Ikan Pari : Jenis, Tips Pilih Pari Segar & Resepi Wajib Cuba

Berbadan leper dan sering ditemui di dasar laut, ikan pari merupakan ikan jenis pemangsa yang tangkas dan agresif.

Oleh sebab itu, ia menjadi salah satu spesis wajib tangkap dan menjadi kebanggaan buat kaki pancing pantai.

Ikan ini juga sering menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk dijadikan masakan lazat seperti asam pedas dan ikan bakar.

Jenis Ikan Pari

Walaupun mempunyai rupa yang mudah dikenalpasti iaitu berbadan leper dan berekor panjang dan tajam, sebenarnya terdapat 12 jenis spesis pari yang dengan pelbagai ciri unik di Malaysia iaitu :

  1. Pari beting
  2. Pari tanjung
  3. Pari Dedap
  4. Pari lalat
  5. Pari Pasir
  6. Pari Rimau
  7. Pari Daun
  8. Pari Karang
  9. Pari Minyak
  10. Par Lang
  11. Pari Bendera / Kelawar
  12. Pari Sungai
ikan pari
Sumber : umpan.com

Kenapa Ada Pari Berbau Hancing?

Mungkin ada orang tidak gemar makan ikan pari kerana takut terbeli yang berbau hancing. Mana tidaknya, jika dicuci dengan apa-apa petua sekalipun, baunya tidak akan hilang.

Jika sudah dimasak pun, baunya masih ada. Silap-silap hidangan anda terpaksa dibuang begitu sahaja.

Sejak dahulu lagi, orang Melayu percaya bahawa pari hancing disebabkan pari betina datang bulan. Mitos ini cukup popular dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang percaya sampai ke hari ini.

Sebenarnya, ia hanyalah mitos semata-mata kerana pari bukanlah mamalia yang boleh datang bulan.

Apa yang membuatkan ia hancing adalah kandungan uera dan trimethylamine oxide (TMAO) yang berfungsi untuk menstabilkan protein apabila kepekatan urea tinggi.

Apabila ikan ini mati dalam tempoh yang lama, ikatan peptida protein akan terurai kepada cyanate dan ammonium. Hasilnya, karbon dioksida dan ammonia akan dibebaskan.

Ammonia inilah yang mengakibatkan bau hancing pada pari. Semakin lama ikan tersebut mati, semakin kuat bau hancing yang melekat padanya, lebih-lebih lagi dalam organ ikan ini.

Bau hancing yang kuat pada pari juga sekaligus menandakan ikan tersebut sudah tidak segar. Oleh itu, elakkanlah daripada membeli ikan pari yang berbau hancing.

Jadi, bagaimana cara untuk memilih pari segar? Kita akan kongsikan tipsnya.

Tips Pilih Pari Segar

  1. Seeloknya pilih ikan pari yang siap dipotong supaya kita boleh lihat isi di dalamnya.
  2. Pastikan isi kelihatan pejal, merah dan segar. Elakkan dari membeli pari yang pucat warnanya atau isinya gelap kehitaman dan lembik.
  3. Hidu bau pari dan pastikan tiada bau hancing
ikan pari

Resepi Ikan Pari Yang Mudah dan Lazat

Berikut kami kongsikan beberapa resepi pari yang menarik untuk dicuba.

1. Ikan Pari Bakar Sambal

Sumber : Facebook Anna Aziz

Bahan-bahan :

  • Ikan pari bersaiz sederhana
  • Daun pisang
  • 4 biji bawang besar *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 10 tangkai cili kering* (boleh tambahkan cili padi merah jika suka pedas)
  • 1 inci lengkuas *
  • 1 1/2 inci halia *
  • 2 batang serai *
  • 3 biji buah keras *
  • 20 gram belacan *
  • Air asam jawa
  • Garam
  • Gula melaka
  • Bahan perasa

Bahan tambahan :

Cara-cara :

  • Kisarkan semua bahan bertanda *
  • Panaskan kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak
  • Masukkan air asam jawa, garam, gula dan bahan perasa.
  • Tuangkan sambal di atas ikan pari yang dibakar.
  • Sedia untuk dinikmati bersama perahan limau kasturi/limau nipis dan cencaluk.

