16 Pantang Larang Makanan untuk Pesakit Buah Pinggang

pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang adalah aspek penting dalam pengurusan kesihatan yang sering diabaikan.

Buah pinggang yang sudah terjejas tidak lagi mampu menapis bahan buangan, lebihan cecair dan mineral seperti sodium, kalium dan fosforus secara berkesan.

Oleh itu, pemilihan makanan yang tidak tepat boleh mempercepatkan kerosakan buah pinggang dan meningkatkan risiko komplikasi serius seperti tekanan darah tinggi, kerosakan tulang, dan masalah jantung.

Dalam artikel ini, kami akan berkongsi kepada anda 16 jenis pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang.

1. Makanan Dalam Tin

pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang

Walaupun makanan dalam tin mudah, murah, dan menjimatkan masa memasak, ia adalah contoh pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang.

Menurut American Heart Association, kebanyakan makanan dalam tin mengandungi tahap garam (sodium) dan fosforus yang sangat tinggi untuk memanjangkan jangka hayat produk tersebut.

Garam yang berlebihan ini boleh membebankan fungsi buah pinggang yang sudah lemah, manakala fosforus tambahan pula boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan tulang dan gatal-gatal kulit yang teruk.

Sebaliknya, jika terpaksa menggunakan makanan dalam tin, pilih produk yang dilabel sebagai “tanpa garam tambahan” dan pastikan makanan tersebut ditos dan dibilas terlebih dahulu sebelum dimasak atau dimakan bagi mengurangkan kandungan sodium yang berlebihan.

2. Daging Diproses

pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang

Daging diproses seperti ham, bacon, sosej, salami, daging salai, dan daging deli adalah antara pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang.

Kandungan sodium dan fosforus yang berlebihan dalam daging diproses boleh mempercepatkan kerosakan buah pinggang dan meningkatkan risiko komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan mineral dalam badan.

Malah, beberapa kajian juga mengaitkan pengambilan daging terproses secara kerap dengan peningkatan risiko kanser buah pinggang.

Pantang Larang Makanan untuk Pesakit Buah Pinggang #3. Makanan Segera

Pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang yang berikutnya adalah makanan segera. Contohnya seperti, burger, kentang goreng, dan piza.

Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, makanan segera mengandungi jumlah sodium yang sangat tinggi, yang boleh melebihi had pengambilan harian yang disarankan untuk pesakit buah pinggang dan tekanan darah tinggi iaitu tidak lebih daripada 1,500 mg sehari.

Menurut USDA, seketul daging burger sahaja boleh mengandungi sekitar 440 mg sodium, 100 gram kentang goreng mengandungi 210 mg, manakala sepotong piza biasa boleh mencecah 298 mg sodium.

4. Jeruk Buah dan Sayur

Walaupun buah dan sayur jeruk berasal daripada bahan semula jadi seperti mangga, timun, atau lobak, kaedah pengawetan melalui proses jeruk atau penapaian menjadikannya kurang sesuai untuk pesakit buah pinggang.

Ini kerana proses penjerukan melibatkan penggunaan larutan garam dan cuka dalam kuantiti yang tinggi untuk memastikan makanan tahan lebih lama dan mempunyai rasa yang kuat.

5. Makanan Berasaskan Keju

Pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang yang seterusnya adalah makanan berasaskan keju. Setiap 100 gram keju cheddar sahaja mengandungi kira-kira 654 mg sodium.

Apabila keju digabungkan dengan makanan lain yang juga tinggi garam seperti kerepek, kentang goreng atau makanan segera, jumlah pengambilan sodium harian boleh meningkat mendadak dan melebihi had yang dibenarkan untuk pesakit buah pinggang.

Pantang Larang Makanan untuk Pesakit Buah Pinggang #6. Mayonis

pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang

Mayonis merupakan sejenis perasa yang sering digunakan dalam sandwic, salad dan pelbagai hidangan moden, namun ia bukanlah pilihan yang sesuai untuk pesakit buah pinggang.

Satu sudu besar mayonis sahaja mengandungi sekitar 103 kalori serta kadar lemak tepu yang tinggi, yang boleh menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan dan tekanan darah tinggi, dua faktor yang memburukkan fungsi buah pinggang.

Walaupun terdapat versi rendah kalori atau tanpa lemak di pasaran, produk-produk ini sering mengandungi lebih banyak sodium, gula, dan bahan tambahan lain yang tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang.

Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk menggantikan mayonis dengan pilihan yang lebih sihat seperti yogurt Greek tanpa lemak, yang bukan sahaja rendah kalori dan sodium, tetapi juga tinggi protein serta sesuai dijadikan bahan pengikat dalam salad atau sos.

7. Roti Gandum Penuh

pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang

Roti gandum penuh juga antara contoh pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang.

Roti jenis ini mengandungi kandungan fosforus dan kalium yang tinggi, dua mineral yang sukar disingkirkan oleh buah pinggang yang lemah.

Penumpukan fosforus boleh menyebabkan kerosakan tulang, manakala kalium berlebihan boleh mengganggu fungsi jantung.

Sebagai perbandingan, satu keping roti gandum penuh mengandungi kira-kira 76.3 mg fosforus dan 90 mg kalium, berbanding hanya 31.6 mg fosforus dan 32.8 mg kalium dalam roti putih.

Oleh itu, pesakit buah pinggang lebih sesuai memilih roti putih dalam jumlah sederhana.

8. Minuman Berwarna Gelap

Minuman berwarna gelap seperti kola, sesetengah jenis soda, dan bir biasanya mengandungi bahan tambahan fosforus yang ditambah oleh pengilang untuk meningkatkan rasa, memanjangkan jangka hayat, dan mengekalkan warna minuman.

Fosforus dalam bentuk bahan tambahan ini sangat mudah diserap oleh tubuh, berbanding fosforus semula jadi dalam makanan.

Bagi pesakit buah pinggang, ini menjadi satu masalah besar kerana buah pinggang yang lemah tidak mampu menyingkirkan fosforus berlebihan dari badan, yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan mineral dan komplikasi seperti gatal-gatal teruk, kerosakan tulang, dan masalah jantung.

9. Avokado

Avokado sering dianggap makanan sihat kerana kaya dengan lemak baik, serat dan nutrien penting, namun ia adalah contoh jenis pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang.

Avokado mengandungi kandungan kalium (potassium) yang sangat tinggi, iaitu sekitar 975 mg dalam satu biji seberat 200 gram.

Menurut National Kidney Foundation, makanan yang mengandungi lebih daripada 200 mg kalium bagi setiap hidangan dikategorikan sebagai tinggi kalium.

Bagi individu dengan masalah buah pinggang, pengambilan kalium yang berlebihan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti degupan jantung tidak normal dan kelemahan otot.

Justeru, menggantikan avokado dengan buah-buahan rendah kalium seperti epal atau beri adalah langkah yang lebih selamat dalam pengurusan diet renal.

Pantang Larang Makanan untuk Pesakit Buah Pinggang #10. Pisang

Pisang merupakan buah tropika yang lazim dijadikan snek sihat, namun bagi pesakit penyakit buah pinggang kronik, pengambilannya perlu dikawal atau dielakkan.

Sebiji pisang besar boleh mengandungi sekitar 487 mg kalium. Bagi pesakit buah pinggang, pengumpulan kalium dalam darah boleh membawa kepada masalah serius seperti denyutan jantung tidak normal dan kekejangan otot.

Selain pisang, banyak buah tropika lain juga tinggi kalium dan perlu diberi perhatian. Sebagai alternatif yang lebih selamat, nanas boleh dijadikan pilihan kerana ia mengandungi jumlah kalium yang jauh lebih rendah berbanding buah tropika lain.

11. Produk Tenusu

Pantang larang makanan untuk pesakit buah pinggang yang seterusnya adalah produk tenusu. Untuk pengetahuan anda, satu cawan susu penuh (244 g) mengandungi kira-kira 205 mg fosforus dan 322 mg kalium.

Dalam kalangan pesakit buah pinggang, kerosakan buah pinggang boleh menyebabkan fosforus terkumpul dalam darah (hyperphosphatemia), yang seterusnya memaksa tubuh menarik kalsium dari tulang menyebabkan tulang menjadi rapuh dan lemah.

Malah, lebihan protein dan mineral daripada produk tenusu juga boleh menambah beban kerja buah pinggang.

Justeru, pesakit CKD dinasihatkan untuk menghadkan pengambilan produk tenusu dan mempertimbangkan alternatif yang lebih mesra buah pinggang seperti susu kelapa, yang rendah kandungan kalium, natrium dan oksalat.

12. Beras Perang

Mungkin ia sejenis makanan yang sihat bagi sesetengah orang tetapi bukan untuk pesakit buah pinggang.

