Terdapat perbezaan hukum puasa selepas 15 Syaaban bagi mereka yang ingin berpuasa dalam tempoh tersebut.
Ini kerana terdapat hadis yang tidak membenarkan umat Islam berpuasa dalam tempoh tersebut.
Namun, terdapat perbahasan yang panjang hadis tersebut yang membawa kepada hukum berpuasa selepas 15 Syaaban.
Mengenai Bulan Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan yang mulia dan merupakan bulan yang hadir sebelum datangnya bulan Ramadhan.
Oleh kerana itu, di dalam bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh.
Menurut al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma’arif, beliau menyatakan: “Oleh kerana Syaaban seperti mukadimah kepada Ramadan, maka disyariatkan padanya perkara yang disyariatkan pada bulan Ramadan seperti berpuasa dan membaca al-Quran, agar dapat bersiap sedia bagi menyambut Ramadan serta dapat membiasakan diri dengannya dalam usaha mentaati Allah SWT.”
Tambahan pula, di dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW apabila masuk Rejab, baginda akan berdoa: “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Ramadan.” (Riwayat al-Bazzar, Abdullah bin Ahmad dalam Zawa’id al-Musnad, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad daif).
Meskipun hadis tersebut dinilai daif, namun dalam bab doa ianya harus diamalkan.
Perbahasan Puasa Selepas 15 Syaaban
Terdapat pandangan yang tidak membenarkan umat Islam berpuasa selepas 15 Syaaban berdasarkan beberapa hadis iaitu:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.
- Dalam lafaz yang lain maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”.
- Dalam lafaz yang lain pula maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, makanlah sehingga datangnya bulan Ramadhan”.
- Dalam lafaz yang lain lagi maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tahanlah diri kalian dari berpuasa sehingga datang bulan Ramadhan.”
Hadis ini telah menjadi perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap hadith ini kerana sebahagian mereka mensahihkan hadis ini dan sebahagian yang lain mendhaifkannya.
Antara ulama’ yang mensahihkan hadis ini ialah:
- Imam al-Tirmizi : Hadith adalah hasan sahih. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, no. Hadith 669]
- Imam Ibn Hibban : Hadith ini sahih. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 3589]
- Imam Ibn Abd al-Bar: Hadith ini sahih. [Lihat: al-Istizkar, 10/239]
- Ahmad Syakir : Hadith ini adalah sahih. [Lihat: Ta’liq ‘ala Tahzib al-Sunan, 3/225]
Manakala ulama’ yang mendhaifkannya adalah seperti berikut:
- Imam Ahmad : Hadith ini munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Al-Athram : Hukum hadith ini adalah munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Abdulrahman bin Mahdi : Hadith ini munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Abu Zur’ah : Ini adalah hadith munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
Hukum Puasa Selepas 15 Syaaban
Menurut Mazhab al-Syafie, berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya (dalam makna lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja) [Lihat: al-Mu’tamad, 2/216].
Namun, jumhur fuqaha’ pula berpandangan dibolehkan berpuasa selepas daripada 15 Sya’ban. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635]
Oleh itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan dibolehkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban bagi orang yang selalu melakukan puasa seperti puasa sunat Isnin dan Khamis.
Ini juga bagi sesiapa yang berpuasa pada hari cerah (أيام البيض) dan juga yang melakukan puasa Nabi Daud AS.
Ini kerana larangan berpuasa di dalam hadis yang melarangnya adalah ditujukan kepada sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa.
Bagi sesiapa yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa maka ia tidak menjadi masalah untuk mereka berpuasa pada waktu tersebut.
Hikmah Tidak Dibenarkan Berpuasa Selepas 15 Syaaban
Bagi mereka yang berpegang kepada pandangan tidak membenarkan berpuasa selepas 15 Syaaban, antara hikmahnya ialah umat Islam dapat menyiapkan diri mereka sebelum dalam menempuh bulan Ramadhan.
Ini kerana bulan Ramadhan difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai hukum puasa ini, sila layari laman web https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1117-irsyad-al-hadith-siri-ke-73-hukum-puasa-selepas-separuh-bulan-sya-ban.
Baca juga: Puasa Syaaban 2025 : Tarikh, Hukum & Niat Puasa Sunat Sya’ban