Subsidi Elektrik 2024 – 85% Pengguna Domestik Di Semenanjung Tidak Terjejas Dengan Pelarasan Tarif Elektrik Bagi Tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024
Sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT), menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ST berkata, ia susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kilowatt-jam (kWj) bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.
Bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWj hingga 1,500kWj sebulan pula, tiada surcaj akan dikenakan manakala kadar surcaj dikekalkan pada kadar 10 sen/kWj bagi pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj.
“Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan,” kata suruhanjaya itu.
ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.
Menurut ST, pengguna bukan domestik kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.
“Pengguna bukan domestik lain, surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj,” menurut ST.
Suruhanjaya itu berkata berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi berkenaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada semua kategori pengguna terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan itu.
ST turut menasihatkan pengguna untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
Bagi pengguna yang ingin menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang, ST menyarankan penggunaan kalkulator tarif elektrik yang boleh didapati di laman sesawang https://myelectricitybill.my/.
ST memaklumkan pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT itu adalah terpakai bagi semua pengguna di Semenanjung Malaysia kecuali pengguna di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Siapa Yang Akan Terkesan Dengan Pelarasan Ini?
Secara ringkasnya,
- Golongan yang paling terkesan dengan kenaikan bil elektrik bermula 1 Jan 2024 adalah golongan M40 yang penggunaan elektrik melebihi 600 kWh sebulan.
- Ianya adalah mereka dengan bil elektrik bulanan kini di antara RM220.36 hingga RM736.92.
- Golongan ini bakal mengalami kenaikan antara RM12.02 hingga RM31.06 sebulan ataupun antara RM144 hingga RM373 setahun.
- Mereka dengan bil elektrik RM220.36 sekarang akan mengalami kenaikan 5.5% atau RM12.02 ke RM232.38
- Isi rumah dengan bil elektrik RM387.07 akan terkesan dengan kenaikan RM18.36 (4.8%) ke RM405.43.
- Mereka dengan bil elektrik RM736.92 pula akan mengalami kenaikan RM31.06 (4.2%) ke RM767.98.
- Namun pengguna dengan bil elektrik RM942 ke atas tidak akan terkesan kali ini kerana telah dikenakan kenaikan minimum 25% sejak bulan Julai 2023 lepas. Bulan Jun 2023, bil elektrik sebanyak RM708 sudah pun naik ke RM942 bermula bulan Julai 2023.
- Atau pun kenaikan minimum RM234 sebulan bersamaan dengan beban tambahan RM2,808 setahun ke atas.
- Bagaimanapun pengguna dengan bil elektrik RM220 ke bawah langsung tidak terkesan sejak beberpa tahun dahulu.
Sebelum ini, PM mengumumkan bahawa isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah berlebihan tidak lagi akan menikmati subsidi elektrik.
Bagaimanapun, kerajaan tidak akan menaikkan kadar itu bagi golongan berpendapatan rendah (B40).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pangkalan Data Utama (PADU) akan menyelaras penilaian agihan subsidi tersebut kepada golongan yang layak.
“Pemberian subsidi bersasar juga menjadi isu. Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan untuk golongan T20. Saya jelaskan di sini untuk T20 sahaja iaitu rumah-rumah besar tidak akan diberi subsidi elektrik dan PADU dapat menyelaraskan semua angka-angka yang disebut.
Video Berkaitan : Tiada Subsidi Elektrik Kepada Golongan T20
Pada 22 Mei 2023 yang lalu, Anwar berkata, hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi pada tahun 2024.
Pelarasan tarif elektrik 2024 ini bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.
Sebelum ini, kerajaan juga bersetuju tidak menaikkan tarif elektrik kecuali kepada pihak industri sektor tertentu.
Dalam sebuah kenyataan pada terdahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong pemberian subsidi bersasar untuk meringankan tekanan kos ke atas golongan berpendapatan rendah.
Kerajaan juga telah mengumumkan pelaksanaan Skim Subsidi Elektrik Bersasar akhir tahun lalu untuk pengguna domestik, yang terus menikmati rebat tarif ke atas bil elektrik.
Baca juga: