Tubuh yang sihat serta penampilan awet muda menjadi idaman buat semua.
Semakin usia bertambah, ramai yang mungkin tidak sedari bahawa apa yang dimakan hari ini sebenarnya adalah pelaburan kepada kesihatan kita pada hari akan datang.
Mana tidaknya, pengambilan makanan berproses dan tinggi kandungan lemak, garam dan gula boleh mengakibatkan masalah kesihatan termasuk obesiti, kolesterol tinggi, berat badan berlebihan, kencing manis dan sakit jantung.
Jadi, apakah makanan awet muda yang boleh anda amalkan bermula hari ini? Ayuh kita semak bersama-sama.
12 Makanan Awet Muda / Makanan Yang Mengurangkan Penuaan
1. Cendawan
Cendawan kaya dengan pelbagai mineral penting seperti selenium dan kalium untuk mencegah penuaan awal khususnya pada saraf otak.
Di samping itu, ia juga mampu membaiki sel-sel tubuh yang rosak serta menguatkan sistem pertahanan tubuh.
2. Pegaga
Ulam dengan nama saintifik Centella asiatica ini kaya dengan pelbagai khasiat seperti vitamin A, vitamin C dan zat besi.
Ia juga merupakan salah satu ulam yang wajib diamalkan bagi yang ingin kekal awet muda kerana kandungan antioksidanya yang tinggi.
Ulam pegaga turut membekalkan pelbagai manfaat lain kepada tubuh seperti melancarkan sistem penghadaman, menyejukkan badan, mempercepat proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah.
3. Teh Hijau
Teh hijau sangat baik untuk diamalkan bagi yang ingin kekal awet muda kerana kandungan antioksidanya yang tinggi khususnya polifenol.
Ia bukan sahaja memainkan peranan yang penting dalam memperlahankan penuaan tubuh serta kulit, malah ia juga membantu mencegah masalah jantung dan penyakit kronik lain.
4. Yogurt
Semakin usia anda meningkat, ketumpatan tulang juga boleh berkurangan. Untuk mengatasinya, anda boleh amalkan yogurt rendah lemak dan bebas gula secara rutin.
Ia kaya dengan kalsium serta pelbagai nutrisi penting seperti vitamin D, zink dan vitamin B agar tulang serta tubuh kekal bermaya meskipun usia semakin meningkat.
Pada masa yang sama, yogurt juga membantu dalam mengekalkan kesihatan penghadaman yang baik.
5. Timun
Enak dipadankan bersama sambal belacan, timun baik untuk penjagaan kulit wajah dan boleh mengatasi beberapa masalah kesihatan seperti batuk, sakit tekak dan merendahkan tekanan darah.
6. Ikan
Ikan yang mengandungi lemak omega-3 yang tinggi juga merupakan salah satu makanan awet muda yang patut diamalkan.
Ia bukan sahaja baik untuk keremajaan kulit, malah ia juga mampu merangsang tubuh untuk menghasilkan kolagen, selenium dan elastin yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keanjalan kulit dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV.
Pada masa yang sama, ikan yang tinggi khasiat lemak omega-3 juga dapat mencegah keradangan, mengawal kolesterol serta melindungi kesihatan jantung.
Sekiranya anda ingin dapatkan khasiat lemak omega-3, anda boleh dapatkannya pada beberapa jenis ikan tempatan seperti ikan tenggiri, ikan kembung, ikan tongkol, ikan sardin dan ikan selar.
7. Coklat Gelap
Enak dinikmati sebagai snek, coklat gelap merupakan satu lagi sumber antioksida yang baik untuk mencegah penuaan.
Di samping itu, ia juga mengandungi flavonol yang baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung, diabetes dan masalah kognitif akibat peningkatan usia.
Semakin tinggi kandungan koko dalam coklat gelap, semakin tinggi flavonol yang terkandung di dalamnya.
Jadi, jika anda ingin dapatkan manfaat penuh coklat gelap, pastikan anda memilih coklat bebas gula dengan kandungan sekurang-kurangnya 70% koko.
8. Sayur-sayuran
Sayur bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh, malah ia juga bermanfaat untuk melambatkan penuaan tubuh serta wajah.
Padat dengan nutrisi dan rendah kalori, sayur juga mengandungi kebaikan antioksida untuk mencegah risiko penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, katarak serta pelbagai masalah kesihatan kronik.
Sayur-sayuran yang kaya dengan beta karoten seperti lobak merah, labu dan keledek mampu melindungi kulit daripada kerosakan UV dan penuaan kulit.
Di samping itu, sayur-sayuran yang tinggi kandungan vitamin C seperti sayuran berdaun hijau, brokoli dan lada benggala dapat membantu tubuh untuk menghasilkan kolagen yang semakin berkurangan selepas seseorang menginjak usia 25 tahun.
Untuk kesihatan dalam dan luaran yang baik, anda disarankan untuk makan sekurang-kurangya 2 hidangan sayur setiap hari.
9. Delima
Seperti kebanyakan buah, delima juga padat dengan pelbagai khasiat dan kebaikan antioksida.
Ia juga merupakan sumber mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan tubuh seperti serat, kalium dan vitamin K.
10. Avokado
Avokado terkenal dengan khasiat lemak sihatnya yang baik dalam mencegah kerosakan kulit akibat radikal bebas dan penuaan.
Di samping itu, ia juga padat dengan pelbagai vitamin, mineral, dan serat untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
11. Tomato
Kandungan lycopene yang tinggi dalam buah tomato mampu melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV.
Khasiat antioksida ini juga dapat melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit kronik.
12. Kekacang
Kebanyakan kekacang seperti gajus dan badam kaya dengan vitamin E. Ia berperanan dalam memperbaharui kulit mati, melembapkan kulit serta melindungi kulit daripada sinaran UV.
Kesimpulannya, gabungan diet berasaskan sayur-sayuran, buah-buahan, protein serta lemak sihat dapat membantu dalam mengekalkan kesihatan serta keremajaan tubuh dan kulit wajah.
Selain pemakanan yang seimbang, anda juga digalakkan untuk mengamalkan beberapa rutin seperti bersenam, tidak merokok dan menggunakan krim pelindung cahaya matahari untuk membantu dalam mengekalkan penampilan awet muda.
Sumber : Public Health Malaysia, healthline.com, Harian Metro