Harga Minyak Masak Tidak Bersubsidi Turun 2 Minggu Lagi

harga minyak masak
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

BERITA BAIK! Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dalam tempoh 2 minggu lagi, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa, lapor BERNAMA pada 16 Julai 2022.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya telah memanggil semua pengilang yang terlibat termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Masak Sawit Malaysia (MPOC) pada Selasa lepas sebagai badan yang mengawal kuota dan lesen pengilang.

“Selepas dua minggu dari tarikh saya bertemu mereka, saya mahu tengok harga minyak masak turun.

Saya tidaklah memaksa, cuma pada masa ini saya mahu industri ada rasa tanggungjawab dan jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah sebab akhirnya syarikat juga yang menentukannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Annuar berkata pihak industri telah bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak dan pengilang yang terbabit membayangkan penurunan harga itu akan dipendekkan secara berperingkat iaitu lima hingga 10 peratus.

harga minyak masak turun
harga minyak masak turun

Baca juga: i-MILIKI : Pengecualian Duti Setem Bagi Pembelian Rumah

Pada 29 Jun lalu, Kerajaan mengumumkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang bertujuan membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup selain menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata inflasi yang sedang dihadapi kini adalah inflasi yang sudah diduga kerana ia berlaku secara global.

Beliau berkata pasca-COVID-19 membolehkan aktiviti sudah berjalan semula namun berlaku peningkatan permintaan pelbagai industri sedangkan pengeluaran tidak pulih sepenuhnya.

“Selain itu, peperangan di luar negara menjejaskan perdagangan dan inflasi tersebut berlaku bergantung kepada dasar-dasar kewangan serta monetari polisi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” katanya.

BERNAMA

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut