Kes buli yang dipercayai berlaku di sebuah MRSM Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang telah mencetuskan perhatian ramai selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.
Video tersebut telah menarik perhatian lebih 710,000 pengguna media sosial dan mendapat ribuan komen serta perkongsian.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai kes buli MRSM tersebut.
Video Tular, Pelajar Dibuli Rakan di Asrama MRSM
Dalam video berdurasi 1 minit 31 saat, ia menunjukkan seorang pelajar dibuli oleh beberapa rakan sebiliknya.
Mangsa yang juga merupakan pelajar MRSM dilibas dengan tali pinggang, diikat kakinya, dan tubuhnya dihimpit oleh beberapa individu lain.
Lebih mengejutkan, terdapat tindakan tidak senonoh seperti mengorek bahagian punggung mangsa dari luar seluar.
Mangsa yang berusia 15 tahun hanya mendiamkan diri sepanjang kejadian tersebut tanpa melawan.
“You Touch, You Go” – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Video yang tular tersebut telah mendapat perhatian Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Mara. Beliau telah pun mengarahkan pegawainya melakukan siasatan terhadap video yang tular tersebut.
Beliau menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap budaya buli di institusi pendidikan MARA. Beliau mengingatkan prinsip tegas “You Touch, You Go”, yang bermaksud pelajar yang terlibat dalam buli akan terus dikenakan tindakan disiplin berat.
7 Pelajar MRSM Terlibat Kes Buli Disyor Tamat Pengajian
Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. Kes ini juga telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sejurus siasatan selesai.
Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah gurauan dan ejek-mengejek antara pelajar. Namun, pihak polis menegaskan bahawa tindakan holistik akan diambil untuk memastikan keadilan ditegakkan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Disiplin MRSM mengesyorkan tujuh pelajar yang terlibat dalam kes buli ini; dua pembuli fizikal dan lima subahat, ditamatkan pengajian mereka.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menyatakan bahawa rayuan daripada pelaku tidak akan dilayan, tanpa mengira latar belakang keluarga mereka.
“Tujuh pelajar didapati terlibat iaitu dua terlibat buli fizikal (manakala) lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun Tan Sri, Datuk, hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu,” katanya.
BACA JUGA: MRSM Teknikal: Kelebihan, Lokasi & Subjek Ditawarkan
Pelantikan Warden
MARA sedang mempertimbangkan mekanisme baru untuk menangani kes buli MRSM, termasuk melantik warden tetap daripada kalangan polis atau tentera berpencen serta meningkatkan elaun guru yang bertugas sebagai warden.
Datuk Dr Asyraf Wajdi memberi jaminan bahawa tiada kes buli MRSM akan didiamkan atau ditutup demi menjaga imej MRSM.
Beliau juga menyeru agar budaya buli dihentikan sepenuhnya bagi melahirkan pemimpin masa depan yang berakhlak mulia.