2. Resepi Asam Pedas Nyonya Ikan Pari

ikan pari
Sumber : Facebook Arianie La’RosSa

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan pari – dipotong 5 atau 6 bahagian
  • 1 sudu kecil pes asam jawa

Bahan Tumbuk :

  • 2 sudu biji ketumbar
  • 2 sudu jintan manis
  • Serai

Bahan Kisar :

  • 8-9 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 sudu besar cili kering kisar, boleh ditambah jika suka pedas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 inci halia

Bahan tambahan :

  • Daun kesum
  • Bunga kantan
  • Tomato
  • Bendi
  • Halba
  • Daun limau purut

Cara-cara :

  • Panaskan minyak dan masukkan bahan tumbuk dan bahan kisar sehingga wangi, garing dan pecah minyak.
  • Seterusnya, masukkan air secukup. Apabila kuah mendidih, masukkan ikan.
  • Biarkan masak seketika kemudian masukkan bahan tambahan jika ada.
  • Akhir sekali. Masukkan garam, air asam, sedikit gula dan bahan perasa jika suka.
  • Sedia untuk dihidang.

3. Resepi Pari Cicah Sambal Kerisik Bersantan

ikan pari
Sumber : Facebook Dtn Seri Nor

Bahan-bahan :

  • Ikan pari
  • Kunyit
  • Garam
  • Asam jawa

Bahan Sambal :

  • 10 biji cili api
  • 5 biji cili besar
  • 4 sudu besar kerisik
  • 3 biji bawang besar
  • 4 biji limau kasturi
  • Sedikit belacan
  • Santan atau susu cair
  • Kerisik
  • Gula
  • Garam serbuk perasa

Cara-cara :

  • Rebuskan ikan pari bersama kunyit, garam dan asam jawa
  • Kisarkan cili api, belacan, garam, gula, dan serbuk perasa bersama santan.
  •  Gaulkan bahan yang telah dikisar bersama kerisik dan perahkan limau kasturi.
  • Letakkan bawang besar yang telah dihiris pada sambal kerisik.
  • Sedia untuk dihidang.

4. Resepi Pari Masak Pecel

Sumber : Facebook Suhani Hani

Bahan-Bahan :

  • Ikan pari dibakar setengah masak (boleh juga digoreng dengan sedikit minyak supaya tak melekat)
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang besar
  • 20 batang cili padi (boleh kurang atau lebihkan ikut citarasa)
  • Pokok cekur (asingkan ubi dan daunnya)
  • Sedikit belacan
  • Asam keping / air asam jawa
  • Santan pekat
  • Garam dan serbuk perasa

Cara-cara :

  • Sediakan ikan pari yang dibakar atau digoreng setengah masak
  • Kisar kering atau tumbuk bawang besar, bawang putih, cili padi, ubi cekur dan belacan
  • Hiris halus daun cekur
  • Panaskan santan dalam kuali dan masukkan bahan-bahan tumbuk bersama sedikit minyak.
  • Tambahkan air secukupnya dan biarkan masak seketika.
  • Seterusnya, masukkan ikan, daun cekur, asam dan garam secukup rasa.
  • Masakkan lagi sehingga mendidih dan biarkan seketika sambil kacau supaya tidak terlalu pecah minyak.
  • Pari masak pecel sedia untuk dihidang.

5. Gulai Ikan Pari

Sumber : Jaja Emyzar

Bahan-Bahan A (untuk dihiris) :

  • 1 biji bawang putih
  • 2 ulas bawang besar
  • 1 camca besar halba campur
  • Daun kari

Bahan-Bahan B :

  • 1 bungkus kecil rempah kari ikan Baba’s
  • 1 bungkus kecil rempah kari ikan cap O
  • 1 camca besar  bawang putih yang sudah dikisar

Nota : Satukan kesemua bahan B dan bancuhkan dengan air

Bahan-Bahan C :

  • Terung atau bendi
  • Air asam jawa
  • Santan

Bahan-bahan lain :

  • Ikan pari yang dipotong kecil
  • Cili hijau dan merah
  • Tomato

Cara-Cara :

  • Panaskan kuali dan tumis Bahan A sehingga kekuningan
  • Kemudian, masukkan bahan B dan masak sehingga pecah minyak. Gunakan api perlahan
  • Seterusnya, masukkan bahan C. Setelah mendidih baru masukkan ikan.
  • Biarkan mendidih sekali baru masukkan cili hijau, cili merah dan tomato.
  • Perisakan dengan garam dan serbuk perasa.
  • Gulai pari sedia untuk dihidang.

Ikan yang popular ini bukan sahaja boleh dibuat asam pedas atau dibakar, rupanya terdapat pelbagai resepi menarik untuk dicuba.

Sekarang, anda juga boleh memilih ikan pari terbaik di pasar menerusi tips yang kami kongsikan.

InsyaAllah ikan yang dipilih segar dan enak untuk dimasak dan dinikmati bersama seisi keluarga.

Sumber : Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN) (1), (2), (3), (4), (5), (6), Profishganda

Baca Juga : Resepi Ikan Nyok Nyok Yang Wajib Dicuba

Bantu kami share artikel ini: