Apakah punca kahak kuning dan rawatan yang sesuai untuk anda ambil?
Kahak kuning boleh berlaku disebabkan beberapa keadaan kesihatan yang berbeza. Kajian dari National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, ia sering dikaitkan dengan masalah pada saluran pernafasan dan memerlukan perhatian bergantung kepada tahap gejala.
Dalam artikel ini, kami kongsikan punca yang mungkin menyebabkan kahak kuning serta rawatan yang sesuai untuk membantu anda pulih.
Baca juga: Cara Buang Kahak Bayi Di Rumah (No.4 Paling Berkesan!)
Apa itu Kahak Kuning?
Kahak kuning merujuk kepada lendir pekat yang berwarna kekuningan dan biasanya dikeluarkan dari saluran pernafasan ketika seseorang batuk atau berkahak.
Warna kuning ini menunjukkan kehadiran sel darah putih yang sedang melawan jangkitan, terutamanya jangkitan yang disebabkan oleh virus atau bakteria.
Ia sering muncul ketika seseorang mengalami jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema, bronkitis, atau sinusitis.
Pada awal jangkitan, kahak mungkin berwarna jernih, tetapi akan berubah menjadi kuning apabila sistem imun mula bertindak balas.
Walaupun kahak kuning tidak semestinya bermaksud jangkitan serius, ia boleh menjadi petanda tubuh sedang melawan kuman, dan jika berterusan lebih dari seminggu atau disertai demam tinggi dan sesak nafas, pemeriksaan doktor adalah disarankan.
Punca Kahak Kuning
Menurut Tua Saúde, punca kahak kuning adalah disebabkan oleh masalah berikut:
1. Strep Throat (Faringitis Bakteria)
Kahak kuning boleh menjadi petanda seseorang mengalami strep throat, iaitu jangkitan bakteria yang menyebabkan keradangan pada tekak (faring). Keadaan ini turut disertai dengan simptom seperti sakit tekak yang teruk, sukar menelan, demam, dan sakit kepala.
- Rawatan: Pesakit perlu berjumpa doktor untuk diagnosis. Rawatan biasanya melibatkan antibiotik dan ubat tahan sakit bag
2. Sinusitis (Resdung)
Jangkitan bakteria pada rongga sinus juga boleh menyebabkan kahak menjadi kuning. Sinusitis berlaku apabila saluran hidung membengkak, mengakibatkan hidung tersumbat, demam, sakit kepala, dan sukar bernafas.
- Rawatan: Rawatan sinusitis melibatkan antibiotik dan ubat resdung lain yang ditetapkan doktor. Penyedutan wap atau penggunaan nebulizer boleh membantu membuka saluran pernafasan dan mengurangkan lendir.
3. Bronkitis
Bronkitis ialah keradangan pada saluran bronkus yang menyebabkan penghasilan kahak tebal berwarna kuning. Gejala lain termasuk batuk berterusan, sesak nafas, demam dan keletihan.
- Rawatan: Doktor mungkin akan memberikan ubat bronkodilator, ubat anti-radang, kortikosteroid dan ekspektoran. Minum air secukupnya juga membantu menipiskan kahak dan memudahkan ia dikeluarkan.
4. Pneumonia
Pneumonia bakteria boleh menyebabkan kahak kuning atau hijau kerana pengumpulan bakteria dalam paru-paru. Simptom lain termasuk demam, sakit dada, batuk dan sukar bernafas.
- Rawatan: Antibiotik biasanya diperlukan dan akan diberikan selepas pemeriksaan paru-paru oleh doktor. Rawatan tambahan di rumah seperti rehat dan minum air secukupnya dapat membantu meredakan simptom.
5. Fibrosis Sistik (Cystic Fibrosis)
Penyakit genetik ini mengganggu fungsi protein CFTR dalam badan, menyebabkan kahak menjadi sangat pekat dan terkumpul dalam paru-paru serta saluran penghadaman. Simptom lain termasuk kesukaran bernafas, najis berminyak, dan sembelit.
- Rawatan: Pesakit mungkin memerlukan bronkodilator, antibiotik, ubat mukolitik, enzim pankreas, fisioterapi pernafasan dan pemantauan pemakanan secara berkala.
6. Merokok
Racun dalam rokok merengsakan saluran pernafasan dan mencetuskan penghasilan kahak berlebihan berwarna kuning akibat tindak balas imun. Perokok biasanya mengalami kahak kuning terutama waktu pagi.
- Rawatan: Berhenti merokok adalah cara terbaik. Doktor boleh bantu dengan terapi pengganti nikotin, hipnoterapi atau kaunseling. Jika batuk dan kahak berlarutan, pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengesan penyakit paru-paru.
7. Lendir Hidung Menitis ke Tekak (Postnasal Drip)
Hidung secara semula jadi menghasilkan lendir, tetapi alahan, cuaca, makanan tertentu atau jangkitan boleh menyebabkan lebihan lendir menitis ke tekak dan bercampur dengan air liur hingga membentuk kahak kuning.
- Rawatan: Kenal pasti punca seperti alahan atau perubahan cuaca. Rawatan mungkin melibatkan antihistamin, semburan hidung atau antibiotik bergantung pada puncanya
8. Bronkiektasis
Penyakit ini melibatkan pengembangan tidak normal pada bronkus akibat jangkitan atau saluran udara tersumbat. Ia menyebabkan penghasilan kahak yang tebal dan banyak. Antara simptom lain termasuk batuk berdarah, sesak nafas, dan sakit dada.
- Rawatan: Tiada penawar, tetapi rawatan seperti antibiotik dan bronkodilator boleh membantu mengawal simptom serta memperbaiki pernafasan.
Cara untuk Merawat
Ubat untuk merawat kahak bergantung kepada puncanya dan mungkin termasuk:
- Antibiotik dan steroid – untuk merawat kahak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria
- Paracetamol dan ibuprofen – untuk merawat kahak akibat jangkitan virus
- Antihistamin dan semburan hidung – untuk merawat kahak yang berpunca daripada alahan
- Ubat mukolitik – membantu mencairkan kahak supaya lebih mudah untuk dibatukkan keluar. Ubat ini biasanya digunakan bagi pesakit yang menghidap COPD, bronkiektasis, fibrosis sistik, atau fibrosis pulmonari idiopatik (IPF).
Baca juga: Kahak Berdarah : Punca & Kaedah Rawatan
Bila Perlu Jumpa Doktor
Jika anda mendapati kahak kuning atau hijau, anda boleh tunggu beberapa hari untuk lihat sama ada kahak itu kembali normal.
Tetapi jika kahak kekal kuning atau hijau lebih dari beberapa hari, anda perlu buat janji temu dengan doktor.
Baca juga: Batuk Berkahak : Punca & Kaedah Rawatan