Niat Korban, Hukum Melakukan Korban & Persoalan Berkaitan

Niat Korban, Hukum Melakukan Korban & Persoalan Berkaitan

Ibadah korban adalah merupakan salah satu ibadah yang penting dan dianjurkan dalam Islam. Ia dilakukan sebagai manifestasi ketaatan kepada-Nya.

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Panduan Qiamullail (Ibadah / Solat Malam) – JAKIM

Ibadah Korban

Ibadah korban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu jenisnya yang dikategorikan sebagai ternakan (al-an’am) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. 

Ia dilakukan pada bulan Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dan hari-hari tasyriq selepasnya.

Rasulullah S.A.W  bersabda:

 إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.

Riwayat Muslim (1977)
Niat Korban, Hukum Melakukan Korban & Persoalan Berkaitan

Dalil Pensyariatan Korban 

Terdapat beberapa ayat Al Quran dan juga hadis mengenai ibadah korban, antaranya ialah:

1. Surah Al Kauthar, ayat 2; 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

2. Surat Al-Hajj, ayat 34-35;

وَلِكُلِّ أُمَّةٍۢ جَعَلْنَا مَنسَكًۭا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۗ فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ 

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –

3. Surah Ash-Shafaat, ayat 102;

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ 

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

4. Hadits riwayat Imam Ahmad

Sabda Rasulullah SAW yang lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad juga dari Jubair ibn Muth’im, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ.

Maksudnya: “Tiap-tiap (semua) hari Tasyrik itu adalah hari menyembelih.”

5. Hadits riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah

Rasulullah SAW bersabda,

قُلْتُ أَوْ قَالُوا يَا رَسُولَ اللهِ مَا هَذِهِ اْلأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةٌ.

Maksudnya: “Aku atau mereka bertanya: Hai Rasulullah, apakah korban itu? Nabi SAW menjawab: Itulah suatu sunnah ayahmu Ibrahim. Mereka bertanya (lagi): Apakah yang kita peroleh dari korban itu? Rasulullah SAW menjawab: Di tiap-tiap bulu kita mendapat suatu kebajikan.”

Niat Korban

Niat Korban, Hukum Melakukan Korban & Persoalan Berkaitan

Berdasarkan penerangan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, niat korban boleh dibahagikan kepada dua cara:

1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.

Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:

  • Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
  • Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
  • Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
  • Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.

2. Niat oleh wakil. 

Ia boleh berlaku dalam dua keadaan:

  • Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
  • Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.

NOTA:  Seseorang yang menjadi wakil sembelihan, tidak wajib menyebut nama pemilik korban.

Lafaz Niat

Tiada bacaan khusus untuk niat korban.

Anda boleh lafazkan niat seperti berikut: “Sahaja aku melakukan korban kerana Allah SWT”

Disyaratkan niat melafazkan niat ketika menyembelih tetapi jika ia mewakili kepada orang lain, maka ia (individu yang berhajat) perlu berniat kepada orang yang diwakili itu ketika penyerahan binatang korban. 

Hukum Melakukan Korban

Niat Korban, Hukum Melakukan Korban & Persoalan Berkaitan

Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang mampu. 

Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah ia menjadi satu dosa.

FAQ

1. Bilakah ibadah korban dilakukan?

Ibadah korban boleh dilakukan pada pada bulan Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari tasyriq selepasnya.

2. Bolehkah memberi daging sebagai upah kepada orang yang membantu melakukan korban?

Menjadikan daging sembelihan korban (udhiyah) sebagai upah kepada mereka yang terbabit menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan lainnya bererti menjual daging membeli tenaga kerja. Ia dilarang dan haram dilakukan. 

3. Apakah perkara-perkara sunat dilakukan ketika melaksanakan ibadah korban?

  • Membaca Bismillahirrohmanirrohim.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW. 
  • Menghadapkan binatang korban ke arah kiblat di atas lambungnya sebelah kiri (kambing/lembu).
  • Bertakbir sebelum membaca Bismillah dan selepasnya.
  • Berdoa; “Ini adalah nikmat daripadaMu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”

 4. Apakah jenis haiwan yang boleh dijadikan binatang korban?

Binatang yang boleh dijadikan sebagai haiwan sembelihan untuk ibadah korban ialah binatang-binatang yang dikategorikan sebagai binatang ternakan. 

Contohnya seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri. 

5. Hikmah Melakukan Korban

  • Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim yang sanggup untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail atas perintah Allah SWT.
  • Melahirkan tanda syukur atas nikmat yang Allah berikan.
  • Menanamkan sikap berkongsi dan bersedekah.
  • Memberi peluang orang yang tidak mampu untuk merasai makanan daging. 

Sumber:

  1. IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-55 : HUKUM NIAT AWAL SEBELUM HARI SEMBELIHAN KORBAN – Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. HUKUM MELAKUKAN KORBAN – Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
  3. KESILAPAN DAN SALAH FAHAM DALAM IBADAH KORBAN – Jabatan Mufti Negeri Perlis.
  4. Ibadah Korban – Jabatan Mufti Negeri Perak
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!