Ibadah Korban: Niat Korban, Syarat Sah, Pembahagian Daging Korban
Ibadah Korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq.
Lazimnya, di Malaysia acara penyembelihan ternakan korban ini dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya ataupun rumah persendirian.
Berikut adalah penjelasan mengenai niat korban, syarat sah, pembahagian daging korban dan info-info berkaitan berdasarkan sumber daripada JAKIM dan Mufti.
BACA JUGA: Tarikh Akhir Potong Kuku & Rambut Bagi Korban 2024
Maksud Ibadah Korban
Merujuk laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ibadah ini mengingatkan umat Islam akan ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.
Niat Korban
Mufti WP menjelaskan bahawa niat korban terhasil dengan dua cara iaitu:
1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.
Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:
- Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
- Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
- Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
- Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.
2. Niat oleh wakil iaitu berlaku dalam dua keadaan:
- Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
- Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.
Hukum Melakukan Ibadah Korban
Berdasarkan penjelasan dalam laman sesawang Mufti WP, hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad dan sunat kifayah.
Sunat muakkad bermaksud sekiranya seseorang itu mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggungnya pada siang hari raya haji dan malamnya serta hari-hari tasyriq tetapi dia tidak melakukan korban maka hukumnya adalah makruh.
Sunat kifayah sekiranya isi rumah lebih dari seorang dan mereka adalah di bawah tanggungan wajib salah seorang dari mereka maka jika korban dilakukan oleh salah seorang dari mereka yang mukallaf maka gugur tuntutan dari yang lain dan gugur hukum makruhnya. Namun pahala korban hanya akan diperoleh oleh orang yang melakukan korban melainkan sekiranya dia meniatkan pahala untuk orang yang lain.
(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/123)
Syarat Sah Berkorban
Syarat sah berkorban hendaklah melakukan dua perkara:
- Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat korban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan korban.
- Memilih ternakan korban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biribiri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.
Syarat Sah Haiwan Korban
Terdapat 4 syarat sah haiwan korban, iaitu:
- Haiwan ternakan sahaja
- Sihat dan bebas daripada sebarang penyakit
- Tidak cacat
- Minimum umur haiwan ternakan yang dibenarkan untuk korban.
Jenis Korban
Korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
- Korban nazar (wajib)
- Korban sunat
Status Hukum Daging Korban
Hukum berkaitan daging korban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut:
- Haram memakan daging bagi orang yang melakukan korban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging korban tersebut kepada orang bukan Islam.
- Hukum pemberian daging korban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i.
- Bahagian atau anggota sembelihan korban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan korban.
- Sunat bagi individu yang melakukan korban sunat (tatawu’) memakan daging korbannya.
HUKUM MENYIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARI 3 HARI
- Pendapat Ali RA dan Ibn Umar RA: Tidak boleh menyimpan daging korban melebihi 3 hari.
- Pendapat Jumhur Ulama : Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadis mengenai larangannya itu telah dimansuhkan.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah:
Rasulullah SAW melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Larangan menyimpan daging lebih dari 3 hari adalah berdasarkan keadaan hidup yang sempit dan susah ketika itu. Kemudian hadis larangan tersebut telah dimansuhkan hukumnya kerana keadaan telah berubah kepada lebih baik.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM
Pembahagian Daging Qurban
Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:
Pembahagian daging korban wajib atau nazar
Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
Pembahagian daging korban sunat:
Menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i:
(i) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya;
(ii) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin;
(iii) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
NOTA:
Sebelum melaksanakan pengagihan daging korban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian korban wajib daripada daging bahagian korban sunat sebelum diagihkan kepada penerima.
Perkara Sunat Ketika Melakukan Ibadah Korban
- Menambat ternakan korban menjelang Hari Nahar.
- Memberi makanan kepada haiwan korban sebelum disembelih.
- Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban.
- Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan korban supaya dapat merasakan kepentingan korban. Melakukan penyembelihan korban dengan sendiri.
- Membaca Bismillah.
- Berselawat ke atas Nabi SAW. P
- Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat.
- Memilih haiwan ternakan yang paling baik.
- Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati dan baharulah dilapah.
- Orang yang melakukan korban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berkorban.
Perkara Makruh Dalam Ibadah Korban
- Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit di belakang telinganya.
- Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.
- Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk.
- Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
- Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban.
- Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.
KESILAPAN DAN SALAH FAHAM DALAM IBADAH KORBAN
- Menjadikan Daging Korban Sebagai Upah Kerja [SALAH]
- Menjadikan daging sembelihan korban (udhiyah) sebagai upah kepada mereka yang terbabit menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan lainnya bererti menjual daging membeli tenaga kerja
- Mengambil Daging Korban Tanpa Izin
- Daging korban adalah milik pembuat korban, bukan milik masjid, surau dan seumpamanya. Pihak pengurusan masjid, surau atau pihak penganjur majlis ibadah korban dilarang bertindak sesuka hati mengagihkan daging korban kepada sesiapa sahaja tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu dari pemilik sebenar daging korban.
- Menguruskan sembelihan dengan cara yang kejam tanpa ihsan kepada haiwan sembelihan.
- Sifat ihsan atau simpati diwajibkan ke atas kita ketika menguruskan haiwan sembelihan terutamanya korban yang merupakan ibadah kepada ALLAH.
- Menggunakan Harta Orang Ramai Untuk Korban
- Ibadah korban tidak terlaksana dari haiwan korban yang berupa harta kerajaan, institusi tertentu, badan-badan korporat atau tabung orang ramai dan seumpamanya, melainkan jika haiwan korban itu dari wang individu tertentu sama ada individu dari dalam kerajaan, syarikat atau seumpamanya. Adapun mengambil harta awam atau pihak lain yang tidak dikhususkan untuk ibadah korban, maka itu menyalahi pensyariatan korban.
- Berkongsi Binatang Korban Lebih Dari Jumlah Yang Diizinkan
- Berkongsi melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta dengan dua individu atau lebih. Ini kerana seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta hanya boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja.
- Kadar ini telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang termaktub dalam hadis:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ
الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ - Kami menyembelih korban bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian). (Riwayat Muslim).
- Menganggap Tidak Sah Sembelihan Yang Tidak Menyebut Nama Pembuat Korban
- Sebutan nama orang yang melakukan korban ketika sembelihan bukanlah syarat sah korban. Beranggapan tukang sembelih wajib menghafal semua nama peserta korban sebelum menyembelih haiwan korban sebagai syarat sah adalah tidak tepat.
- Sebenarnya, ia sesuatu yang sunnah untuk dilakukan. Jika tukang sembelih menyebut nama orang yang melakukan korban seperti berkata: “Ya Allah, ini korban dari fulan bin fulan” maka itu suatu yang baik, namun tidak wajib.
- Dia juga boleh mengingati nama mereka atau membaca catatan nama. Jika hanya dia menyebut: “Ya Allah, terimalah korban dari mereka” juga memadai. Jika dia tidak menyebut nama, tetapi empunya haiwan yang dikorbankan telah berniat korban, maka sah korbannya.
Kesimpulan
Ibadah korban membawa banyak hikmah termasuk mengingatkan umat Islam akan kepatuhan dan pengorbanan, menyucikan diri dan harta, serta mempereratkan silaturrahim melalui pembahagian daging korban kepada fakir miskin dan jiran tetangga.
Semoga ibadah korban yang dilakukan diterima dan menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik. Selamat menunaikan ibadah korban dan Selamat Hari Raya Aidiladha!
MUAT TURUN : GARIS PANDUAN IBADAH KORBAN (JAKIM)
Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu garis panduan berhubung pelaksanaan ibadah korban iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Bil 2 Tahun 2013.
Dalam Garis Panduan tersebut dinyatakan bahawa pihak yang mengurus ibadah korban dalam negara hendaklah menjelaskan perkara-perkara berikut:
- Urusan jual beli seperti akad, jenis haiwan qurban dan fizikal haiwan yang cukup syarat
- Kadar harga bagi satu bahagian qurban yang ditawarkan oleh syarikat atau persatuan
- Kadar kos pengurusan (upah) yang diambil
- Cara pengagihan dan penerimaan daging qurban.
Dalam Garis Panduan tersebut juga diberikan contoh-contoh lafaz wakalah yang boleh digunakan oleh peserta yang hendak mewakilkan ibadah korban kepada pihak lain.
Layari bagi mendapatkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha yang telah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sumber:
- GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH QURBAN – JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
- IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-55 : HUKUM NIAT AWAL SEBELUM HARI SEMBELIHAN KORBAN – MUFTI WP
- KESILAPAN DAN SALAH FAHAM DALAM IBADAH KORBAN – JABATAN MUFTI NEGERI PERLIS
- IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN QORBAN SIRI 23: AGIHAN DAGING KORBAN – MUFTI WP
- IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-39: ADAKAH TERANGKAT TUNTUTAN SUNAT KIFAYAH UNTUK KELUARGA SEKIRANYA ISTERI YANG MELAKUKAN KORBAN – MUFTI WP