Peristiwa Nuzul Al-Quran
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada 17 Ramadan dan ia juga merupakan cuti umum bagi sesetengah negeri di Malaysia.
Tahukah anda apakah peristiwa di sebalik peristiwa ini dan pengajaran yang boleh kita ambil daripadanya?
Jom ketahui selanjutnya.
Maksud Nuzul Quran
Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’.
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.
Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.
Peristiwa Nuzul Al-Quran
- Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril AS di Gua Hira’ Makkah.
- 5 Ayat pertama yang diturunkan adalah daripada surah Al-‘Alaq.
- Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun.
Kelebihan Al-Quran Menurut Hadis
Kepentingan dan manfaat al-Quran digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis berikut:
- “Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya, bagaimana untuk menyucikannya, ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab, dengan membaca al-Quran dan mengingati mati.”
- “Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
- “Ahli al-Quran ialah Ahlullah. Bacalah al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan dan huruf yang dibaca.
- “Tiap-tiap ayat di dalam al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu.”
- “Rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan.”
Pengajaran Dari Peristiwa Ini
1. MENZAHIRKAN KEAGUNGAN DAN KEBESARAN ALLAH SWT
Peristiwa penurunan al-Quran menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang tidak mampu tergambar oleh akal manusia. Al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat mengambil masa kira-kira selama 23 tahun sebelum ia lengkap keseluruhan 6,236 ayat.
2. WAHYU DAN KALAM ALLAH AKAN SENTIASA TERPELIHARA
Al-Quran merupakan wahyu dan Kalam Allah SWT. Ia bertindak sebagai sumber utama ajaran Islam dan sarat dengan ilmu serta pengajaran yang boleh diambil oleh manusia untuk dijadikan iktibar dan tatacara untuk hidup dengan syariat di muka bumi ini. Oleh sebab itu, ia tetap terjamin pemeliharaannya daripada diubah oleh tangan-tangan manusia walaupun terdapat juga segelintir manusia yang berusaha ke arah itu.
Jaminan pemeliharaan ini datang daripada Allah SWT sendiri sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hijr ayat 9:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
3. TIADA KERAGUAN DALAM AL-QURAN
Al-Quran itu tidak memiliki sebarang keraguan padanya sama ada terhadap peristiwa yang telah berlaku, sedang berlaku atau bakal berlaku termasuk juga peristiwa-peristiwa ghaib.
Kebenarannya tidak dapat dicanggah lagi oleh mana-mana pihak.
4. AL-QURAN MEMPUNYAI KEMULIAAN DAN KESUCIANNYA YANG TERSENDIRI
Al-Quran memiliki kemuliaan dan kesuciannya yang tersendiri. Kita diseru untuk memperbanyakkan membacanya lebih-lebih lagi dalam Bulan Ramadan ini kerana nanti Al-Quran juga akan datang pada hari akhirat memberi syafaat kepada setiap pembacanya.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ٥٧
قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا۟ هُوَ خَيْرٌۭ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ٥٨
Maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)” (Surah Yunus ayat 57-58)
5. KELEBIHAN MEMPELAJARI AL-QURAN
Kita dituntut untuk sentiasa mempelajari al-Quran melalui cara bertalaqqi atau berguru dan mengajarkannya bagi sesiapa yang mampu. Ini kerana, Nabi SAW menyifatkan golongan ini adalah sebaik-baik manusia.
Daripada Uthman bin Affan, RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari 5027)
Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan melazimi dalam membaca al-Quran serta beramal dengan apa yang terdapat di dalam kitab-Nya.
Marilah kita perbanyakkan membaca al-Quran kerana amalan itu dapat menjadi penyelamat kepada manusia bagi setiap kesulitan.
Rujukan: JAKIM, Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Facebook JAKIM
Baca juga: