Air kelapa muda sering menjadi pilihan rakyat Malaysia terutamanya ketika cuaca panas. Ia juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan sering mendapat permintaan yang tinggi khususnya apabila wabak penyakit bermusim berlaku.
Nutrisi Penting Air Kelapa
Buah dengan nama saintifik Cocos nucifera ini mengandungi 94% air serta mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula serta elektrolit.
Minuman yang dikatakan sebagai penyejuk badan ini juga mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral penting seperti vitamin B, vitamin C, kalsium, magnesium serta merupakan salah satu sumber potassium yang baik.
Walaupun rasanya agak manis, namun air kelapa mempunyai nilai kalori yang rendah iaitu 48 kalori sahaja dalam secawan menjadikannya sesuai untuk dinikmati pada bila-bila masa sahaja.
Khasiat Air Kelapa Muda Untuk Kesihatan
1. Berpotensi Untuk Mengurangkan Tekanan Darah
Beberapa kajian mendapati air kelapa muda dapat mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi.
Namun, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi mengesahkan kelebihan ini terhadap tubuh.
2. Membekalkan Penghidratan dan Elektrolit
Air kelapa muda merupakan antara minuman yang paling sesuai untuk mengembalikan kandungan air dan elektrolit yang hilang dalam tubuh.
Disebabkan air kelapa mengandungi beberapa elektrolit penting seperti magnesium dan potassium, minuman ini didapati lebih baik untuk diminum selepas bersenam berbanding air kosong.
3. Berpotensi Menurunkan Kolesterol
Selain mempunyai potensi untuk menurunkan tekanan darah, air kelapa juga dilihat mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Sebuah kajian mendapati pengambilan air kelapa secara konsisten dapat mengurangkan tahap kolesterol dengan berkesan seakan ubat statin yang diambil oleh pesakit kolesterol.
4. Membantu Kawal Suhu Badan
Air kelapa muda juga sangat baik untuk diambil untuk mengembalikan suhu badan kepada paras normal.
Kandungan elektrolit dalam minuman ini dapat membantu menggantikan ion dalam badan yang hilang ketika cuaca panas akibat dehidrasi.
Oleh sebab itulah ramai yang mengamalkan air kelapa ketika sedang demam panas.
5. Kaya Dengan Antioksidan
Siapa sangka air kelapa mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi? Pengambilan vitamin C yang mencukupi adalah penting untuk mencegah radikal bebas dalam tubuh.
6. Membantu Menyingkirkan Toksin Melalui Air Kencing
Selain terkenal sebagai minuman penyejuk badan, air kelapa juga mempunyai sifat diuretik.
Ini bermakna, minuman ini dapat membantu meningkatkan pembuangan air kecil serta menyingkirkan toksin dalam badan melalui air kencing.
Pantang Larang Pengambilan Air Kelapa Muda
Secara umumnya, air kelapa selamat untuk diminum termasuk bagi wanita hamil dan kanak-kanak.
Namun, pesakit hipertensi, individu dengan masalah buah pinggang serta sedang mengambil ubat darah tinggi atau supplemen tertentu perlulah berhati-hati ketika mengambil air kelapa muda.
Secara teorinya, pengambilan air kelapa dengan ubat anti-hipertensi boleh mengakibatkan kesan tambahan yang terhadap pengurangan tekanan darah.
Ini seterusnya boleh mencetuskan risiko tekanan darah menjadi terlalu rendah.
Oleh itu, anda perlulah perhatikan beberapa gejala seperti pening, loya, pening atau penglihatan kabur.
Begitu juga bagi pesakit yang mengalami masalah kekurangan fungsi buah pinggang.
Oleh sebab air kelapa mempunyai kandungan garam potassium yang agak ketara, ia boleh membuatkan keadaan hiperkalemia seseorang menjadi lebih teruk lebih-lebih lagi jika diminum pada jumlah yang banyak.
Pengambilan air kelapa juga difahamkan boleh menyebabkan pengurangan tekanan darah apabila diambil bersama herba dan supplemen seperti minyak ikan, stinging nettle, koenzim Q-10, theanine dan belimbing buluh.
Secara umumnya, air kelapa boleh memberikan pelbagai manfaat untuk kesihatan.
Ia sangat baik untuk diminum khususnya daripada sumber segar dan tanpa gula.
Namun, ia boleh mencetuskan tindak balas terhadap penyakit serta ubatan dan herba tertentu.
Anda boleh dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengamalkannya.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2), thesun.my, pharmeasy.in