Kemalangan Bas UPSI – Kronologi & Perkembangan Terkini

kemalangan bas UPSI
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kemalangan bas UPSI yang berlaku awal pagi ini di Jalan Jeli – Gerik, berhampiran Tasik Banding, Perak, mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan ramai yang lain, kebanyakannya pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Insiden tragis ini mengejutkan banyak pihak dan mengundang simpati seluruh negara. Ikuti perkembangan terkini kemalangan dan tindakan yang diambil oleh pihak bomba serta penyelamat.

Baca juga: STR Fasa 3 : Semakan Status & Jumlah Bayaran 2025

Kronologi Kemalangan Bas UPSI

Kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 1.00 pagi apabila Hospital Gerik menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Hulu Perak berhubung nahas jalan raya melibatkan sebuah bas yang terbalik dan sebuah MPV jenis Perodua Alza ang dinaiki suami isteri bersama dua anak mereka.

Difahamkan, bas berkenaan membawa pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus mereka di Tanjong Malim selepas bercuti sempena Aidiladha.

Kedua-dua kenderaan terlibat dalam laluan sama dari Jeli, Kelantan ke Gerik sebelum berlaku perlanggaran yang mengakibatkan bas terbalik dan Alza terbabas ke dalam parit.

Kredit: Berita Harian

Perkembangan Terkini Siasatan

1. Punca Kemalangan dan Siasatan Polis

Bas dipercayai melanggar belakang kenderaan MPV tersebut. Walaupun keadaan jalan dilaporkan kering, laluan di kawasan itu berbukit dan berliku.

Polis sedang menyiasat dari segi kecuaian manusia dan kegagalan teknikal. Pihak polis juga telah menerima rakaman dashcam berkaitan kemalangan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan tumpuan siasatan kini adalah pada dua aspek tersebut.

2. Kisah Mangsa dan Detik Cemas

Beberapa pelajar yang terselamat berkongsi pengalaman ngeri. Salah seorang mangsa berkata dia terhidu bau hangit sebelum bas mula terhuyung-hayang dan terbalik.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, dia cuba mencari barang peribadi tetapi gagal. Seorang lagi pelajar menyatakan dia hanya mampu melihat rakan-rakannya menjerit dan tersepit tanpa dapat berbuat apa-apa.

3. Pelajar Terselamat Akibat Terlewat Naik Bas

Kisah menyentuh hati turut dikongsi oleh Rosyidah Husien, ibu kepada Nur Adilah, 20, yang terselamat kerana terlepas menaiki bas tersebut akibat kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata hanya 15 minit kelewatan telah menyelamatkan nyawa anaknya.

4. Tindakan UPSI dan Bantuan Keluarga Mangsa

UPSI telah menubuhkan Bilik Gerakan dan hotline bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa pihak universiti sedang menyelaras bantuan tempat penginapan untuk keluarga dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik.

5. Reaksi Pihak Berkuasa dan Orang Ramai

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mendesak agar siasatan menyeluruh dan telus dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Syarikat bas Kenari Utara pula menafikan dakwaan tular bahawa mereka menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pengganti.

6. Urusan Pengebumian dan Bantuan Kewangan

Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan akan menanggung sepenuhnya kos pengebumian semua mangsa. Yayasan Pelajaran MARA (YPM) juga menyalurkan bantuan tunai RM1,000 kepada setiap keluarga pelajar yang terkorban.

Jenazah pelajar dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing sebahagiannya disolatkan di Masjid Hadhari, Jertih sebelum dikebumikan.

7. Doa dan Solidariti Seluruh Negara

Negara diselubungi kesedihan atas tragedi ini, yang mengorbankan 15 pelajar UPSI yang disifatkan sebagai syahid akhirat.

Ramai yang menzahirkan rasa simpati dan doa buat keluarga mangsa, selain menyeru agar keselamatan perjalanan pelajar diberi perhatian lebih serius selepas ini.

    Jumlah Mangsa & Keadaan Terkini

    Dalam kemalangan bas UPSI ini, seramai 48 orang mangsa dilaporkan terlibat yang terdiri daripada:

    • 4 mangsa dari Perodua Alza cedera, termasuk seorang patah tangan
    • Pemandu bas mengalami kecederaan di tangan
    • 15 orang disahkan maut (13 meninggal di lokasi, 2 di hospital)
    • 7 mangsa cedera parah
    • 31 orang dari bas mengalami pelbagai kecederaan
    • Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan Hospital Gerik untuk proses bedah siasat. Baki mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Gerik

    Pihak bomba melaporkan terdapat mangsa yang berjaya keluar sendiri, ada yang tercampak dari bas, dan beberapa mangsa terperangkap di dalam kenderaan.

    Semasa operasi menyelamat, anggota bomba terpaksa memotong bahagian belakang bas menggunakan peralatan hidraulik untuk mewujudkan ruang kerja.

    Enam mangsa ditemui masih berada dalam bas ketika ruang itu dibuka, termasuk empat yang disahkan telah meninggal dunia.

    Kredit: Sinar Harian

    Tindakan Pasukan Penyelamat

    Operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi termasuk JBPM, APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis. Semua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS, ambulans KKM dan APM.

    Mangsa yang meninggal dunia pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Baca juga: Pas MyTourist RapidKL : Harga, Diskaun Bas & Tren ‘Unlimited’

    Video Kemalangan Bas UPSI

    Gambar Tempat Kemalangan Waktu Malam

    Gambar Tempat Kemalangan Waktu Pagi

    Kenyataan Pihak UPSI

    Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin mengesahkan bahawa majoriti penumpang bas adalah pelajar UPSI.

    Mereka semua dikatakan telah berkumpul di Jerteh sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampus masing-masing.

    kemalangan bas UPSI
    Kredit: Astro Awani

    Baca juga: Format Baru Isi Nama Untuk Tiket Flight 2025 – MAS & AirAsia

    Kemalangan ini merupakan tragedi besar yang menggemparkan komuniti pendidikan negara. Ramai yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, dan pihak berkuasa dijangka akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar insiden ini.

    Al-Fatihah buat semua yang terkorban. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini.

    Sumber: Video Community Roda Johor, Cikgu Zahran, Astro Awani, Malaysia Gazette, Metro TV

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut

    Artikel berkaitan: