Bermula 1 Julai 2025, penstrukturan Tarif Elektrik mula berkuat kuasa. Langkah ini dirangka untuk mengubah pemikiran rakyat ke arah penggunaan tenaga yang mengutamakan kelestarian dan kecekapan tenaga, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ini dicapai dengan memastikan bil elektrik anda lebih telus serta membantu anda memahami dengan lebih baik bagaimana wang anda dibelanjakan untuk memastikan bekalan elektrik berterusan untuk semua.
Sebagai pengguna, anda kini mempunyai lebih kawalan ke atas penggunaan tenaga dan perbelanjaan anda.
Adalah penting untuk setiap pengguna memahami cara pengiraan bil dan memanfaatkan Kalkulator Bil Elektrik serta Kalkulator TNB bagi mengawal perbelanjaan tenaga di rumah.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Skim ToU TNB (Time of Use) – Waktu Luar Puncak, Manfaat, Daftar
Apa Itu Kalkulator Bil Elektrik TNB?
Kalkulator Bil Elektrik atau juga dikenali sebagai Kalkulator TNB, ialah alat digital yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membantu pengguna menganggarkan jumlah bil elektrik bulanan berdasarkan penggunaan sebenar di rumah.
Anda hanya perlu masukkan jumlah penggunaan (kWh) atau pilih peralatan elektrik yang digunakan, dan kalkulator ini akan mengira anggaran bil mengikut kadar semasa.
Untuk menggunakan Kalkulator Bil Elektrik, anda boleh klik pautan berikut:
https://www.mytnb.com.my/residential/understand-your-bill/bill-calculator
Fungsi Kalkulator Bil Elektrik TNB
Fungsi utama Kalkulator Bil Elektrik adalah untuk memudahkan pengguna memahami bagaimana bil elektrik mereka dikira tanpa perlu membuat pengiraan manual yang rumit.
Pengguna hanya perlu mengetahui jumlah penggunaan kWh dalam sebulan, masukkan angka tersebut ke dalam kalkulator, dan hasil anggaran bil akan dipaparkan serta-merta.
Kalkulator ini juga mengambil kira struktur tarif elektrik yang berbeza mengikut blok penggunaan, serta caj tambahan seperti cukai perkhidmatan dan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) jika penggunaan melebihi had tertentu.
Selain itu, kalkulator ini sangat berguna untuk membantu pengguna merancang penggunaan tenaga dengan lebih bijak, membandingkan kos penggunaan pelbagai peralatan elektrik, serta membuat keputusan yang lebih tepat untuk penjimatan kos elektrik bulanan.
Jika anda tidak pasti cara manual untuk mengira bil elektrik, menggunakan Kalkulator Bil Elektrik TNB adalah cara paling mudah dan tepat untuk mendapatkan anggaran jumlah bayaran sebenar setiap bulan
Ringkasnya, fungsi utama kalkulator ini ialah:
- Memberi anggaran bil elektrik bulanan mengikut penggunaan sebenar.
- Membantu pengguna merancang bajet bulanan dengan lebih tepat.
- Membandingkan kesan penggunaan peralatan elektrik yang berbeza.
- Membantu pengguna memilih perkakas elektrik yang lebih cekap tenaga sekaligus menjimatkan kos jangka panjang
Cara Gunakan Kalkulator Bil Elektrik TNB
Untuk menggunakan Kalkulator Bil Elektrik, caranya mudah sahaja. Rujuk langkah-langkah berikut:
- Layari laman web rasmi myTNB dan cari bahagian “Bill Calculator” atau “Kalkulator Bil Elektrik”. Atau, pautan berikut: https://www.mytnb.com.my/residential/understand-your-bill/bill-calculator
- Sebelum mengisi kalkulator, anda perlu tahu jumlah penggunaan elektrik dalam unit kilowatt-jam (kWh) untuk sebulan. Anda boleh dapatkan angka ini daripada bil elektrik terdahulu atau kira sendiri dengan menolak bacaan meter bulan lepas daripada bacaan meter terkini.
- Isikan jumlah penggunlayari aan elektrik (kWh) ke dalam ruangan yang disediakan pada kalkulator. Jika anda menggunakan Home Energy Calculator, anda boleh pilih jenis rumah, bilangan bilik, dan senaraikan peralatan elektrik yang digunakan untuk mendapatkan anggaran penggunaan yang lebih tepat.
- Selepas semua maklumat dimasukkan, tekan butang “Calculate Bill”. Kalkulator akan memaparkan anggaran jumlah bil elektrik bulanan anda mengikut kadar tarif semasa.
- Hasil anggaran akan dipaparkan, termasuk pecahan caj mengikut blok tarif, cukai perkhidmatan (jika melebihi 600 kWh), dan jumlah keseluruhan bil. Anda juga boleh melihat statistik penggunaan peralatan elektrik dan cadangan penjimatan tenaga jika menggunakan Home Energy Calculator.
NOTA: Kalkulator ini hanya memberikan anggaran. Ia tidak mengambil kira caj tambahan seperti denda pembayaran lewat, surcaj faktor kuasa, rebat, atau insentif khas. Caj sebenar mungkin sedikit berbeza bergantung kepada faktor-faktor ini.
Perubahan Tarif Elektrik Baru Mulai Julai 2025
Mulai 1 Julai 2025, struktur tarif elektrik di Semenanjung Malaysia mengalami perubahan terbesar sejak sekian lama.
Jika sebelum ini, sistem bertingkat digunakan (tiered pricing), di mana kadar berbeza mengikut jumlah penggunaan, kini tarif baru memperkenalkan kadar asas tetap iaitu sekitar 45.40 sen/kWh untuk semua pengguna domestik.
Ini menggantikan kadar lama yang bermula dari 21.8 sen/kWh (bawah 200kWh) hingga 57.1 sen/kWh (lebih 900kWh).
Struktur baru ini juga memperincikan komponen bil seperti:
- Caj Penjanaan
- Caj Rangkaian
- Caj Peruncitan (dikecualikan untuk penggunaan 600kWh ke bawah)
- Caj Kapasiti
Bagi pengguna yang menggunakan kurang daripada 900kWh sebulan, kebanyakan akan melihat sedikit penurunan atau perubahan minimum pada bil bulanan mereka. Namun, bagi penggunaan tinggi, perubahan mungkin lebih ketara.
Kesan kepada Pengguna
- 85% Pengguna Tidak Terjejas atau Bil Turun: Majoriti pengguna domestik dijangka tidak terkesan atau akan menikmati penurunan bil, dengan potensi penurunan purata sehingga 19% berbanding struktur lama, bergantung kepada corak penggunaan dan inisiatif penjimatan tenaga.
- Insentif & Pilihan Baharu: Pengguna kini boleh memilih skim Time-of-Use (ToU) yang menawarkan kadar lebih rendah pada waktu luar puncak, sangat sesuai untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) yang mengecas pada waktu malam.
- Penekanan kepada Penjimatan & Tenaga Boleh Baharu: Struktur baharu menyokong penggunaan tenaga cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu, selaras dengan sasaran pengurangan karbon negara menjelang 2050.
Kelebihan Menggunakan Kalkulator Bil Elektrik
Dengan adanya kalkulator bil elektrik TNB yang telah dikemas kini mengikut tarif baru, anda boleh:
- Membuat Perbandingan Bil Lama & Baru: Contohnya, penggunaan 300kWh sebulan, bil lama RM71.00, bil baru RM65.79. Untuk 900kWh, bil lama RM408.70, bil baru RM418.35.
- Merancang Pembelian Perkakas Elektrik: Pilih peralatan dengan label cekap tenaga 4 atau 5 bintang untuk penjimatan maksimum.
- Mengawal penggunaan: Kenal pasti peralatan yang menggunakan tenaga tinggi dan ubah tabiat penggunaan.
- Mendapatkan anggaran bil dengan pantas: Kalkulator Bil Elektrik membolehkan anda mendapatkan anggaran jumlah bil elektrik bulanan dengan hanya memasukkan jumlah penggunaan tenaga (kWh) atau maklumat peralatan elektrik yang digunakan.
- Memahami Corak Penggunaan Tenaga: Melalui kalkulator seperti Home Energy Calculator (HEC), anda boleh mengenal pasti peralatan elektrik mana yang paling banyak menggunakan tenaga di rumah.
