Pengumuman 1 Zulhijjah (Hari Raya Haji) – Tarikh Lihat Anak Bulan
[TERKINI] Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun 2024 bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah – Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Jawatankuasa-jawatankuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijjah di lebih 20 lokasi di seluruh negara bagi menentukan tarikh 1 Zulhijjah.
Berikut dikongsikan tarikh pengumuman 1 Zulhijjah, dan Hari Raya Haji yang akan disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun.
Pengumuman 1 Zulhijjah & Tarikh Hari Raya Haji
Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Hari Raya Aidiladha adalah pada Jumaat, 7 Jun 2024 bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah, iaitu pada jam 8.00 malam demikian menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Aidiladha yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.
TERKINI: Hari Raya Aidiladha jatuh pada 17 Jun 2024 (Isnin)
20 Lokasi Melihat Anak Bulan
Lokasi melihat anak bulan tersebut ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.
Baca juga :
- Niat Puasa Sunat Zulhijjah, Hari Tarwiyah, Arafah & Kelebihannya
- Waktu Wukuf 2024 & Doa Hari Arafah
- Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah & Amalan Sunnah Dianjurkan
Cuti Hari Raya Haji Setiap Negeri
Cuti Hari Raya Korban (hari pertama) adalah cuti kelepasan am bagi setiap negeri di Malaysia.
Terdapat negeri yang mengambil cuti 2 hari bagi Hari Raya Haji iaitu:
- Kelantan
- Terengganu
Sila rujuk Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan dalam lampiran di bawah:
Cuti Sekolah KPM Sempena Aidiladha 2024
Tertakluk kepada pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Hari Raya Aidiladha dijangka pada 17 Jun 2024 (Isnin).
Hari kelepasan am (cuti) bagi negeri-negeri ialah 1 hari sahaja kecuali bagi negeri Kelantan dan Terengganu 3 hari.
2 hari Hari Raya Aidiladha (10 dan 11 Zulhijjah) dan sehari sebelum Aidiladha iaitu Hari Arafah (9 Zulhijjah) juga merupakan hari kelepasan am (cuti) bagi kedua-dua negeri tersebut.
Untuk catatan, tiada cuti persekolahan tambahan sempena perayaan untuk Hari Raya Aidiladha melainkan seperti yang dinyatakan di atas sahaja.
Untuk makluman ibu bapa dan para guru, tarikh cuti bagi sekolah-sekolah adalah seperti berikut :
CUTI SEKOLAH SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 2024
Nota :
- Negeri Kumpulan A – Johor, Kedah, Kelantan & Terengganu
- Negeri Kumpulan B – Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor, WP Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan