Kandungan luar rahim berlaku apabila telur yang telah disenyawakan melekat dan tumbuh di luar rongga utama rahim, biasanya di tiub fallopio.
Secara normal, kehamilan bermula apabila telur yang disenyawakan melekat pada lapisan dalam rahim. Namun dalam kes ini, kehamilan berkembang di tempat yang tidak sesuai dan boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat segera.
Artikel ini akan menerangkan punca kandungan luar rahim, tanda-tanda dan rawatan yang perlu anda ketahui berkaitan dengan kondisi ini.
Baca juga: Makanan Ibu Mengandung: Kepentingan & Jenis Makanan
Apa itu Kandungan Luar Rahim?
Kandungan luar rahim, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai kehamilan ektopik, berlaku apabila telur disenyawakan menempel di luar rahim.
Dalam kebanyakan kes, telur tersebut tertanam di tiub fallopio, iaitu saluran yang menghubungkan ovari ke rahim. Namun, dalam kes yang lebih jarang berlaku, telur juga boleh tertanam di ovari, rongga abdomen, atau serviks (pangkal rahim).
Kehamilan ektopik tidak boleh berkembang menjadi bayi kerana kawasan di luar rahim tidak mampu menyokong pertumbuhan janin.
Ini menyebabkan kehamilan tersebut berisiko tinggi dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.
Jika telur yang disenyawakan tersangkut di dalam tiub fallopio, ruang di situ terlalu sempit untuk membenarkan janin membesar.
Akibatnya, tiub tersebut boleh pecah (ruptur), menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk, jangkitan serius, dan dalam kes ekstrem, kematian. Ini adalah satu kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera daripada profesional kesihatan.
Punca Kandungan Luar Rahim
Kandungan luar rahim berlaku apabila telur yang telah disenyawakan tidak menempel di dalam rahim, sebaliknya berkembang di tempat laiin seperti tiub fallopio.
Dalam kebanyakan kes, punca sebenar kehamilan ektopik tidak dapat dikenal pasti, namun terdapat beberapa faktor risiko yang diketahui boleh meningkatkan kebarangkalian berlakunya keadaan ini.
1. Pernah Alami Kehamilan Ektopik Sebelum Ini
Wanita yang pernah mengalami kehamilan luar rahim berisiko lebih tinggi untuk mengalaminya sekali lagi.
Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada tiub fallopio yang masih belum pulih sepenuhnya.
2. Rawatan Kesuburan (IVF)
Dalam rawatan seperti persenyawaan in-vitro (IVF), terdapat kemungkinan embrio yang dipindahkan ke dalam rahim akan bergerak masuk ke dalam tiub fallopio.
Lebih banyak embrio yang dipindahkan, lebih tinggi risiko kehamilan luar rahim.
3. Umur Wanita yang Lebih Tua
Wanita yang berumur lebih lanjut, khususnya 35 tahun ke atas, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kehamilan ektopik.
Ini mungkin disebabkan oleh penurunan kualiti telur atau keadaan sistem pembiakan yang berubah seiring usia.
4. Penyakit Radang Pelvis (PID)
PID ialah jangkitan yang berlaku di kawasan pelvis dan sering disebabkan oleh jangkitan kelamin seperti klamidia.
Jangkitan ini boleh menyebabkan parut dan kerosakan pada tiub fallopio, menjadikannya sukar untuk telur bergerak ke rahim.
5. Pembedahan Pada Tiub Fallopio
Pembedahan seperti pensterilan atau pembaikan tiub boleh meninggalkan parut dan perubahan struktur yang mengganggu pergerakan telur ke rahim, lalu meningkatkan risiko kehamilan ektopik.
6. Endometriosis
Keadaan ini berlaku apabila sel-sel seperti lapisan rahim tumbuh di luar rahim, termasuk di tiub fallopio.
Ia boleh menyebabkan keradangan, parut dan gangguan laluan telur, walaupun kaitan langsung dengan kehamilan luar rahim masih belum difahami sepenuhnya.
7. Pembedahan Abdomen
Sejarah pembedahan di kawasan abdomen seperti pembedahan apendiks atau pembedahan caesarean (C-section) boleh meninggalkan parut yang mungkin memberi kesan kepada laluan telur atau kedudukan organ pembiakan.
8. Penggunaan Alat Dalam Rahim (IUD)
Alat pencegah kehamilan seperti IUD sangat berkesan untuk menghalang kehamilan dalam rahim, tetapi kurang berkesan untuk menghalang kehamilan di tiub fallopio.
Maka jika kehamilan berlaku, ia lebih cenderung berlaku di luar rahim.
9. Penggunaan Kontraseptif Kecemasan
Dalam beberapa kes, pil kontraseptif kecemasan mungkin gagal menghalang ovulasi atau persenyawaan, lalu wujud kemungkinan kehamilan luar rahim berlaku.
Walaupun belum terbukti secara mutlak, ada kemungkinan secara biologi.
10. Merokok
Kajian oleh Universiti Edinburgh mendapati bahawa wanita yang merokok mempunyai tahap protein PROKR1 yang tinggi dalam tiub fallopio.
Protein ini membantu penempelan janin di rahim, namun kehadirannya di tiub boleh mengganggu pergerakan telur dan meningkatkan risiko kehamilan ektopik.
Baca juga: Susu Ibu Mengandung, 15 Pilihan Dengan Nutrisi Terbaik!
Simptom & Gejala
Tanda awal kandungan luar rahim boleh kelihatan sama seperti kehamilan biasa. Namun, anda mungkin mengalami simptom tambahan seperti:
- Pendarahan dari faraj
- Sakit di bahagian bawah perut, pelvis dan belakang pinggang
- Rasa pening atau lemah badan
Jika tiub fallopio pecah, sakit dan pendarahan boleh menjadi sangat teruk dan menyebabkan gejala lain seperti:
- Pengsan
- Tekanan darah rendah
- Sakit di bahu
- Tekanan di bahagian dubur atau masalah membuang air besar
Apabila tiub pecah, anda mungkin terasa sakit yang tiba-tiba dan tajam di bahagian bawah perut. Ini adalah kecemasan perubatan. Anda perlu segera menghubungi doktor atau terus ke hospital.
Baca jug: 23 Tanda Tanda Awal Kehamilan Paling Umum, Bakal Ibu Perlu Tahu
Individu yang Berisiko Tinggi
Semua wanita yang aktif secara seksual mempunyai risiko untuk mengalami kandungan luar rahim. Risiko ini akan menjadi lebih tinggi jika anda mempunyai salah satu daripada perkara berikut:
- Berumur 35 tahun ke atas
- Pernah menjalani pembedahan di bahagian pelvis atau abdomen, atau pernah menggugurkan kandungan beberapa kali
- Pernah mengalami penyakit radang pelvis (PID)
- Pernah menghidap endometriosis
- Mengandung walaupun telah menjalani ikatan tiub atau menggunakan alat dalam rahim (IUD)
- Mengandung dengan bantuan ubat atau rawatan kesuburan
- Merokok
- Pernah mengalami kandungan luar rahim sebelum ini
- Pernah dijangkiti penyakit kelamin seperti gonorea atau klamidia
- Mempunyai bentuk tiub fallopio yang tidak normal, yang menyukarkan telur untuk bergerak ke rahim
Diagnosis
Kandungan luar rahim sukar dikenalpasti pada peringkat awal kerana simptomnya sering menyerupai kehamilan biasa atau keguguran.
Oleh itu, doktor akan menggunakan beberapa kaedah ujian untuk mengesahkan kehadiran kehamilan ektopik, terutamanya apabila kehamilan tidak dapat dikesan dalam rahim melalui imbasan.
1. Ujian Tahap hCG (Human Chorionic Gonadotropin)
Dalam kehamilan normal, paras hormon hCG di dalam darah akan meningkat dua kali ganda setiap 48 jam.
Jika peningkatan ini tidak berlaku seperti sepatutnya, ia boleh menandakan masalah kehamilan seperti keguguran atau kehamilan luar rahim.
Ujian hCG biasanya dilakukan berulang kali bagi memantau perubahan paras hormon dan membantu diagnosis.
2. Ujian Tahap Progesteron
Progesteron adalah hormon penting yang meningkat seawal kehamilan. Jika paras progesteron terlalu rendah, ia sering dikaitkan dengan kehamilan tidak normal, termasuk kehamilan ektopik.
Namun begitu, ujian progesteron tidak digunakan secara rutin kerana ia tidak dapat menentukan lokasi sebenar kehamilan dan hanya memberi petunjuk umum terhadap kesihatan kehamilan.
3. Imbasan Ultrasound
Ultrasound faraj (transvaginal) boleh dilakukan seawal 3 hingga 5 minggu selepas persenyawaan, atau kira-kira 1 hingga 3 minggu selepas haid terlewat.
Imbasan ini lebih tepat berbanding ultrasound abdomen dalam mengesan sama ada kehamilan berlaku dalam rahim atau tidak.
Jika tiada kantung kehamilan kelihatan dalam rahim walaupun paras hCG cukup tinggi, kemungkinan besar kehamilan luar rahim sedang berlaku.
Imbasan juga boleh mengesan cecair atau darah dalam rongga abdomen, petanda pendarahan akibat tiub fallopio pecah.
4. Laparoskopi
Jika diagnosis masih tidak jelas, doktor mungkin mencadangkan prosedur laparoskopi, iaitu sejenis pembedahan kecil dengan bius penuh.
Sebuah alat seperti teleskop kecil dimasukkan melalui lubang kecil di pusat untuk melihat keadaan dalam rongga perut. Jika perlu, kehamilan luar rahim boleh dibuang terus melalui prosedur ini. Rawatan ini biasanya tidak memerlukan pesakit bermalam di hospital.
5. Dilation and Curettage (D&C)
Sekiranya ujian darah dan imbasan menunjukkan kehamilan tidak berjaya melekat dalam rahim atau telah gugur, doktor mungkin akan melakukan prosedur D&C untuk membersihkan lapisan rahim.
Selepas prosedur ini, paras hCG akan turun secara mendadak jika kandungan sememangnya berada dalam rahim.
Jika tiada tisu kehamilan dijumpai dan paras hCG tidak menurun, ini menandakan kemungkinan besar kandungan luar rahim masih wujud.
Dalam kes sangat jarang, dua kehamilan boleh berlaku serentak iaitu satu dalam rahim dan satu di tiub fallopio (dipanggil kehamilan heterotopik).
Baca juga: Ambil Pil Perancang Untuk Elak Hamil? Ini Cara Makan Yang Betul
Cara untuk Merawat
Kehamilan luar rahim tidak boleh diteruskan hingga cukup bulan dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera. Rawatan bergantung kepada keadaan kehamilan dan sama ada tiub fallopio telah pecah atau belum.
Jika tiub belum pecah, rawatan mungkin melibatkan:
- Pengambilan ubat khas (seperti methotrexate) untuk menghentikan kehamilan, diikuti pemantauan rapi oleh doktor.
- Pembedahan laparoskopi untuk membuang kandungan luar rahim sambil memelihara tiub fallopio jika boleh.
Jika kehamilan luar rahim telah pecah (ruptur), ia adalah kecemasan perubatan. Pesakit boleh mengalami pendarahan dalaman dan kejutan (shock). Rawatan segera termasuk:
- Pemindahan darah dan pemberian cecair melalui salur darah
- Mengekalkan suhu badan, pemberian oksigen, dan menaikkan kaki untuk aliran darah
- Pembedahan segera untuk menghentikan pendarahan dan membuang kehamilan. Kadang-kala, doktor mungkin perlu membuang tiub fallopio yang terjejas.
Cara Mencegah Mengandung Luar Rahim
Walaupun tidak semua kes kehamilan luar rahim boleh dicegah terutamanya jika berlaku di luar tiub fallopio.
Namun terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko, terutamanya dengan menjaga kesihatan sistem pembiakan dan mencegah kerosakan pada tiub fallopio.
1. Amalkan Seks yang Selamat
Melakukan hubungan seks secara selamat adalah langkah penting. Gunakan kondom dan elakkan hubungan seks dengan ramai pasangan.
Ini membantu mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin (STD) seperti klamidia dan gonorea, yang boleh menyebabkan radang pelvis (PID) dan mencederakan tiub fallopio.
2. Dapatkan Rawatan Awal untuk Jangkitan
Sekiranya anda dijangkiti penyakit kelamin, dapatkan rawatan dengan segera.
Rawatan awal boleh mencegah keradangan berpanjangan dan mengelakkan parut pada tiub fallopio, yang boleh menyebabkan kehamilan luar rahim.
3. Berhenti Merokok
Merokok boleh menjejaskan kesihatan sistem pembiakan dan meningkatkan risiko kehamilan ektopik. Berhenti merokok adalah langkah penting untuk menjaga kesihatan rahim dan tiub fallopio.
4. Jalani Pemeriksaan Kesihatan Berkala
Pastikan anda berjumpa doktor secara berkala, termasuk menjalani pemeriksaan ginekologi dan saringan penyakit kelamin. Ini membolehkan sebarang masalah dikesan lebih awal sebelum menjadi serius.
5. Jaga Kesihatan Pembiakan Secara Umum
Mengamalkan gaya hidup sihat, seperti menjaga pemakanan, berat badan ideal dan kesihatan keseluruhan, membantu dalam penjagaan kesuburan dan fungsi sistem pembiakan secara keseluruhan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kandungan luar rahim adalah keadaan berbahaya yang memerlukan rawatan segera. Ia tidak boleh diteruskan seperti kehamilan biasa dan boleh mengancam nyawa.
Kenali tanda awal, lakukan pemeriksaan berkala dan jaga kesihatan reproduktif untuk mengurangkan risikonya.
Sumber:
- What is an Ectopic Pregnancy? University Hospitals Coventry and Warwickshire
- Ectopic Pregnancy and miscarriage: Diagnosis and Initial Management. National Institute for Health and Care Excellence