Satu cawan (155 g) beras perang yang telah dimasak mengandungi kira-kira 149 mg fosforus dan 95 mg kalium, manakala satu cawan (186 g) beras putih hanya mengandungi 69 mg fosforus dan 54 mg kalium.

Kandungan mineral ini boleh menjadi beban kepada buah pinggang yang sudah lemah, dan pengumpulan berlebihan boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah tulang dan gangguan jantung.

Sebagai alternatif yang lebih sesuai, pesakit buah pinggang boleh memilih bijirin lain yang lebih rendah fosforus seperti bulgur, soba (buckwheat), barli mutiara (pearled barley), atau couscous yang turut membekalkan nutrien penting tanpa membebankan buah pinggang.

13. Kentang

Sebiji kentang bakar bersaiz sederhana (156 g) mengandungi kira-kira 610 mg kalium, manakala keledek bakar bersaiz sederhana (114 g) pula mengandungi sekitar 542 mg kalium.

Kalium berlebihan dalam darah boleh menyebabkan gangguan pada fungsi jantung dan saraf bagi pesakit buah pinggang.

Walau bagaimanapun, terdapat kaedah untuk mengurangkan kandungan kalium dalam kentang, seperti melalui proses “leaching” atau rendaman dan rebusan berganda.

Kajian oleh National Center for Biotechnology Information menunjukkan bahawa, merebus kentang bermula dari air sejuk atau merendamnya selama 5–10 minit sebelum memasak dapat mengurangkan kandungan kalium sehingga 20%.

Pantang Larang Makanan untuk Pesakit Buah Pinggang #14. Tomato

Tomato boleh dihidang secara mentah, dimasak, atau dijadikan sos, namun satu cawan sos tomato (245 g) sahaja boleh mengandungi sehingga 728 mg kalium.

Jumlah ini boleh menyumbang kepada pengumpulan kalium berlebihan dalam darah, yang berisiko menyebabkan masalah seperti gangguan irama jantung atau kelemahan otot.

Disebabkan tomato kerap digunakan dalam pelbagai hidangan seperti pasta, sup dan kari, pesakit buah pinggang perlu mencari alternatif yang lebih selamat.

Antara pengganti yang boleh dipertimbangkan ialah sos lada benggala merah panggang (roasted red pepper sauce), yang bukan sahaja lazat tetapi juga mempunyai kandungan kalium yang lebih rendah.

15. Alkohol

Pengambilan alkohol adalah satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian serius bagi pesakit penyakit buah pinggang kronik. Walaupun dalam kuantiti sederhana, alkohol boleh memberi kesan negatif terhadap fungsi buah pinggang.

Alkohol mengganggu keupayaan buah pinggang untuk menapis darah dengan cekap dan mengawal keseimbangan cecair dalam badan.

Pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh menyebabkan dehidrasi, yang seterusnya mengurangkan fungsi buah pinggang dan memburukkan lagi keadaan sedia ada.

16. Suplemen Herba dan Vitamin

Ramai yang menganggap suplemen herba dan vitamin sebagai pelengkap kepada kesihatan, namun bagi pesakit penyakit buah pinggang kronik, terutama yang menghidap penyakit buah pinggang akibat diabetes (DKD), pengambilan suplemen tertentu boleh membawa risiko yang serius.

Terdapat beberapa jenis suplemen herba yang boleh merosakkan lagi buah pinggang, antaranya ialah akar parsli, astragalus, creatine, akar licorice, dan stinging nettle.

Suplemen ini mungkin kelihatan semula jadi, tetapi kandungan aktifnya boleh memberi kesan negatif terhadap fungsi buah pinggang yang sudah terjejas.

Bukan itu sahaja, malah, vitamin larut lemak seperti vitamin A, E, dan K juga perlu dihadkan kerana ia boleh terkumpul dalam tubuh dan menyebabkan toksisiti, yang seterusnya membebankan buah pinggang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengurusan pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan pesakit buah pinggang.

Dengan mengelakkan makanan yang tinggi kandungan sodium, kalium, fosforus dan bahan pengawet tertentu, risiko komplikasi dapat dikurangkan dan kualiti hidup pesakit dapat ditingkatkan.

Walaupun tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan pantang larang pemakanan ini, perubahan secara berperingkat bersama bimbingan pakar pemakanan dan doktor dapat membantu pesakit membuat pilihan yang lebih bijak.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut