Ini adalah lafaz bacaan bagi doa Qunut sebagaimana yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci lagi yang Maha Tinggi”.
Tambahan pula, disunatkan juga membaca selawat kepada Nabi SAW selepas daripada membaca doa di atas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi RA di dalam al-Azkar. Selain itu, disunatkan kepada orang yang bersolat bersendirian atau imam jika mereka ingin memanjangkan bacaan doa qunut dengan membaca doa qunut Umar bin al-Khattab RA yang panjang dan kami nyatakan sebahagiannya dan doa ini juga terdapat di dalam kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi RA:
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ مَنْ يَفْجُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد، ولَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُد…
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon pertolongan kepada-MU, kami memohon ampun kepada-Mu dan kami tidak mengkufuri-Mu, kami beriman dengan-Mu dan kami membenci sesiapa yang menderhakai-Mu. Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya untuk-Mu kami bersolat dan bersujud…”.
Sumber rujukan :
- Soal Jawab Agama – Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca juga: