Puasa Sunat Arafah 2026: Niat, Tarikh & Kelebihan – JAKIM

puasa arafah
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

TARIKH HARI ARAFAH 2026, KELEBIHAN & NIAT PUASA SUNAT

Tidak lama lagi kita akan sampai ke bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam. Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa ini.

Istimewanya Bulan Zulhijjah

Antara amalan sunnah yang dapat kita lakukan pada bulan Zulhijjah adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Tiada kelebihan khusus dari hari 1 hingga 8 Zulhijjah namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Seterusnya, melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.

Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

[HR al-Bukhari, hadis sahih]

Tarikh Puasa Hari Arafah Di Malaysia 2026

Mungkin ada antara kita yang teragak-agak untuk berpuasa pada Hari Arafah bagi tahun 2026 memandangkan terdapatnya perbezaan hari di Arab Saudi berbanding di Malaysia.

Puasa sunat Hari Arafah bagi umat Islam di Malaysia pada tahun 2026 jatuh pada hari Selasa, 26 May 2026, bersamaan 9 Zulhijjah 1447H menurut kaedah rukyah dan hisab yang diputuskan oleh Jabatan Falak, JAKIM.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata penentuan tarikh 9 Zulhijjah berbeza mengikut matla’ (permulaan terbit anak bulan) di negara masing-masing.

Bagi Malaysia, kita menetapkan (9 Zulhijjah) berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Ini bermakna puasa sunat Arafah jatuh pada hari Selasa.

Umat Islam di Malaysia hendaklah berpuasa sunat Hari Arafah mengikut tarikh 9 Zulhijjah di Malaysia, bukan mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi, sebagaimana penjelasan rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Waktu mustajab doa dan amalan sunat lain juga mengikut tarikh tempatan.

Umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat dan doa pada 9 Zulhijjah yang juga bersamaan dengan Hari Wukuf di Arafah, Makkah.

Kita memang sentiasa digalakkan berdoa pada bila-bila masa. Namun, berdoa pada waktu makbul doa adalah satu kelebihan.

Justeru, umat Islam di negara ini (jangan keliru), kita berdoa waktu mustajab hari Arafah berdasarkan (ketetapan) di Malaysia.

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia adalah hari mustajab doa, menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas, selain hari keampunan serta pelepasan dari api neraka.

Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.

Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟

“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

niat puasa arafah

Kelebihan Puasa Sunat Arafah

Antara kelebihan puasa Arafah adalah:

  1. Puasa Arafah adalah satu jalan / ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
  2. Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
  3. Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
  4. Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”

(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)

Niat Puasa Sunat Hari ‘Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”

puasa arafah
Sumber infografik oleh JAKIM

Baca juga: Kelebihan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah & Amalan Sunnah Yang Dianjurkan

Waktu Berdoa

Apabila sebut tentang puasa arafah atau waktu wukuf 2026, tentu setiap tahun timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.

Bilakah hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersusah payah untuk menyesuaikan atau convert waktu wukuf di padang Arafah dengan waktu di Malaysia kerana masing-masing ada keistimewaan masing-masing.

Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

(Sumber: Pusat Pungutan Zakat MAIWP)

BACA JUGA: Hari Raya Haji 2026 / Tarikh Cuti Sekolah KPM Sempena Aidiladha

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut