Kota Madani, satu projek bandar inovatif yang dilihat sebagai simbol transformasi Malaysia ke arah pembangunan mampan dan progresif.
Projek mega ini bukan sekadar pembangunan hartanah tetapi satu pelan strategik untuk mentransformasikan gaya hidup rakyat Malaysia khususnya penjawat awam ke arah masa depan yang lebih lestari dan inklusif.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai Kota Madani.
BACA JUGA: BUDI Madani 2025 – Tarikh Bayaran Subsidi Diesel RM200
Apa itu Kota Madani?
Kota Madani adalah bandar pintar pertama berteraskan nilai MADANI yang mampan, mesra rakyat, dan dipacu teknologi. Ia merupakan sebuah projek pembangunan bandar pintar seluas 41.28 hektar di Presint 19, Putrajaya.
Projek ini dirancang untuk menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi dan mampu menampung lebih 30,000 penduduk, terutamanya penjawat awam dan pesara kerajaan.
Berbeza dengan pembangunan lain, Kota Madani mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih dan sistem mobiliti hijau. Ini menjadikannya contoh bandar masa depan yang sebenar.
Matlamat utama Kota Madani ialah membangunkan satu kawasan bandar yang menjunjung prinsip keadilan sosial, keterangkuman dan pembangunan ekonomi secara adil.
Ia menggabungkan elemen perancangan bandar moden dengan nilai-nilai kemanusiaan yang holistik, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam membina negara yang progresif dan berdaya tahan.
Pelaksanaan Berperingkat
Fasa pertama pembangunan Kota Madani, bandar masa depan Malaysia akan bermula pada September 2025, melibatkan pembinaan sebanyak 3,000 unit kediaman serta sebuah sekolah menegak.
Fasa ini dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027.
Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik untuk menyediakan perumahan moden berintensiti tinggi dan kemudahan asas yang menyeluruh kepada lebih 30,000 penduduk, khususnya penjawat awam di Presint 19, Putrajaya.
Fasa 1A dan 1B akan dibangunkan serentak merangkumi integrasi teknologi kecerdasan buatan, infrastruktur digital pintar serta sistem mobiliti hijau bagi memastikan konsep bandar rendah karbon dapat direalisasikan.
Selain perumahan, kemudahan lain seperti sekolah menegak, institusi TVET, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid dan institusi kewangan turut dirancang dalam kawasan yang sama untuk memudahkan akses penduduk.
Pembangunan Kota Madani dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta menggunakan model BLMT (Bina, Sewa, Selenggara, Pindah Milik).
Putrajaya Holdings Sdn Bhd dipilih sebagai pemaju utama dengan kos pembangunan sekitar RM4 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh pemaju tanpa menggunakan dana awam.
Selepas tempoh konsesi selama 25 tahun, keseluruhan projek akan diserahkan kepada kerajaan untuk manfaat jangka panjang rakyat Malaysia.
BACA JUGA: Skim Perubatan Madani 2025 – Semakan, Kelayakan, Lokasi Klinik Swasta
Lokasi Kota Madani
Kota Madani terletak di sepanjang Lebuh Wadi Ehsan dan Persiaran Selatan. Ia hanya mengambil 0.8 peratus daripada keseluruhan keluasan Putrajaya.
Lokasinya yang strategik membolehkan akses mudah ke pelbagai kemudahan utama Putrajaya, serta jaringan pengangkutan awam yang efisien. Ini satu kelebihan besar untuk penduduk yang mengutamakan mobiliti dan keselesaan.
Kos
Dengan nilai pembangunan mencecah RM4 bilion, projek ini menonjol kerana kosnya tidak melibatkan wang rakyat.
Semua perbelanjaan termasuk penyelenggaraan ditanggung oleh pemaju, Putrajaya Holdings. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dan sektor swasta untuk membangunkan bandar masa depan tanpa membebankan rakyat.
Pemaju – Siapa Di Sebalik Projek Kota Madani?
Pemaju utama di sebalik projek Kota Madani, bandar masa depan Malaysia ialah Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH).
Syarikat ini telah dilantik oleh kerajaan melalui model kerjasama awam-swasta menggunakan konsep Bina-Pajak-Selenggara-Pindah (BLMT) atau Build, Lease, Maintain and Transfer dalam bahasa Inggeris.
Melalui model ini, semua kos pembangunan sekitar RM4 bilion ditanggung sepenuhnya oleh Putrajaya Holdings tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Putrajaya Holdings Sdn Bhd akan bertanggungjawab terhadap pembinaan, penyelenggaraan, dan pengurusan projek selama tempoh konsesi yang ditetapkan.
Selepas 25 tahun, keseluruhan projek Kota Madani akan diserahkan kepada kerajaan untuk manfaat jangka panjang rakyat Malaysia.
Selain itu, Putrajaya Holdings juga akan membuka tender untuk melantik kontraktor dan pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam pembangunan Kota Madani, memastikan proses pembangunan berjalan secara telus dan kompetitif.