- Membandingkan Kos Peralatan Elektrik: Kalkulator ini juga membolehkan anda membandingkan kos penggunaan antara dua atau lebih peralatan elektrik sebelum membuat pembelian. Dengan ini, anda boleh memilih peralatan yang lebih menjimatkan dan sesuai dengan keperluan rumah.
- Menerima Cadangan Penjimatan Tenaga: Selain memberikan anggaran bil, kalkulator tenaga TNB turut menyediakan cadangan langkah penjimatan tenaga berdasarkan corak penggunaan anda.
- Mudah Diakses dan Mesra Pengguna: Kebanyakan kalkulator bil elektrik boleh diakses secara dalam talian melalui portal rasmi TNB atau laman web berkaitan. Antaramuka yang mudah digunakan membolehkan sesiapa sahaja, tanpa pengetahuan teknikal, mengira anggaran bil dengan cepat.
- Membantu Audit Tenaga Sendiri: Dengan adanya alat ini, pengguna boleh menjalankan audit tenaga sendiri di rumah, menilai kecekapan penggunaan tenaga, dan mengambil tindakan awal jika berlaku peningkatan penggunaan yang tidak normal.
BACA JUGA: Kadar Tarif Elektrik Baru Mulai 1 Julai 2025
Tips Bijak Urus Penggunaan Elektrik
Mengurus penggunaan elektrik dengan bijak bukan sahaja membantu mengurangkan bil bulanan, malah menyumbang kepada penjimatan tenaga dan kelestarian alam sekitar. Berikut adalah beberapa tips praktikal dan mudah diamalkan di rumah:
1. Matikan Peralatan Elektrik yang Tidak Digunakan
Pastikan semua peralatan seperti lampu, kipas, penyaman udara, komputer dan televisyen dimatikan apabila tidak digunakan atau apabila bilik kosong. Jangan biarkan peralatan dalam mod sedia (standby mode) kerana ia masih menggunakan tenaga walaupun dalam keadaan tidak aktif.
2. Guna Peralatan Elektrik Cekap Tenaga
Pilih peralatan elektrik yang mempunyai label cekap tenaga empat atau lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga. Semakin banyak bintang, semakin jimat tenaga yang digunakan. Ini termasuklah peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara dan lampu LED.
3. Kawal Penggunaan Penyaman Udara
Tetapkan suhu penyaman udara pada tahap ideal, sekitar 24–26°C untuk penjimatan maksimum. Gunakan fungsi pemasa (timer) supaya air-cond hanya beroperasi apabila diperlukan. Bersihkan penapis penyaman udara secara berkala untuk memastikan ia berfungsi dengan efisien.
4. Susun Atur Peralatan di Rumah dengan Betul
Letakkan peti sejuk jauh dari sumber haba seperti dapur memasak. Susun makanan dalam peti sejuk dengan kemas bagi memastikan aliran udara yang baik dan mengelakkan pembaziran tenaga.
5. Gunakan Lampu LED dan Maksimumkan Cahaya Semula Jadi
Tukar mentol lama kepada lampu LED yang lebih tahan lama dan jimat tenaga. Pada waktu siang, buka langsir dan manfaatkan cahaya semula jadi sebaik mungkin untuk mengurangkan keperluan menyalakan lampu.
6. Basuh Pakaian dengan Muatan Penuh
Kumpulkan pakaian dan basuh dengan muatan penuh untuk menjimatkan penggunaan mesin basuh. Jemur pakaian menggunakan cahaya matahari berbanding menggunakan mesin pengering.
7. Pantau Penggunaan Elektrik Secara Berkala
Gunakan aplikasi atau portal myTNB untuk memantau corak penggunaan elektrik rumah anda. Jika terdapat lonjakan penggunaan, semak semula tabiat harian dan kenal pasti peralatan yang menyebabkan penggunaan tinggi.
8. Cabut Palam Peralatan Selepas Digunakan
Walaupun tidak banyak menjimatkan tenaga, mencabut palam selepas digunakan dapat melindungi peralatan elektrik daripada kerosakan akibat litar pintas atau kilat secara tiba-tiba.
Maklumat Lanjut
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi TNB CareLine melalui saluran berikut:
- Kunjungi Kedai Tenaga yang terdekat
- Telefon: 1300-88-5454
- E-mel: [email protected]
- Media sosial: Facebook TNB Careline & X @Tenaga_Nasional