Niat Puasa Asyura 2023 & Tasu’a (JAKIM)

GALAKAN PUASA SUNAT DI BULAN MUHARAM / PUASA ASYURA / PUASA TASU’A 2023

Bulan Muharam adalah salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakan puasa sunat.

Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam.

Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

Manakala solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang bulan Muharram dan anjuran berpuasa dalam Islam.

Kelebihan Bulan Muharam

Muharam merupakan bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Selain itu, ianya bagi menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam untuk memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Dalam pada itu, Muharam juga adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati dan memiliki kemuliaan di sisi Allah SWT. Jumlah bulan dalam setahun yang ditetapkan Allah SWT terdapat 12 bulan semuanya. Ia diciptakan sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam Ibnu Kathir menyatakan, orang yang melakukan kemaksiatan dan kezaliman pada bulan itu akan ‘dilipat gandakan’ dosanya oleh Allah SWT.

Sumber: Masjid Wilayah Persekutuan – Rasmi

Kelebihan & Anjuran Puasa Dalam Bulan Muharram

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, iaitu MUHARRAM. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam.”

(Hadis riwayat muslim, 1163)

puasa muharam asyura

Tarikh Puasa Sunat Di Bulan Muharam, Puasa Asyura / Tasu’a 2023

Puasa sunat Asyura yang jatuh pada 10 Muharram setiap tahun, adalah lebih baik dilaksanakan selama dua hari berturut-turut sama ada 9 dan 10 Muharram atau 10 dan 11 Muharram.

Rebutlah peluang kedatangan bulan Muharam untuk melakukan banyak puasa sunat khususnya pada 9 Muharam dan 10 Muharam di samping memperbanyak solat malam.

*Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.

Ia adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari.

Namun begitu, tiada masalah untuk berpuasa sunat pada 10 Muharam sahaja, dan pahalanya tetap dikira.

Bagi tahun 2023, tarikh puasa sunat bulan Muharram adalam seperti berikut:

  • Puasa Tasu’a (9 Muharam 1445H) : 27 JULAI 2023
  • Puasa Asyura (10 Muharam 1445H) : 28 JULAI 2023
  • Puasa 11 Muharram 1445H : 29 JULAI 2023

KELEBIHAN & FADILAT PUASA MUHARAM, TASU’A & ASYURA

1) Sunat berpuasa pada 10 Muharam, berdasarkan hadis bahawa berpuasa pada 10 Muharam memiliki fadilat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

2) Disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam mengiringi 10 Muharam kerana ini perintah Rasulullah SAW agar menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman baginda.

3) Ulama juga menyatakan jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharam.

4) Apakah hukum berpuasa pada 10 Muharam sahaja? Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam karya beliau “Tuhfah al-Muhtaj”:
قول المتن (وعاشوراء) ولا بأس بإفراده
Maksudnya: Teks (Al-Minhaj) menyebut: “…dan (disunatkan berpuasa) Asyura” dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.

5) Menurut kenyataan di atas, mazhab Syafi’ie mengharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja walaupun tanpa iringan puasa pada 9 Muharam.

6) Namun yang amat digalakkan iaitu lebih afdal berpuasa sehari sebelum Asyura kerana itu keazaman baginda pada masa akan datang. Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka digantikan pada 11 Muharam.
Wallahu’alam.

Niat Puasa Asyura

i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.

ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.

Semoga apa yang dikongsi ini memberikan manfaat kepada kita semua dan selamat beramal.

Baca juga: Niat Gabung Puasa Ganti

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!