Ringkasnya, Putrajaya Holdings Sdn Bhd adalah pemaju utama yang menerajui projek mega ini, bertindak sebagai tulang belakang utama dalam merealisasikan visi Kota Madani sebagai bandar masa depan Malaysia.
Pendekatan Reka Bentuk Inklusif dan Inovatif
Teknologi & Infrastruktur:
- Integrasi pembangunan: Kediaman, sekolah, kawasan komersial dan Klinik Kesihatan terhubung
- Integrasi kecerdasan buatan (AI): Perpustakaan maya, pangkalan data & sistem pembelajaran interaktif
- Infrastruktur digital pintar: Teknologi penuaian air hujan dan sistem pengurusan sisa automatik
- Sistem mobiliti hijau rendah karbon: Laluan pejalan kaki lengkap bumbung panel solar
Kemudahan Bersepadu untuk Komuniti:
- Institusi TVET berorientasikan industri
- Sekolah menegak (vertikal) untuk penjimatan ruang bandar
- Klinik kesihatan, balai polis & bomba, masjid, institusi kewangan
- Reka bentuk bercirikan budaya tempatan, berjiwa Malaysia
Fungsi
Kota Madani berperanan sebagai bandar masa depan Malaysia yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan rakyat secara menyeluruh dengan menekankan aspek kemampanan, teknologi dan kesejahteraan komuniti.
Berikut adalah fungsi utama Kota Madani:
1. Penyediaan Perumahan Berkualiti Tinggi
Kota Madani menawarkan 10,000 unit kediaman kuarters berintensiti tinggi untuk lebih 30,000 penduduk terutamanya penjawat awam, bagi menangani isu kekurangan perumahan dan memastikan akses kepada kediaman moden serta selesa.
2. Integrasi Teknologi Pintar dan Kelestarian
Bandar ini dibangunkan dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar, serta sistem mobiliti hijau untuk mewujudkan bandar rendah karbon yang mesra alam dan efisien.
Ini menyokong visi CHASE: Clean (Bersih), Healthy (Sihat), Advanced (Maju), Safe (Selamat) dan Eco-Friendly (Mesra Alam).
3. Kemudahan Awam Menyeluruh
Kota Madani menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti sekolah menegak, institusi TVET, rumah warga emas, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta ruang komersial dan rekreasi.
Semua kemudahan ini dirancang dalam satu kawasan untuk memudahkan akses dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
4. Pemerkasaan Nilai Budaya dan Kemanusiaan
Reka bentuk Kota Madani mengambil kira budaya tempatan dan warisan seni bina, memastikan bandar ini bukan sahaja maju dari segi fizikal dan teknologi, tetapi juga kaya dengan nilai budaya, rohani, dan semangat kebersamaan masyarakat.
5. Menyokong Kesejahteraan dan Keselamatan Komuniti
Perancangan bandar ini memberi tumpuan kepada laluan pejalan kaki yang selamat ke sekolah, masjid, tadika, dewan komuniti dan tempat kerja.
Ini memudahkan urusan harian keluarga serta memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
6. Model Contoh Pembangunan Bandar Negara
Kota Madani dijadikan model pembangunan bandar masa depan yang boleh dicontohi seluruh negara, dengan perancangan teliti oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, bukan sekadar mengikut kehendak pemaju semata-mata.
7. Mengimbangi Keperluan Ekonomi dan Sosial
Projek ini bukan sahaja menyelesaikan masalah perumahan, malah merangsang pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan, dan membantu penjawat awam menjimatkan kos sara hidup sehingga RM1,000 sebulan.
Impak Sosial dan Ekonomi
Kota Madani bakal memberikan impak sosial dan ekonomi secara positif, seperti:
1. Kos Sara Hidup Lebih Rendah
Penduduk akan menikmati penjimatan kos sara hidup sehingga RM1,000 sebulan.
Ini dicapai melalui potongan elaun rumah dan COLA (Cost of Living Allowance) yang membolehkan penjawat awam menyewa kuarters serendah RM400 sebulan. Langkah ini membantu mengurangkan beban kewangan, sekaligus meningkatkan kualiti hidup.
2. Akses kepada Perumahan Berkualiti
Kota Madani menyediakan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti tinggi di kawasan bandar. Ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, khususnya penjawat awam untuk memiliki atau menyewa rumah yang selesa di lokasi strategik.
3. Persekitaran Sihat, Bersih & Selamat
Bandar ini direka selaras dengan nilai CHASE, iaitu:
- Clean (Bersih)
- Healthy (Sihat)
- Advanced (Maju)
- Safe (Selamat)
- Environmentally Friendly (Mesra Alam)
Nilai-nilai ini memastikan Kota Madani bukan sahaja menawarkan kediaman yang selesa, tetapi juga persekitaran yang sihat, selamat, moden dan mesra alam.
Pendekatan ini menyokong gaya hidup lestari serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Dengan pelaksanaan berasaskan teknologi pintar, integrasi kemudahan menyeluruh, serta penekanan kepada nilai MADANI, Kota Madani diyakini bakal menjadi penanda aras baharu untuk bandar masa depan di Malaysia.
Sumber:
- Bernama TV
- Jabatan Penerangan Malaysia