eTesting JPJ: Ujian Lesen Memandu Tanpa Pegawai Mulai April

etesting jpj
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Makluman untuk yang bakal ambil lesen memandu tahun ini, JPJ akan laksanakan sistem eTesting mulai April di seluruh negara!

Apakah sistem e-Testing ini dan bagaimanakah ia akan dilaksanakan?

Jom ketahui selanjutnya.

Apakah eTesting JPJ?

Mulai bulan April pegawai JPJ tak akan duduk dalam kereta sekali dengan calon ujian memandu.

Sebaiknya, calon akan dipantau menerusi bilik kawalan.

Kementerian Pengangkutan melancarkan projek perintis sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ hari ini yang membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan.

Sumber: BERNAMA

Caj Bayaran & Kelebihan Sistem eTesting JPJ

Bagi penggunaan sistem eTesting ini, institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon memilih menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat dan kelebihan.

Antaranya kelebihan sistem baharu ini bagi calon yang mengambil ujian adalah:

  • Boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari sama tanpa kos tambahan.
  • Calon ujian akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian
  • Mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.

Sementara itu, sistem automasi ini juga mempunyai beberapa manfaat lain iaitu:

  • Membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari.
  • Jumlah pegawai penilai JPJ yang bertugas di satu institut memandu juga boleh dikurangkan kepada dua orang berbanding enam orang ketika ini.
  • Dapat meningkatkan integriti, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.

Bagaimanapun, buat permulaan calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting.

Bagaimana Nak Tentukan Lulus Atau Tidak?

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera serta keputusan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.

Segala arahan atau kesalahan yang dilakukan oleh calon terbabit akan dipantau serta ditegur melalui bilik kawalan khas yang disediakan di Institut Memandu (IM) terbabit.

Menurut Anthony Loke, Kementerian Pengangkutan mengalakkan semua institut memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama 6 tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting.

Tarikh Pelaksanaan

Institut memandu seluruh negara dibenarkan untuk menawarkan ujian berasaskan eTesting bermula pada April 2024.

Buat masa ini calon-calon ujian memandu diberi pilihan untuk sama ada menjalani ujian biasa atau eTesting sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2030.

Buat masa ini, projek perintis eTesting telah dimulakan di tiga institut memandu iaitu:

  • IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor;
  • Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan
  • Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang

JPJ akan mengadakan pemeriksaan dari masa ke semasa sama ada modul yang digunakan institut memandu dalam e-Testing itu menepati enam elemen ditetapkan JPJ.

Untuk rekod, sistem ini sudah dipraktikkan di Korea dan Jepun, sementara Malaysia akan ke arah itu bagi meningkat kemudahan kepada orang awam menggunakan perkhidmatan JPJ.

Sumber: Buletin TV3, Berita RTM

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut