Sejak akhir-akhir ini kita selalu dengar tentang penyakit ain yang berlaku dalam masyarakat.
Namun, masih tidak ramai yang tahu apakah sebenarnya penyakit ain ini dan kesannya kepada kehidupan?
Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda serba sedikit berkenaan dengan penyakit ain dan rawatan untuk menanganinya.
Baca juga:
Apa itu penyakit ain?
Penyakit ain adalah penyakit yang berasal dari pandangan mata disertai dengan sifat iri hati atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Ia boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qalam, ayat 51 yang bermaksud:
وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian).”
Selain itu, disebutkan juga dalam beberapa hadis antaranya daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ
Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”
Menurut Al-Hafiz Ibnu Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bahri, ‘ain adalah pandangan hasad dengki daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.
Yang menakutkan lagi, penyakit ini juga boleh timbul tanpa ada rasa dengki dan tidak disengajakan.
Ciri seorang penghasad dan pendengki
Anda sebenarnya boleh mengenali sama ada seseorang itu boleh memberikan penyakit ini atau tidak.
Antara ciri yang dimaksudkan ini adalah seperti berikut:
- Seseorang yang jarang mendoakan keberkatan orang lain apabila dia melihat sesuatu yang mengkagumkannya.
- Seseorang yang banyak mengeluh dan tidak menerima qada qadar Allah.
- Seseorang yang amat sedikit berzikir kepada Allah dan banyak membicarakan hal keduniaan sahaja.
- Seseorang yang sangat takjub dan kagum dengan harta milik seseorang dan dia banyak membicarakan harta dan pemilik harta tersebut.
- Seseorang yang mukanya selalu berkerut dahi, bermuka masam, murung, pucat atau gelap pekat.
- Seseorang yang selalu sedih, sering curiga dan suka mencampuri urusan orang lain.
Tanda terkena penyakit ain (umum)
- Sedih dan dada terasa sesak.
- Emosional dan ketakutan.
- Sering mimpi yang menakutkan.
- Tiba-tiba tidak mahu bergaul dengan orang lain.
- Sukar untuk fokus terhadap sesuatu.
- Suka menyendiri.
- Merasa benci untuk keluar rumah.
- Susah tidur waktu malam.
- Tubuh jadi kurus kerana tiada selera nak makan.
- Tiba-tiba jadi bodoh walaupun sebelumnya pintar.
- Terlalu sensitif.
- Terasa ingin mati dan putus asa.
- Dada terasa sesak sehingga ingin menangis.
- Mimpi kubur, jenazah atau masuk ke dalam kubur.
- Pengsan mendadak.
- Detik jantung kencang hingga takut mati.
- Bermurung atau lebih suka diam walaupun sebelumnya ramah dan memandang negatif kehidupan hingga berharap mati.
- Rasa takut terhadap tempat atau orang tertentu seperti pejabat atau sekolah atau rumah yang mana sebelumnya dia sangat suka dengan tempat tersebut.
- Selalu mengantuk dan malas nak melakukan sebarang aktiviti.
- Sering menguap ketika beribadah atau ketika diruqyah.
Tanda terkena penyakit ain (kanak-kanak)
- Suhu badan panas yang tinggi.
- Mulanya rajin tiba-tiba jadi malas.
- Mulanya murid yang pintar tapi tiba-tiba malas.
- Tidak boleh fokus.
- Denyut jantung yang tak teratur dan terkadang sangat kencang.
- Degil dan tidak suka ikut cakap ibu bapa.
Tanda terkena penyakit ain (bayi)
- Badan panas bukan kerana sakit dari sudut perubatan.
- Selalu menangis dan tidak mahu menyusu dengan ibunya.
- Kurus kering seperti kurang makan tetapi selalu makan.
- Kejang-kejang tanpa sebab yang jelas.
- Denyut jantung yang tidak teratur dan kadang kala terlalu laju.
Rawatan untuk kesembuhan diri
1. Mengamalkan zikir
Amalkan zikir sebagai pendinding daripada penyakit ain serta musibah lain seperti berikut:
بِسْمِ اللهِ الَّذِىْ لاَيَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْئٌ فِى اْلاَرِضِ وَلاَ فِى السَّمَآءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis sama’i wa huwassami’ul ‘alim
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan di langit tidak akan berbahaya, DIALAH yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
2. Mengamalkan surah Al-Falaq
Menurut perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, kita juga digalakkan untuk mengamalkan surah Al-Falaq supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki.
3. Dimandikan dengan air
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata:
Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata:
“Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.”
Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan:
“Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:
عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
4. Berpada-pada dari berkongsi kisah peribadi
Setiap orang mempunyai hak untuk menyembunyi hal peribadi masing-masing terutama golongan yang dikenali ramai seperti selebriti.
Namun dalam dunia serba canggih ini, pengaruh media sosial adalah sangat besar. Sehingga kadang kala menimbulkan banyak fitnah apabila kita terlalu terbuka atau berahsia untuk berkongsi kisah peribadi.
Justeru itu, langkah yang terbaik adalah berpada-padalah dalam berkongsi kisah peribadi di khalayak ramai.
5. Ruqyah
Selain itu, penyakit ini juga dapat disembuhkan dengan ruqyah sesuai syariat Islam. Dari Aisyah radhiallahu’anha, ia berkata:
Maksudnya: “Dahulu Rasulullah Shallalahu’alaihi Wasallam memintaku agar aku di ruqiyah untuk menyembuhkan ain.” – (Hadis Riwayat Muslim, No 2195)
Dikeranakan hasad atau iri adalah penyebab utama dari penyakit ain, maka penting untuk seseorang menjauhi sifat ini dengan membaca doa-doa.
Doa agar terhindar dari hasad dengki
Perasaan hasad dengki, cemburu, iri hati melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain adalah sifat mazmumah yang perlu kita semua jauhi.
Anda boleh mengamalkan membaca surah Al-Hashr, ayat 10 untuk dijauhkan diri dari hasad dengki.
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara mara kami yang telah beriman sebelum kami.”
Dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam terhadap orang yang beriman.
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Belas Kasihan lagi Maha Mengasihani.”
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan penyakit ain ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Mengenali Penyakit Ain, Bencana Kerana Panahan Mata. Taqwa.my
- Al-Afkar #43: Penyakit ‘Ain dan Rawatannya. Mufti Wilayah Persekutuan
- Penyakit ‘Ain dalam PerspektifHadith dan Masyarakat Melayu. Jurnal Usuluddin Universiti Malaya